Tiada Maaf Bagi Nabil, Saman Tetap Saman – Aminah Raphor


Pengarah dan Penerbit Bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Raphor akan tetap menyaman Nabil.

MINTALAH maaf berjuta kali pun, kesalahan yang dilakukan oleh pelakon komedi Ahmad Nabil Ahmad tidak akan dimaafkan oleh Pengarah dan Penerbit Bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Raphor.

Baru-baru ini, juara Raja Lawak Musim Kedua itu didakwa telah melanggar kontrak dengan produksi SDAF Pictures Sdn Bhd iaitu tidak memberikan kerjasama semasa promosi filem itu dijalankan dan mengeluarkan kenyataan yang telah ‘menjatuhkan’ filem itu.

“Saya dan seorang lagi penerbit filem ini, Datuk Suhaimy Othman tetap akan menyaman Nabil kerana ramai yang enggan menonton LPSdM disebabkan kenyataannya semasa tayangan perdana filem itu.

“Saya mendapat tahu respons itu menerusi cakap-cakap orang di Internet. Itu pun sudah membuktikan yang penonton tidak mahu menontonnya,” jelasnya mengenai filem yang setakat ini telah berjaya mengutip RM2.1 juta.

Walaupun filem yang turut dilakonkan oleh aktres kontroversi Puteri Sarah itu telah selesai wajib tayang pada Khamis lalu namun masih ada sesetengah pawagam yang menayangkan filem itu.

“Produksi telah membelanjakan modal sebanyak RM1.8 juta untuk penggambaran filem itu. Namun, kami masih menanggung kerugian,” ujarnya yang pertama kali mengarah dan menerbitkan filem.

Aminah berpendapat, tindakan untuk menyaman Nabil bukan untuk menghukum pelakon itu semata-mata malah diharap dapat dicontohi oleh artis ‘segera’ yang lain.

“Kita bukan nak kenakan Nabil tetapi sebab perkara ini sudah ‘pecah’. Dia merupakan bintang baru ‘segera’ dan ramai lagi bintang baru yang glamor lahir daripada program realiti.

“Saya perlu buat perkara ini sebagai pengajaran untuk artis Malaysia kerana sesetengah daripada mereka ada yang tidak bertanggungjawab.

“Saya nak mereka semua beringat dan sedar agar tiada lagi perkara yang merugikan syarikat,” tegas Aminah yang turut merupakan pengarah teater.

Pada minggu ini, dia dan Suhaimy akan berbincang dengan peguam mereka berhubung kes saman itu.

“Setakat ini kami belum memutuskan jumlah saman ganti rugi yang akan dituntut ke atas Nabil,” tuturnya yang belum melunaskan 20 peratus bayaran terakhir kepada Nabil dan pelakon-pelakon lain.

Katanya, bayaran itu akan diberikan selepas mereka selesai tempoh promosi filem itu.

“Kami belum bincangkan lagi sama ada akan menjelaskan baki bayaran itu kepada Nabil atau tidak,” ujarnya.

Pada 14 Februari lalu, Nabil hanya membuat permohonan maaf terbuka dalam dua akhbar mingguan, termasuk Berita Minggu tetapi tidak secara terus kepada mereka selaku pengeluar filem berkenaan.

Aminah turut mengakui Bintang Paling Popular 2008 itu belum memberikan apa-apa tindakan terhadap produksi itu atau pun berdepan dengannya.

“Sejak insiden itu, Nabil tak pernah datang berjumpa dengan saya mahu pun memohon maaf. Tetapi dalam Galaksi di TV9 baru-baru ini, dia kata kalau nak saman, samanlah kerana tidak tahu nak buat apa,” tuturnya yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sebelum ini, Nabil dalam kenyataannya melahirkan perasaan kecewa terhadap filem lakonan sendiri, selain mendakwa pembikinan LPSdM tidak disempurnakan dengan baik.

2 comments:

~ yus ~ { March 2, 2010 at 1:37 AM }
alahaiii.. siannya nabil.. ish.. :-/
keyyah { April 14, 2010 at 9:36 PM }
senang je skrg nk kaya..saman ja..ckit2 saman..tiap2 hari ada je cita psal saman2 ni..

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes