Shahir Mengaku Penat, Tiada Masa Untuk Keluarga
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SEJAK menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada Mei lalu, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir mengakui belum pernah berpeluang bercuti untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Dia yang kini sibuk dengan jadual seninya memberitahu akan tetap mencuri masa berpuasa bersama keluarga pada bulan Ramadan ini.
"Sejak jadi artis saya belum pernah bercuti, rasanya memang sangat penat sehingga suara saya hilang namun saya tidak kisah fasal kerja. Apa yang saya ralat ialah kurang masa bersama keluarga.
"Kadang-kadang jika saya terlalu rindu dengan keluarga, saya sanggup balik sendiri ke Perak selepas habis kerja dan pulang semua ke Kuala Lumpur beberapa jam selepas itu. Biarpun sekejap tetapi saya dapat melepaskan rindu kepada mereka.
"Selain peminat, keluarga adalah kekuatan pada diri saya, jika lama tidak jumpa mereka saya mula lemah untuk bekerja," jelasnya.
Tambah Shahir seperti tahun-tahun sebelumnya, dia berjanji kepada keluarganya untuk menjalani ibadah puasa bersama-sama biarpun tidak seperti dahulu.
"Ada masa atau tidak saya akan tetap usahakan untuk balik berpuasa bersama keluarga. Biarpun pada Ramadan ini jadual saya agak padat dengan aktiviti berbuka puasa dan beberapa Road Tour yang akan dijalankan.
"Insya-Allah saya akan balik biarpun tak lama seperti tahun sebelum ini. Saya sangat teringin bubur gandum masakan emak," katanya.
Bercerita tentang kerjaya, Shahir yang sedang menjalani penggambaran filem terbitan KRU Production berjudul Karak juga akan muncul dengan drama Lawaknya Fantasia Raya pada Hari Raya ketiga nanti.
Dia yang mengakui masih kekok untuk berlakon bimbang menerima reaksi daripada peminat tentang hasil lakonannya.
"Saya rasa susah sangat berlakon, mungkin sebab saya baru. Saya tidak tahu bagaimana pandangan orang nanti dan sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini.
"Jika ramai yang beri pandangan negatif saya mungkin akan menyanyi sahaja," ujarnya sambil tertawa.
0 comments:
Post a Comment