Anita Sarawak Tidak Pernah Puas Dengan 'Asmara'

Anita ketika majlis pelancaran single terbarunya 'Asmara 2010'. Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH.

DIVA popular Anita Sarawak pernah menjulang nama Malaysia ke persada seni antarabangsa satu masa dahulu dan kini merupakan kebanggaan industri seni negara.

Anita Sarawak atau nama sebenarnya Ithnaini binti Mohd Taib ini, membuka tirai 2010 dengan lagu single terbarunya berjudul 'Asmara 2010'.

Anak pelakon dan pengarah S,Roomai Noor dan Siput Sarawak ini ketika ditemui memberitahu, dia begitu teruja menyanyikan lagu Asmara 2010 yang diaspirasikan dari lagu Asmara nyanyian asal Anneke Gronoh di sekitar tahun 60an.

Tambahnya lagi, lagu tersebut merupakan antara lagu kegemarannya sejak dahulu lagi.

"Saya sungguh tak sangka dapat menyanyi semula lagu yang pernah popular sekitar 60an dulu", katanya selepas Majlis Pelancaran single terbarunya di Library, The Curve Damansara.

"Lagu ini juga adalah antara lagu kegemaran Kak Nita", jelas aktres yang popular dengan lagu Akhirnya Kini Pasti ini.

Anita teruja menyanyikan lagu 'Asmara 2010'. Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

Anita memberitahu idea untuk menyanyi semula lagu tersebut sebenarnya datang daripada komposer Helen Yap.

"Saya berterima kasih sangat kepada Helen Yap kerana memberi peluang kepada saya untuk menyanyikan semula lagu tersebut," ujarnya sambil ditemani suami tercinta, Mahathir Abdullah.

Menurut Anita, selain berminat dengan lagu tersebut, dia juga mendapat sokongan daripada suaminya untuk menyanyikan lagu itu.

"Abang Mahathir suka lagu tersebut. Dia suka sangat sekiranya saya dapat menyanyikan semula lagu tersebut," katanya.

Menariknya, lagu single kedua Anita dengan kerjasama Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) ini, menggunakan muzik secara 'live' seperti trompet, saksafon dan keyboard semasa proses rakaman untuk video klipnya.

Selain itu, muzik video lagu ini juga akan ke udara menerusi slot Tayangan Muzik Hebat di saluran Astro RIA bermula pada pukul 11.00 malam, 30 Januari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya untuk mempromosikan lagu terbarunya itu ke luar negara, Anita dengan bangganya menjelaskan sudah pasti dia akan menyanyikan lagu itu untuk persembahannya di luar negara.

Tambahnya lagi, lagu 'Asmara 2010' ini akan didendangkan dengan rentaknya sendiri sebagai penghibur dan bukannya meniru bulat-bulat dari penyanyi asalnya.

"Kak Nita ikut cara Kak Nita kerana Anneke ada caranya tersendiri," jelasnya.

Sementara itu, Anita turut menyentuh tentang persembahan duet bersama penyanyi veteran Ismail Haron ketika mereka mengadakan konsert di Singapura tahun lepas.

Kata Anita, konsert tersebut sememangnya menggamit nostalgia khususnya mereka yang hidup di zaman kegemilangan Anita dan Ismail.

"Saya rasa seperti kembali semula ke zaman kegemilangan dengan lagu itu yang pernah popular sebelum saya berangkat ke Las Vegas," katanya.

Anita juga memberitahu dia bakal mengadakan konsert yang sama di Malaysia, seperti persembahannya di Singapura.

"Perkara itu masih lagi dalam proses. Saya suka sekiranya dapat membuat konsert seperti itu di negara sendiri," ujar Anita yang selalu menganggap Malaysia dekat di hatinya.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes