Ammar Tak Mahu Bikin ‘Panas’ Lagi

Ammar mengakui dia bukan seorang yang hipokrit tetapi lebih suka mempertahankan diri demi kebenaran. - Foto oleh RAYMOND OOI

SIAPA kata pelakon dan model kontroversi Ammar Alfian Aziz tidak berdisiplin? Buktinya, dia boleh terpacak seawal pukul 10 pagi di Menara Star.

Dengan gaya ranggi berseluar jeans dan baju-T ketat menampakkan susuk tubuhnya yang sasa itu, dia hanya tersenyum lebih-lebih lagi apabila ramai mata memandang.

Anak muda berasal dari Johor Baru itu mengakui dia bukanlah seorang yang hipokrit tetapi lebih suka mempertahankan diri demi satu kebenaran.

Ini kerana dia selalu memegang nasihat ibunya, Rohaya Talib supaya tidak hipokrit dan berkata benar walaupun pahit.

Rancak berbual dengannya, sedikit demi sedikit peribadinya disingkap. Ternyata anak dua profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu seorang yang suka mengekspresikan dirinya terhadap sesuatu perkara mengikut kata hati.

Malah pelakon drama Tari Tirana itu tidak menafikan perkataan ‘membunuh’ yang diungkapkan kepada wartawan hiburan dalam laman sosial Facebook hanya luahan di bibir semata tanpa sebarang niat untuk melakukannya.

Namun banyak gelaran negatif yang dilemparkan kepadanya setelah didakwa mengugut untuk bunuh wartawan hiburan di Facebook lebih sebulan lalu.

Semasa sidang media memohon maaf secara terbuka anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 12 Mac lalu, Ammar dengan merendah diri mengaku dia merupakan seorang yang kurang ajar.

Dalam pertemuan dengan mstar, dia juga akui seorang yang panas baran.

“Kadangkala dalam bab-bab tertentu, saya boleh mengawal perasaan itu. Tapi saya akan cepat sakit hati bila dituduh tanpa bukti,” katanya yang berdarah kacukan Arab dan Pakistan itu.

Kata-kata ‘berbisa’ selebriti Malaysia tidak layak bergelar ikon sedikit sebanyak menyedarkan Ammar daripada hanyut dengan pendiriannya sendiri.

Daripada berkeras enggan memohon maaf, hati jejaka berusia 22 tahun itu bertukar menjadi lembut.

Ditambah pula dengan kaunseling secara ‘santai’ yang diberikan oleh Zed Zaidi kepadanya, Ammar mula belajar untuk mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik.

“Bila Kak Wardina tegur kata selebriti tak layak jadi ikon, kata-katanya itu terus sedarkan saya untuk improve diri sendiri,” kata Ammar.

Kini semuanya telah berlalu. Bekas graduan jurusan pengurusan hotel dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka itu sibuk dengan penggambaran drama bersiri Atilia dan bidang peragaannya selain dipanggil untuk sesi fotografi dengan beberapa media lain.

Dia enggan menoleh ke belakang lagi dan meneruskan kerjayanya dalam industri seni. Jika ditakdirkan sudah tiada jodoh dengan industri ini, Ammar bercita-cita untuk menumpukan kepada dunia peragaan dan kecergasan.

“Insya-Allah, jika tiada aral, saya bercita-cita mahu membuka sebuah gimnasium dalam masa lima tahun lagi,” beritahunya yang gemar menghabiskan masa di gimnasium sekiranya mempunyai kelapangan waktu.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes