Radhi Tertekan Disoal Peguam Isteri
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PETALING JAYA: Setelah berkali-kali diasak dengan soalan yang sama, vokalis OAG, Radhi sedikit tertekan dengan peguam yang mewakili isterinya, Rubiah Jaafar ketika perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Rubiah menyoal Radhi bagi mengesahkan sama ada dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menceraikan isterinya, Shazlin Sharif sekitar Februari 2009.
Namun, jawapan yang keluar dari mulut Radhi semuanya berbunyi ‘tidak’ dan menafikan perbuatan itu. Setelah beberapa kali disoal perkara yang sama, terus dia menyimpulkan: “Saya tak pernah lafaz (cerai).”
Seperti yang didakwa oleh Shazlin, suaminya pernah menerima panggilan daripadanya sehingga lelaki itu melafazkan ‘Aku ceraikan kau talak tiga terus, ok’ pada Februari 2009.
Namun Radhi sendiri menjawab ‘tidak ingat’. Apabila Rubiah berkata dalam nada tegas yang Radhi pura-pura tidak ingat, kemarahan pelakon itu jelas terpancar.
Dalam nada marah, Radhi berkata: “Saya memang tak ingat, bukan pura-pura tak ingat.”
Namun begitu, apabila sesi soal balas beralih kepada Hakim Syarie Ghazali Ahmad, Radhi menjawab soalan dengan tenang dan mengakui ada menghantar SMS kepada Shazlin.
Apabila disoal bagaimana keadaannya sewaktu menghantar SMS tersebut, Radhi berkata: “Mungkin saya separuh sedar kerana dalam pengaruh ubat tidur. Mungkin saya ambil ubat tidur kerana tidak boleh tidur.”
Ketika di luar mahkamah, Radhi yang mengikat kepalanya dengan kain serban hitam dan putih serta mengenakan baju Melayu biru muda akui tidak selesa apabila disoal bertubi-tubi oleh Rubiah.
“Saya rasa tertekan sedikit kerana banyak soalan yang perlu dijawab tetapi saya redha dengan soalan-soalan itu kerana berhajat kes ini diselesaikan secara baik.
“Saya perlu bersyukur kerana kes ini akan sampai ke kemuncaknya pada satu hari nanti,” jelas Radhi.
Sementara itu, ketika ditanya maksud ‘selesai cara baik’ mengikut kehendak Radhi, dia menjawab: “Saya mengharapkan keputusan yang baik. Kalau cara dia memohon itu secara baik, saya akan lepaskan secara baik.”
Radhi diwakili oleh peguam syarie Musa Awang. Ghazali memutuskan tarikh 19 April ini untuk peguam kedua-dua belah pihak memfailkan hujah.
Kata Musa, Hakim Syarie akan menentukan tarikh keputusan kes tersebut selepas kedua-dua peguam itu memfailkan hujah masing-masing.
0 comments:
Post a Comment