Abby Fana Selami Lelaki Yang Ditinggal Isteri
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PROGRAM bual bicara 'Hati Lelaki' yang menyelami hati kaum lelaki dari masalah peribadi, persoalan kekeluargaan dan juga pengakuan berani seseorang lelaki telah bermula siarannya pada 3 Mac 2010, setiap hari Rabu jam 11.00 pagi.
Program bual bicara yang akan bersiaran selama 30 minit ini dihoskan oleh Abby Fana, seorang pengacara TV yang tidak asing lagi.
Konsep program tersebut menghalakan kepada kehidupan seorang lelaki dan memberi ruang buat golongan lelaki untuk meluahkan isi hati mereka tentang sesuatu topik.
'Hati Lelaki' juga menukar perspektif penonton agar dapat menghayati isi hati seorang anak dan adik lelaki, abang, ayah, suami seterusnya teman lelaki.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3, “Berbeza dengan program bual bicara yang kebanyakannya menjurus kepada hal ehwal wanita, ‘Hati Lelaki’ lebih fokus kepada paparan luahan hati lelaki bertujuan mendidik masyarakat memahami isi hati kaum Adam.
"Sekiranya ini terlaksana, ia diharap dapat mengelak salah tanggapan terhadap lelaki dan jangan terlalu mudah menghukum mereka. Cara ini juga dapat memperkukuh dan merapatkan interaksi di kalangan keluarga dan komuniiti agar mendapat persefahaman bersama.
“TV3 berharap inisiatif program ini menerima sambutan yang baik dari para penonton khususnya golongan wanita dan golongan lelaki amnya HATI LELAKI adalah lebih peribadi yang membabitkan masalah dalam diri lelaki serta mampu menyentuh hati nurani penonton,” jelasnya.
Selama 13 episod bersiaran, Abby Fana akan membincangkan topik bersama tetamu undangannya di studio yang berinspirasi “lelaki” untuk mewujudkan suasana yang santai dan lebih tenang. Program tersebut turut menggunakan kamera tersembunyi bagi memudahkan tetamu untuk meluahkan rasa hatinya kepada pengacara tanpa kehadiran pihak ketiga.
Pelbagai topik akan diutarakan dalam Hati Lelaki antaranya menyelami perasaan lelaki yang ditinggalkan isteri, lelaki yang terperangkap dengan jiwanya sendiri, suami yang berhadapan dengan isteri yang main kayu tiga, dan macam-macam masalah lagi.
Saksikan program Hati Lelaki, setiap hari Rabu jam 11.00pagi bersama Abby Fana, di TV3.
0 comments:
Post a Comment