Ayu OIAM Nafi Sembunyi Kerana Hamil

Ayu memilih duda sebagai pasangan hidupnya sejak setahun lalu. Foto THE STAR. Oleh IBRAHIM MOHTAR

KUALA LUMPUR: Juara One In A Million (OIAM) kedua, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda berusia 23 tahun pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Dia mengakui kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan bayinya.

"Ya, saya menghilang selama ini kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan anak yang masih kecil. Saya minta maaf kerana tidak memberitahu tentang perkahwinan saya pada Januari tahun lalu atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kini saya bahagia bersama suami iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin bersama anak kami, Syed Nashrul Haikal. Saya juga sudah bersedia untuk kembali aktif sebagai penyanyi," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Sri Pentas, semalam.

Dalam pada itu, Ayu turut menafikan spekulasi berhubung isu hamil sebelum berkahwin sehingga menyebabkan dia bersembunyi dari perhatian media.

"Spekulasi tentang saya hamil sebelum berkahwin itu tidak benar, saya telah berkahwin dahulu sebelum melahirkan anak. Kami berkahwin secara sederhana di Kuala Kangsar. Ketika majlis tersebut saya turut ditemani oleh bapa saya.

"Mulut orang kita tidak boleh tutup, jika orang masih ingin berkata tentang saya, biarlah. Saya hanya ingin minta maaf kepada peminta dan pihak pengurusan kerana menghilang selama ini," ujar anak kelahiran Putatan, Sabah ini.

Ketika ditanya tentang suaminya, Ayu memberitahu suaminya seorang yang penyayang dan sentiasa memberi sokongan kepadanya. Dia juga mengakui khabar angin tentang suaminya seorang duda juga adalah benar.

"Saya kenal dia selepas saya menjadi artis, bagi saya dia seorang yang baik, penyanyang, bertanggungjawab dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya.

"Saya akui suami saya duda dan mempunyai dua orang anak yang berusia empat dan dua tahun, kini kami tinggal bersama dan saya telah menganggap mereka seperti anak-anak saya juga," ujarnya yang kini tinggal di ibu kota bersama-sama keluarganya.

Ayu yang bakal membuat kemunculan pertamanya pada Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang berjanji akan menumpukan perhatian kepada keriernya semula.

"Saya akan kembali menyanyi semula, namun kini saya sudah berkeluarga, saya perlu bijak membahagi-bahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata peluang kedua harus diberikan kepada Ayu kerana percaya kepada bakat yang ada pada penyanyi itu.

"Saya percaya bakat yang ada pada Ayu masih belum digilap sepenuhnya dan sebelum ini dia tidak pernah melanggar sebarang kontrak dengan kami. Dia perlu mulakan semua dari awal seperti dahulu," jelasnya.

1 comments:

Lucy S. { April 24, 2010 at 1:47 AM }
wow! dah kwen rupenye!

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes