Wan Aishah Akhiri Zaman Bujang
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PHUKET: Dengan sekali lafaz Wan Aishah Wan Nawawi, generasi ketujuh Mahsuri, semalam sah menjadi isteri kepada Alee Tongyon, 27, seorang usahawan muda industri pelancongan.
Digelar Princess, Wan Aishah, yang nama Siamnya ialah Sirintra Yayee, dinikahkan sendiri oleh datuk sebelah ibunya, Abdul Karim Dumluck dengan bersaksikan khatib Masjid Kampung Tambon, Kemala di sini Abdul Kadir dan bilal, Rofiq Somsat.
Majlis pernikahan itu dilangsungkan malam tadi di masjid berdekatan kediaman ibu bapa Wan Aishah di Kampung Tambon, Kemala, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Satu majlis resepsi akan berlangsung di rumah Wan Aishah pada Sabtu ini dan dijangka dihadiri hampir 600 tetamu jemputan.
Salah seorang ahli keluarga Wan Aishah memberitahu pernikahan Wan Aishah diatur oleh keluarga.
Alee merupakan rakan sekampung Wan Aishah sejak kecil.
Pasangan ini bagaimanapun mula rapat sejak Wan Aishah memasuki universiti dan mengikat tali pertunangan awal tahun lalu.
Bakal suami Wan Aishah difahamkan seorang usahawan yang memiliki syarikat produksi dan terlibat dalam bisnes hotel serta resort di Phuket.
Wan Aishah, adalah anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan Wan Nawawi Wan Hashim seorang pemandu tut-tut dan Sumaini Karim, pekerja hotel.
Wan Aishah menjadi idola rakyat Malaysia sekitar awal 90-an apabila kisahnya berjaya dijejak Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah yang kemudian disusuli Ekspedisi Melawat Phuket anjuran majalah Al-Islam pada 1998.
Ketika itu Wan Aishah baru berusia 12 tahun. Sejak itu berita mengenai penemuan waris generasi ketujuh Mahsuri itu tersebar luas terutama di Thailand dan Malaysia.
Penemuan Wan Aishah menamatkan sumpah Mahsuri ke atas Pulau Langkawi yang menjadi padang jarak padang tekukur sejak tujuh keturunan Mahsuri yang silam.
Ekoran penemuan itu, Utusan Melayu (M) Berhad mengambil daya usaha menjadikan Wan Aishah sebagai anak angkat dan mengatur beberapa program berkaitan sejarah moyangnya Mahsuri di Malaysia.
Antara yang paling menarik ialah Minggu Pengisahan Mahsuri di Pulau Langkawi yang mendapat sambutan hangat pelancong dalam dan luar negara.
Wan Aishah pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetapi cuma untuk tempoh setahun dan kembali menyambung pelajarannya di University of Bangkok dalam jurusan komunikasi.
Pemegang Ijazah Komunikasi Ramkamseng Universiti Bangkok akan memenuhi impiannya menjadi wartawan walaupun setelah bergelar isteri.
0 comments:
Post a Comment