Yasmin Hani Akui Sering Kecundang Cinta


WANITA seksi berambut perang bernama Marilyn Monroe antara bintang Hollywood paling terkenal hingga ke hari ini.

Bintang legenda yang pernah menjadi model dan aktres itu disahkan mati di kediamannya di Brentwood, Los Angeles, Amerika Syarikat pada awal pagi 5 Ogos 1962 berusia 36 tahun.

Marilyn dilaporkan berkemungkinan membunuh diri dengan mengambil Chloral Hydrate dan Nembutal berlebihan kerana gagal menangani tekanan.

Di sebalik cerita negatifnya, mungkin ramai muda-mudi sekarang tidak tahu sifat sebenar diri aktres seksi itu kerana kematian tragisnya banyak mengaburi personaliti sebenarnya.Biarpun tidak mengenali peribadi pelakon tersohor itu, aktres jelita Yasmin Hani menganggap Marilyn sebagai seorang ikon, diva dan lambang wanita yang cantik.Walaupun semua orang mengaitkan Marilyn dengan simbol seks, tetapi bagi Hani sifat feminin yang dimiliki Marilyn sukar ditandingi oleh mana-mana wanita.Sudah hampir 50 tahun Marilyn pergi, belum ada lagi bintang Hollywood yang dapat menandingi aura atau gelaran simbol seks yang diberi kepadanya.

“Kecantikannya membuatkan ramai yang tergila-gilakannya tetapi pada masa yang sama ramai yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya tidak gembira dengan kehidupannya dan lebih mementingkan diri orang lain berbanding diri sendiri,” kata Hani atau nama sebenarnya Yasmin Hani Richardson.

Begitu mendalam Hani menyelami diri Marilyn walaupun begitu jauh jarak usia antara dia dan wanita dambaan jutaan lelaki itu yang berusia 84 tahun seandainya dia masih hidup.

Di sebalik cerita duka Marilyn yang selalu kecundang dalam percintaan, kebetulan juga Hani pun telah banyak kali dilanda kekecewaan akibat putus cinta dengan insan bernama lelaki.

Pelakon filem Duyung dan Dua Hati Satu Jiwa itu berkata, dia juga pernah hampir dikahwinkan dengan seorang jejaka.

Waktu itu usianya baru mencecah 20-an dan baru hendak berjinak-jinak dalam dunia penyiaran. Cinta pertamanya itu disulami dengan cintanya kepada karier setelah mengendalikan program Muzik@Ria di Astro.

“Nasib baik saya baru melalui proses merisik dan belum sempat bertunang. Apabila memikirkan yang diri saya akan berhadapan dengan alam perkahwinan pada usia muda, terus saya meminta untuk putus kerana terlampau banyak peluang kerja yang menanti.

“Ikutkan, saya tidaklah terlalu kecewa sehingga frust tetapi saya pernah alami perasaan putus cinta sebegitu dalam hubungan saya dengan teman lelaki yang lalu,” jelas aktres peramah ini.

Jelas Hani lagi, waktu dikecewakan oleh lelaki, dia lebih suka terperap di rumah dan ibunya, Kamariah Ismail menjadi tempat dia mengadu.

“Apabila bertemu dengan rakan-rakan, saya juga melarang mereka daripada memasang lagu-lagu yang sentimental bagi mengelakkan rasa sedih,” jelas wanita berusia 31 tahun itu yang sekali lagi mengalami saat putus kasih tahun lalu.

Jika ditanya tentang pengalaman putus cinta, usah dicakap berapa kali. “Cukuplah dikatakan beberapa kali.....,” kata Hani jujur.

Kadangkala, ibunya ada juga bertanyakan tentang bilakah dia akan menamatkan zaman bujang.

“Lama-kelamaan, ibu saya memahami dan lebih banyak memberikan kata semangat. Dia selalu beri saya semangat supaya tidak putus asa. Kata ibu, jangan kenang orang lepas, cari saja yang lain....,” kata Hani yang berpijak pada bumi nyata.

Kata aktres kacukan Inggeris dan Melayu ini, dia redha, andai jodohnya datang pada usia 35 tahun sekalipun.“Sesungguhnya Tuhan telah menetapkan bila jodoh saya sampai dan memberi jalan untuk saya mengukuhkan karier terlebih dahulu,” katanya.

Kini bila melihat ramai rakan sebaya sudah pun mendirikan rumah tangga, jiwa anak ketiga daripada empat beradik itu tidak sabar untuk mempunyai anak.

“Biarlah masa menentukan…,” kata Hani.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes