Saya Tak Akan Terikut-ikut Rentak Jimmy Shanley - Aril
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BINTANG Akademi Fantasia 7 (AF7) yang sedang meningkat naik, Aril atau nama sebenar Kharil Azam Pilus, 24, sah diumumkan sebagai pengganti Jimmy Shanley bagi mengemudi program Trek Selebriti untuk musim baru.
Mengulas pemilihannya sebagai hos baru program itu, Aril berkata, dia bersyukur dan gembira dengan peluang berharga yang ditawarkan oleh pihak Astro dan penerbitan kepada pendatang baru sepertinya.
"Sudah tentu saya gembira dengan peluang berharga ini. Peluang ini adalah cabaran baru yang perlu saya hadapi selepas Akademi Fantasia dan drama bersiri Kau Dan Aku.
"Malah, saya akui banyak perkara yang perlu saya pelajari dari masa ke semasa untuk memantapkan kemahiran dan cara penyampaian.
"Walaupun saya ada sedikit pengalaman mengacarakan program sebelum ini, kepercayaan yang diberikan kali ini lebih besar dan menuntut komitmen lebih tinggi daripada saya," katanya.
Sebagai pengganti, Aril tidak mampu untuk menolak kemungkinan dibandingkan dengan Jimmy memandangkan Jimmy sudah bersama Trek Selebriti selama enam musim sebelum ini.
Menurut Aril, dia cuba untuk menjayakan tanggungjawab itu mengikut gaya dan penyampaiannya sendiri.
"Saya tahu perbandingan pasti akan dilakukan antara saya dan Jimmy Shanley. Sebagai pengganti saya akan cuba untuk menampilkan cara saya sendiri.
"Saya akan cuba elakkan daripada mengikut gaya dan acuan Jimmy sebelum ini. Insya-Allah, saya akan terapkan elemen-elemen lebih ceria, meriah dan santai kali ini," ujar Aril yang pernah mengacarakan program remaja, Trendy di RTM selama tiga musim.
Berbanding dengan Jimmy yang cukup sinonim dengan "Yezza", Aril pula bakal mengetengahkan tagline yang sinonim dengannya sejak mula dikenali di AF7 dulu, 'Terbaik Wok!'.
Bercerita tentang persiapannya untuk mengacarakan program itu, Aril berkata, sebelum memulakan rakaman, dia terlebih dahulu telah melalui sesi latihan di bawah pemantauan penerbit, pengurusan dan krew penerbitan program itu.
"Menerusi sesi latihan bersama penerbit dan krew produksi, saya diberikan idea dan tunjuk ajar bagi memantapkan lagi pengendalian program ini.
"Mereka juga memberikan pendapat dan teknik bagi memantapkan gaya pengacaraan saya.
"Selain itu, saya juga perlu menonton kesemua episod terdahulu program ini bagi mengelakkan saya terikut-ikut rentak dan penyampaian Jimmy sebelum ini.
"Saya juga belajar teknik yang betul untuk bertanyakan soalan kepada selebriti undangan. Perkara ini sangat penting untuk saya kerana aura dan imej Jimmy terhadap program itu sangat kuat dan sebati.
"Dia telah mengacarakan Trek Selebriti selama enam musim. Sebagai pengganti, saya perlu cari kelainan dan tonjolkan identiti saya sendiri agar penonton tertarik," kata Aril lagi.
Aril yang telahpun menyiapkan rakaman untuk dua episod pertama program itu mengakui teruja dan gembira dengan perkembangan cabang baru karier seninya ini.
Episod pertama untuk musim baru ini bakal memaparkan cerita belakang tabir tirai AF8dengan kesemua peserta musim baru ini. Menerusi episod kedua pula, Aril bakal menjejaki pengetua baru AF8, Norman Abdul Halim.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilihan Aril sebagai hos baru adalah berdasarkan kepada beberapa faktor.
Naib Juara AF7 itu dipilih kerana mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan sebelum ini. Selain itu, dia muda, segar, periang dan mempunyai pesona serta kelompok peminat sendiri.
"Aril menjadi pilihan Astro kerana mempunyai serba sedikit pengalaman dalam bidang pengacaraan sebelum ini.
"Lebih menarik, dia muda, berbakat, periang, segar dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.
"Ciri-ciri itu bersesuaian sekali dengan konsep program ini," komen Azlin mengenai pemilihan itu.
Musim ketujuh Trek Selebriti bakal bersiaran pada 21 Mac ini, setiap Sabtu jam 10.30 malam menerusi saluran Astro Ria (104) sejurus selepas Konsert Akademi Fantasia musim ini.
0 comments:
Post a Comment