60 Peratus Tiket DT Terjual
by Abdul Hamid Lembah Bujang
Search dan Wing bakal beraksi dalam konsert Double TroubleKONSERT Double Trouble (DT) yang mengabungkan dua kumpulan lagenda rock tanah air iaitu Search dan Wings pada 1 Mei ini sudah pun terjual sebanyak 60 peratus.
Menurut Pengarah Konsert, Zainurin Jaafar, lokasi konsert tersebut mampu menempatkan seramai 15,000 pengunjung. Manakal pihaknya menyasarkan lebih 10,000 penonton bakal membanjiri Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Memamg kami menyasarkan 10,000 pengunjung dan mungkin ia boleh mencapai tahap maksimum kepada 15,000.
"Sehingga kini sebanyak 60 peratus tiket telah terjual, dan saya jangkakan jumlah akan meningkat pada saat-saat akhir nanti, maklumlah rakyat Malaysia suka membeli pada saat-saat akhir," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Double Trouble, semalam. Sementara itu, perkhidmatan bas Rapid KL akan disediakan secara percuma di tiga kawasan bagi kemudahan pengunjung. Antaranya di Taman Jaya, Pusat Bandar Damansara dan LRT Bangsar.
Perkhidmatan ini akan disediakan pada setiap 20 minit di kawasan yang telah ditetapkan sehingga ke Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Pengangkutan ini akan disediakan dari pukul 5 petang sehingga 9 malam manakala waktu baliknya pada pukul 10 malam hingga 12 tengah malam.
"Selain itu, pihak polis juga memberi kerjasama dengan memantau sekitar kawasan konsert sepanjang konsert itu berlangsung," katanya.
Selepas hampir 17 tahun tidak bersatu di atas pentas berskala besar, Search dan Wings bakal menggegarkan Bukit Kiara dengan persembahan pada konsert DT kali ini.
DT anjuran Adept Net Productions adalah lanjutan daripada Konsert Double Trouble yang pernah mereka jayakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1993.
Konsert pertama yang menggabungkan dua kumpulan itu diadakan selepas mereka menerbitkan album bersama berjudul Double Trouble pada 1992.
Double Trouble juga telah menunjukkan keserasian antara Search dan Wings, di mana jualan album itu menjangkau 180,000 unit, membuktikan sambutan para peminat terhadap mereka.
Awie & Geng Wings 'Layan' Gim Demi 'Double Trouble 2'
by Abdul Hamid Lembah Bujang
Demi komitmen terhadap konsert Double Trouble 2 bulan depan, Awie memulakan inisiatif dengan mengajak geng Wings yang lain bersenam di gim untuk stamina. - Foto oleh AZLINA ABDULLAHBAIK kumpulan Wings mahupun Search, kedua-duanya mengakui konsert Double Trouble 2 yang bakal dipentaskan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort tanggal 1 Mei depan bukan calang-calang komitmen buat mereka.
Menyedari komitmen besar yang digalas itu, Awie dan geng Wings termasuk Joe, Eddy dan Black yang sedang sibuk dengan latihan untuk konsert itu turut bergiat aktif dalam persiapan fizikal.
Terbaru, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati ini dikatakan mula aktif bersenam di gimnasium bagi mengekalkan stamina dan mengembalikan kecergasan fizikal mereka. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada persiapan mereka untuk menghadapi konsert penting itu kelak.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia dan geng Wings yang lain mula aktif dengan aktiviti senaman di gimnasium sejak kira-kira sebulan dua yang lalu.
Bermula dengan dirinya, Awie kemudiannya mengajak rakan-rakan kumpulannya itu untuk turut serta.
"Sebagai persiapan fizikal bagi memantapkan stamina dan tenaga kami untuk konsert ini, saya dan geng Wings sudah mula bersenam di gimnasium sejak sebulan yang lalu.
"Maklumlah, umur pun bukan makin muda dan kami pula sudah terlalu lama tidak mengadakan konsert besar seperti Double Trouble 2. Masing-masing sudah 'pancit' dan kurang berstamina seperti dulu.
"Atas kesedaran itu, saya ajak geng yang lain untuk bersenam di gimnasium. Pada awalnya, saya yang mula-mula bersenam semula di gimnasium.
"Kemudian saya ajak mereka untuk turut serta. Selain latihan nyanyian, hampir setiap malam kami akan 'layan' gim untuk bersenam," katanya.
Awie dan geng Wings pada sidang media konsert itu baru-baru ini.Akui penyanyi dan pelakon berusia 41 tahun itu lagi, sudah hampir dua tahun dia tidak bersenam di gimnasium sejak terlibat aktif dalam bidang lakonan filem, drama dan teater.
Justeru, peluang untuk beraksi di konsert ini adalah alasan terbaik untuk dirinya kembali aktif ke gimnasium seperti dulu.
"Sudah dua tahun lebih saya tidak bersenam di gimnasium. Seingat saya selepas berlakon dalam filem Sumo-lah pada 2007, saya tidak lagi aktif ke gimnasium.
"Komitmen dalam karier lakonan yang silih-berganti membuatkan saya semakin sibuk dan tidak kisah untuk menjaga bentuk badan.
"Memandangkan konsert ini makin hampir dan kami memerlukan stamina dan kecergasan, jadi saya ajak mereka 'layan' gim untuk memantapkan stamina dan fizikal kami," jelas Awie yang bakal menimang anak kelimanya pada pertengahan bulan ini.

