Showing posts with label Mas Idayu. Show all posts
Showing posts with label Mas Idayu. Show all posts

Belum Jumpa Yang Seperti Black - Mas Idayu

Mas Idayu masih mencari protoge yang paling sesuai untuk Mentor musim ini Foto RAYMOND OOI


KEJAYAAN penyanyi Mas Idayu dalam mendidik dan mengilap bakat protogenya, Black, pada Mentor musim lalu amat membanggakan apabila Black bukan sahaja menjuarai program tersebut malah memenangi vokal terbaik pada Anugerah Juala Lagu yang berlangsung baru-baru ini.

Justeru itu, dia juga sekali lagi terpilih sebagai barisan baru program realiti tv Mentor untuk musim ke-4 bersama-sama Ziana Zain, Mus May, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan Azmeer.

Namun ia bukan semudah yang disangka, kejayaan Black telah menjadi penanda aras kepada mentornya ini untuk mencari protoge yang benar-benar sesuai dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sehingga kini walaupun sudah beratus-ratus yang datang tapi belum ada yang mampu meyakinkan saya. walaupun sudah ada yang disenarai pendek tapi saya masih lagi tidak berpuas hati.

"Ramai yang datang tidak mengikut citarasa saya. Ada yang suara boleh tahan tapi pakaian dan penampilan pula yang jadi penghalang. Kalau boleh kita mahu cari yang boleh jual," katanya.

Menurut penyanyi dangdut popular ini, dia tidak memilih protoge dari segi rupa paras, nyanyian atau jantina tetapi kredibiliti .

"Saya tidak hanya mahu yang pandai menyanyi sebab sudah terlalu ramai yang pandai menyanyi. Saya mahu yang ada aura dan x factor seperti Black mula-mula datang ujibakat dulu.

"Ketika Black dulu saya dapat rasakan aura dan bakatnya boleh digilap," ujarnya penyanyi ini.

Ketika ditanya tentang sifatnya yang garang membuatkan calon-calon gugup apabila berhadapan dengannya, Mas Idayu berkata dia akan memberi masa kepada calon agar menenangkan diri terlebih dahulu sebelum menyanyi.

"Saya tahu ramai yang takut tapi saya bagi masa untuk bertenang dan biasakan diri dengan saya sebelum menyanyi.

"Ramai juga yang kata mahu belajar dengan saya sebab saya garang dan pandai mendidik," ujarnya.

Mas Idayu Dipilih 'Mentor' Lagi Sebab Kontroversi?

Mas Idayu sekali lagi terpilih sebagai mentor untuk musim keempat. - Foto The Star oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

MASIH mengekalkan krew, produser dan pengacara yang sama, Mentor Musim Keempat kembali menghiburkan penonton setia TV3.

Program yang menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara ini bakal dikeudarakan mulai 11 April depan, setiap Ahad, pukul 9 malam.

Mas Idayu juga dikekalkan antara enam mentor program itu. Cuma barisan mentor lain yang merupakan wajah baru Mentor adalah selebriti Ziana Zain, Azmeer, Mus (May), Joe Flizzow, dan Dayang Nurfaizah.

Ziana Zain.

Menjawab tentang membawa masuk semula bekas mentor musim ketiga, penyanyi dangdut Mas Idayu, Penerbit Eksekutif dan Penerbit Mentor 4, Muhamad Sufian Isa berkata komitmen yang diberikan oleh Mas membuatkan wanita itu terpilih.

Sebelum ini, Mas telah menggilap bakat juara Mentor 3 iaitu Black yang sedang popular dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu.

“Kami harap Mas Idayu dapat menghasilkan bakat bagus yang lain seperti Black. Kami juga tidak menafikan kontroversi yang dicetuskan sebelum ini sedikit-sebanyak telah mempengaruhi pemilihan Mas dalam Mentor 4.

“Tetapi yang penting adalah komitmen yang diberikan olehnya hingga kami berusaha juga untuk memujuknya sehingga bersetuju untuk sekali lagi menggalas tugas sebagai mentor dalam program ini,” beritahunya.

Dayang Nurfaizah.

Dalam pada itu, Mas berkata tidak salah untuk dia mencuba sekali lagi. Lantas sebab itu dia mengambil masa yang tidak terlalu lama untuk bersetuju menerima tawaran itu.

“Saya menghargai TV3 kerana sudi memujuk dan memberikan peluang kepada saya. Pada mulanya saya enggan menerima tawaran ini kerana takut dipandang serong lagi,” jelas penyanyi Senggol-Senggolan ini.

Menurut Sufian, enam mentor ini terpilih mengikut kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian dan berkaliber sebagai tenaga pengajar.

Joe Flizzow.

Setiap mentor akan mengajar seorang protégé sahaja mengikut kriteria yang diingini dan semestinya berusia antara 18 hingga 25 tahun, warganegara Malaysia serta tidak terikat dengan sebarang kontrak.

Azmeer mencari protégé yang boleh menyanyi, mempunyai suara yang sedap tanpa mengira rupa paras.

Mus menginginkan protégé lelaki atau perempuan, boleh menyanyi dengan baik, lebih diutamakan adalah bergenre rock, mempunyai karektor yang disukai ramai tanpa mengira rupa paras.

Joe pula tidak mencari seorang rapper sebaliknya mahukan penyanyi yang boleh menyanyi lagu R&B, berbakat, boleh menyanyi, menghayati lagu dan menari.

Mus (May).

Ziana berkata dia memfokuskan kepada kriteria protégé yang benar-benar berbakat, boleh menyanyi dan menari, ‘bertelinga kebal’ dan menepati masa.

Mas memilih protégé yang boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu termasuk dangdut dan asli tanpa mengira jantina lelaki atau wanita.

Dayang memfokuskan protégé yang versatil, boleh menyanyi pelbagai genre muzik, berdisiplin tinggi, serius dalam nyanyian, sentiasa ingin memajukan diri dan bonus bagi yang pandai bermain gitar atau piano.

“Pihak kami berpendapat pemilihan peserta Mentor kali ini lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani ujibakat berdasarkan penyanyi kegemaran pilihan masing-masing.

“Dari situ mentor dapat melihat sejauh mana kebolehan dan kualiti yang dimiliki seseorang itu memandangkan mereka yang akan bertanggungjawab mengasah bakat protégé yang menjadi pilihan mereka itu nanti,” kata Sufian ketika majlis memperkenalkan enam mentor baru-baru ini di Sri Pentas, TV3.

Sesi ujibakat Mentor 4 akan bermula pada 21 Februari sehingga 21 Mac ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Dua destinasi di Malaysia Timur akan dilakukan secara berasingan iaitu di Promenade Hotel, Kota Kinabalu (21 Februari) dan Merdeka Palace, Sarawak (28 Februari).

Seterusnya, ujibakat Mentor akan berlangsung di Sri Pentas, TV3 dimulai dengan mentor pertama Ziana Zain pada 6 Mac, Mas Idayu (7 Mac), Mus May (13 Mac), Azmeer (14 Mac), Joe Flizzow (20 Mac) dan Dayang Nurfaizah (21 Mac).

Peserta yang menghadiri ujibakat harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang akan dipersembahkan kepada mentor pilihan mereka.

Black 'Ditegur' Pihak TV3 Gara-Gara Aksi Cium Pipi

Black dan Mas Idayu

KISAH 'kemesraan' Mas Idayu dengan protegenya, yang merupakan juara program realiti Mentor, Hanifah Md Hanafiah atau Black memang menjadi bualan ramai tidak lama dulu. Hubungan rapat mereka disalahertikan sehingga ada yang menganggap mereka sebenarnya menjalinkan hubungan cinta.

Namun, baik Black mahupun Mas, kedua-duanya menyangkal khabar angin itu dan menegaskan hubungan mereka seperti anak dan ibu. Malah, Black sendiri akui, dia memanggil penyanyi dangdut itu dengan gelaran 'Mummy'.

Belum pun reda sepenuhnya cerita itu, sekali lagi kisah mereka kembali diperkatakan. Semuanya gara-gara tindakan Black yang dilihat mencium pipi penyanyi itu sebaik jejaka berusia 22 tahun itu diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) baru-baru ini.

Ramai yang beranggapan tindakan Black itu kurang sopan, apatah lagi ia disiarkan secara langsung di televisyen dan disaksikan oleh berjuta-juta penonton.

Ada yang merasakan Black sepatutnya mengambil iktibar dengan apa yang pernah berlaku kepada juara Raja Lawak musim kedua, Nabil yang secara spontan memeluk kekasihnya Irma ketika dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular tahun lalu.

Diminta penjelasan empunya badan tentang perkara ini, kata Black, dia sedar tindakan spontannya itu akan 'memakan' dirinya. Namun, ujarnya, seperti mana Nabil yang pernah melalui situasi yang sama dulu, Black juga ingin memohon maaf dengan tindakannya itu.

"Saya tahu ramai yang tersinggung dan tidak suka dengan tindakan saya itu. Ia sebenarnya tindakan refleks kepada kemenangan saya malam itu yang memang saya sendiri tidak sedari. Saya ingin meminta maaf terhadap semua. Janganlah terus mengecam saya.

"Lagipun, Mummy sudah saya anggap sebagai ibu. Dia juga tidak cakap apa tentang perkara itu...kerana jika kami bertemu di luar pun, saya memang akan mencium pipinya, seperti mana saya lakukan pada ibu saya," kata Black ketika dihubungi.

Menurut penyanyi yang mempertaruhkan lagu berjudul Aku Rindu Sayang Kamu ciptaan Yuzai pada malam AJL24 itu, dia juga ada 'ditegur' oleh pihak TV3 sendiri kerana aksi 'ciuman pipi' itu.

"Mereka ada menghubungi saya keesokan harinya dan menegur apa yang saya buat. Tapi saya jelaskan perkara yang sebenar dan mereka akhirnya faham. Sebenarnya, saya juga risau orang akan menghentam saya kerana perkara itu.

"Saya mengakui kesilapan saya dan saya berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi," kata Black.

Ditanya perasaannya yang masih dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Mas, apatah lagi dengan 'insiden' terbaru ini, kata Black, dia tidak mampu menangkis persepsi orang yang beranggapan sedemikian.

"Mereka mungkin akan sentiasa fikir macam tu. Tapi apa yang boleh saya katakan, saya menganggap dia sebagai ibu dan guru. Tanpa dia, saya tidak mungkin berada di sini.

"Malah, saya amat gembira dengan kemenangan saya pada malam AJL24 tempoh hari kerana pada masa yang sama, hari tersebut juga merupakan hari lahirnya. Saya anggap kemenangan itu adalah 'birthday present' daripada saya.

"Dia juga banyak membantu saya sewaktu membuat persediaan persembahan untuk malam itu," katanya.

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes