Jamal Abdillah Dilepas Tanpa Dibebas Dalam Kes Ugut Bekas Isteri

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan penyanyi Jamal Abdillah daripada tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tiga tahun lepas.

Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu selepas Fatimatuzahra yang merupakan saksi kedua pendakwaan gagal hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Fatimatuzahra tidak hadir hari ini kerana sapina tidak dapat diserahkan kepadanya, dan beliau memohon untuk memanggil saksi pendakwaan ketiga untuk memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat kes itu.

Peguam bela Jamal, Ahmad Fariz Mohamed kemudian membantah permohonan pendakwaan dan memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Disember lepas, Fatimatuzahra yang merupakan pengadu dalam kes itu dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi wanita itu memberitahu bahawa dia tidak berminat untuk memberi keterangan tanpa memberikan sebarang alasan.

"Seperti puan majistret sedia maklum, untuk kes ugutan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, keterangan pengadu amat material berbanding mana-mana keterangan lain. Saksi pertama pendakwaan ialah pegawai penyiasat kes yang sudah beri keterangan. Keterangan saksi pertama dan saksi ketiga (seorang lagi pegawai penyiasat) adalah tidak bermakna dan sia-sia tanpa keterangan pengadu (Fatimatuzahra).

"Pengadu juga pada tarikh sebelum ini mengangkat sumpah dan pastinya beliau tahu hari ini ditetapkan sebagai tarikh sambung bicara. Jika teruskan juga perbicaraan, ia akan merugikan masa mahkamah, saya dan anak guam saya serta saksi-saksi lain.

"Jika pengadu tidak dapat dipanggil hari ini saya pohon supaya anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan dan jika pendakwaan berjaya mengubah hasrat pengadu (kemudiannya) bolehlah panggil dan dakwa anak guam saya," katanya.

Siti Syakimah berkata arahan yang diterima daripada ketua unit pendakwaan sebelum ini adalah untuk meneruskan pendakwaan terhadap Jamal walaupun Fatimatuzahra sudah menghantar representasi pada 20 Disember lepas bagi menarik balik tuduhan terhadap bekas suaminya itu.

"Saya percaya saksi kedua pendakwaan (Fatimatuzahra) masih boleh dikesan dan pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi lain," katanya.

Ditanya Norkamilah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir pada hari ini, Siti Syakimah menjawab saksi itu tidak dapat dihubungi.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Norkamilah kemudian memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Jamal daripada tuduhan kerana mahkamah tidak mempunyai alasan munasabah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir sedangkan beliau sudah mengetahui bahawa hari ini ditetapkan untuk menyambung perbicaraan.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 50, didakwa mengugut Fatimatuzahra, 26, menerusi SMS pada pukul 7.44 pagi 30 April 2007.- BERNAMA

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes