Proses Bercerai Lebih Mahal Dari Proses Berkahwin - Zaryn Min
by Abdul Hamid Lembah Bujang
TIDAK dinafikan golongan hawa lebih ramai daripada golongan adam sekarang ini. Jadi tidak mustahil sekiranya ramai yang masih membujang dan lambat berkahwin.
Namun begitu, fenomena itu semakin banyak berlaku sementelah isu penceraian semakin berleluasa di negara ini.
Bukan mahu menidakkan sunnah Rasulullah SAW yang menyuruh umatnya berkahwin, namun aktres Zaryn Min menganggap dirinya belum bertemu jodoh dengan mana-mana lelaki.
Dengan usianya yang telah mencecah 30 tahun, mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa wanita itu belum mempunyai teman lelaki.
Dalam nada merendah diri, Zaryn atau Noraszarinawati Tumin berkata: “Tiada lelaki yang mahukan diri saya. Lagipun, saya seorang yang workaholic.
“Mungkin sebab itu saya belum berjumpa dengan mana-mana lelaki yang sesuai untuk dijadikan calon suami. Padahal saya bukannya jenis yang memilih pun.”
Ada satu lagi faktor yang membuatkan pelakon itu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya perlu fikir masak-masak dulu sebelum berkahwin. Kalau boleh saya tak nak perkahwinan itu berlaku sekerat jalan sahaja.
“Bagi saya, proses bercerai lebih mahal dari proses berkahwin,” luah Zaryn sambil tersenyum ketika sidang media drama bersiri Aalia.
Aalia akan disiarkan di Astro Prima mulai 26 April ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam.
Dia melakonkan watak utama sebagai Aalia dalam drama 68 episod itu. Aalia merupakan gadis cantik, sopan-santun, taat dan tabah mengharungi cabaran hidup.
Perkahwinannya dengan Shahril (Fazreen Rafi), seorang lelaki yang merahsiakan perkahwinan pertamanya daripada Aalia, tidak disenangi oleh ipar-iparnya kerana sifat cemburu.
Perbalahan kecil mula berkembang besar sehingga Aalia terpanggil untuk masuk campur demi mengamankan keadaan. Ini memperlihatkan watak Aalia yang cekal dan tenang dalam mengharungi kehidupan sehariannya.
Menyentuh tentang lakonannya sebagai isteri orang, Zaryn menggambarkan watak itu seperti watak klise yang biasa dibawakan sebelum ini.
Walaupun pada mulanya dia tidak begitu mendalami watak tersebut kerana pergerakan dan segala-galanya seolah-olah perlahan, namun lama-kelamaan dia mampu mempelajari sesuatu.
“Apabila masuk babak kedua, baru saya dapat menyesuaikan diri dengan jalan ceritanya. Saya dan Fazreen sama-sama belajar menghayati lakonan masing-masing.
“Ketika babak sedih, saya akan membayangkan cerita sedih yang berlaku kepada diri-sendiri. Bila babak romantik pula, saya dapat rasa seolah-olah dalam hati ada taman bunga.
“Tetapi saya masih lagi tahu batas-batas dengan Fazreen dan kami hanya melakukan babak seperti cium tangan dan dahi,” beritahunya yang pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja beberapa tahun lalu.
Pada mulanya, Zaryn langsung tidak mengetahui bahawa Fazreen merupakan tunangan orang sehinggalah dia mengetahui daripada mulut lelaki itu sendiri.
“Walaupun saya baru mengetahui Fazreen telah bertunang, tetapi saya menganggap perkara yang saya lakukan adalah kerja. Kalau saya berada di tempat tunangnya, mungkin saya akan berasa perkara yang sama, tetapi saya masih tahu batas-batas tertentu,” jelasnya lagi.
Setelah lebih tujuh tahun berkecimpung dalam industri lakonan, Zaryn akui dirinya masih kurang dikenali.
Mungkin kerana dirinya yang bersih daripada gosip liar membuatkan dia kurang mendapat publisiti media.
Selain itu, dia lebih selesa bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana ejen atau pengurus untuk menaikkan namanya.
“Saya akui kurang mendapat tawaran untuk berlakon filem. Andai kata suatu hari nanti saya ditawar berlakon filem, saya mahu watak heroin yang tidak klise.
“Namun, ramai pula peminat yang berpendapat saya lebih sesuai melakonkan watak komedi,” beritahunya yang telah berlakon lebih 20 buah drama.
Antaranya drama Tangisan Bulan Madu, Kaber Hero Kaber Zero, Rafflesia, Cahaya, Elly, Sahabat, Annum, Yusuff, Dari Mata Arissa dan Hati Ini Milik Siapa. Sementara filem lakonannya adalah Anak Mami The Movie dan Dunia Baru The Movie.
0 comments:
Post a Comment