Kehangatan Paramore Semakin Terasa

OKTOBER 2010 mungkin boleh dianggap sebagai bulan konsert bagi anak muda dan pencinta muzik tanah air. Selain persembahan penyanyi Lubnan, Maher Zain, naib juara American Idol 8 Adam Lambert dan gitaris legenda George Benson, Malaysia juga bakal menyambut kunjungan kumpulan rock Paramore (gambar) pada 19 Oktober ini.

Menerusi konsert Paramore Live in Kuala Lumpur 2010, kumpulan yang dianggotai oleh Hayley Williams (vokal), Josh Farro (gitar utama), Jeremy Davis (pemain bass), Zac Farro (drum) dan Taylor York (gitar rhythm) ini bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Persinggahan kumpulan yang sinonim dengan jalur muzik emo dan punk pop ke Malaysia adalah bersempena dengan rangka promosi album terbaru mereka iaitu Brand New Eyesdan dibawakan oleh Tune Talk.

Mengimbas profil lima anak muda ini, kembara berliku Paramore di persada muzik antarabangsa yang bermula pada tahun 2004 hanya menyerlah selepas kemunculan album kedua iaitu RIOT! mendapat sambutan hebat daripada peminat.

Album tersebut bukan sahaja terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia, malah turut melonjakkan nama Paramore di carta-carta radio di United Kingdom, Australia, Mexico, Brazil, Perancis, Jerman dan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menerusi album RIOT!, kumpulan yang berasal dari Franklin, Tennessee, Amerika Syarikat ini turut dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Grammy 2008 dan memenangi anugerah Artis Antarabangsa di Anugerah Muzik Video MTV 2008 di Brazil.

Pada malam konsert itu nanti, Paramore dijangka mempersembahkan lagu-lagu daripada album ketiga mereka Brand New Eyes seperti Ignorance, Where The Lines Overlap, Misguided Ghosts, The Only Exception dan All I Wanted, selain lagu-lagu daripada album sulung All We Know Is Falling (2005) dan RIOT! (2007).

Tiket-tiket yang berharga RM98, RM168 dan RM268 (Duduk) serta RM358 (Rock Zone - Berdiri) kini dijual di kaunter-kaunter Rock Corner dan Ticketpro, selain jualan secara dalam talian menerusi airasiaredtix.com dan ticketpro.com.my.

Untuk maklumat lanjut, peminat boleh melayari www.rockthisjoint.com.my.Pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 7 malam, satu setengah jam sebelum konsert bermula. Album Brand New Eyes kini berada di pasaran edaran Warner Music Malaysia.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes