‘artis paling kontroversi’ tahun ini

KUALA LUMPUR: Sepanjang tahun ini industri hiburan tanah air tidak kering dengan kisah panas artis yang menggemparkan, termasuk dibawa ke mahkamah syariah dan aduan polis dibuat.

Berikutan itu beberapa artis mendapat jolokan ‘artis paling kontroversi’ tahun ini. seperti Farawahida dengan Julfekar, Fasha Sandha, Faizal AF4 dan penceramah bebas, Akhil Hayy dengan Waheeda.

Terbaru pula membabitkan Remy Ishak dengan Ummi Nazeera serta perkahwinan pelakon Zizie Ezette dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Farawahida dan Julfekar

Farawahida Razali, 24, membuat tiga laporan polis terhadap komposer Julfekar Ahmad, 45, selepas mendakwa menerima ugutan bahawa gambar dan video lucahnya akan disebarkan kepada khalayak.

Farawahida atau Fara mendakwa keengganannya menyambung kontrak dengan sebuah syarikat rakaman yang tamat pada 9 Februari lalu menjadi punca dia menerima beberapa SMS bercampur ugutan.

Penyanyi itu mendakwa Julfekar yang sebelum itu bertindak sebagai pengurusnya turut mengasarinya sepanjang tempoh dia bersamanya.

Malah, kontroversi yang melanda dirinya tidak terhenti di situ apabila timbul khabar angin menerusi SMS menyatakan penyanyi terbabit cuba membunuh diri berikutan tekanan perasaan akibat pelbagai masalah hidup dialami.

Sekali lagi Fara muncul memperjelaskan keadaan sebenar dengan memberitahu dakwaan bunuh diri itu tidak benar.

Sehingga hari ini kes polis membabitkan Fara dan Julfekar belum selesai. Bagaimanapun Fara dan Julfekar terus aktif dalam aktiviti seni, manakala hubungan mereka masih dingin.

Remy Ishak dan Ummi Nazeera

Kontroversi timbul apabila hubungan istimewa pasangan itu menjadi tegang selepas Remy diserang sekumpulan tujuh lelaki ketika pementasan teater ‘Natrah’ yang mengakibatkan dia cedera di muka dan kaki.

Semuanya dikatakan berpunca daripada Remy atau Mohammad Zalimie didakwa memukul Ummi Nazeera hingga cedera di muka.

Kes pergaduhan dua artis ini mendapat publisiti meluas apabila pembantu rumah Ummi mengakui melihat Remy menghayun tangannya ke muka Ummi hingga pelakon wanita itu jatuh.

Malah, wajah Ummi yang cedera turut dirakam sebagai bukti dan disiarkan di akhbar. Ibu Ummi pula menulis surat terbuka kepada Remy menerusi media yang isi kandungannya meminta Remy berkata benar.

Remy ketika diminta mengulas surat terbuka itu tetap mempertahankan kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Akhil Hayy dan Waheeda

Pada mulanya pasangan ini tidak mengaku menjalin hubungan cinta tetapi akhirnya berkahwin pada 16 Ogos lalu.

Perkahwinan Akhil Abdul Hai atau Akhil Hayy, 40, dengan penyanyi Norwahida Abdul Wahab atau Waheeda, 31, menamatkan spekulasi hubungan mereka yang menjadi tanda tanya media dan peminat.

Sebelum itu Akhil berdepan tuntutan cerai daripada bekas isterinya, Maizawati Zainal, 33, dan pengakuan terbuka Maizawati yang mendapat liputan meluas media.

Perbicaraan perceraian mereka menjadi topik perbualan hangat hingga mereka disahkan bercerai. Maizawati dan Akhil bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak melalui proses rundingan secara sulh dengan Maizawati mendapat hak penjagaan keempat-empat anak iaitu Siti Nur Maisarah, 12, Mohd Syarif Idayatullah, 11, Mohd Syakir Idayatullah, 8, dan Mohd Syatiri Idayatullah, 2.

Akhil terus mencetuskan kontroversi apabila dakwaannya bahawa segelintir artis tersohor tanah air menjadi tali barut dengan menyebarkan ajaran sesat sehingga menghalalkan perbuatan tidak bermoral termasuk bersekedudukan, berzina dan meneguk minuman keras menjadi antara pendedahan paling kontroversi.

Disebabkan pendedahannya, Akhil dikecam penyanyi rock tanah air, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba ‘mentarbiah’ artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.

Fasha Sandha

Nama pelakon ini panas kerana dikatakan menjadi punca perkahwinan Nora Danish dan Rizal Ashram Ramli retak hingga membawa kepada perceraian.

Kisah gambar kemesraannya bersama Rizal yang tersebar di Internet turut menghangatkan lagi gosip hubungannya.

Selain itu Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha, 25, membuat kenyataan mengejut akan menamatkan zaman bujang selewat-lewatnya tahun depan.

Serentak itu, ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil yang dikatakan menjadi teman istimewanya turut menyatakan akan berkahwin dengannya. Bagaimanapun, Qabil tampil mengakui tidak jadi menikahi pelakon terbabit.

Kisah kontroversinya bagaikan tidak terhenti di situ saja apabila Nora Danish menarik diri daripada berlakon dalam drama bersiri Spa Qistina yang turut dibintangi Fasha.

Zizie Ezette dan Datuk Bung Moktar Radin

Kisah perkahwinan ‘rahsia’ pelakon Zizie, 31, dengan Bung Moktar, 54, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mencetuskan isu hangat di media massa, apatah lagi masing-masing mulanya menafikan hal itu.

Sebelum mengesahkan pernikahan mereka, Bung Moktar yang ditemui bagi mendapatkan penjelasan pernah mengatakan dirinya tidak kacak untuk pelakon berkenaan.

Malah, kenyataan beberapa pihak, termasuk kenalan rapat ahli Parlimen terbabit yang menyatakan ‘semuanya sudah selamat’ mencetuskan polemik sama ada mereka benar-benar berkahwin atau sebaliknya.

Natasha Hudson

Kisah perkahwinan singkat pelakon dan model jelita, Natasha Liana Hudson, 27, mengundang kontroversi apabila menjadi artis paling singkat menjalani alam perkahwinan apabila dua kali kahwin dan cerai.

Perkahwinan kali kedua bersama ahli perniagaan dan politik, Datuk Shahrin Zahari, 28, hanya bertahan dua tahun apabila mereka bercerai sebulan lalu.

Sebelum itu, dia berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohd Faiz Mohd Raih, 28, tetapi hanya mampu bertahan empat bulan.

Aliff Aziz

Penyanyi remaja, Aliff Aziz, 18, mengakui bercium dengan seorang gadis di sebuah kelab malam selepas tiga gambar aksi panasnya tersebar di Internet.

“Saya mengaku itu gambar saya dan ia kesilapan paling besar saya lakukan,” kata Aliff.

Aliff atau nama sebenar Md Aliff Aziz berkata, penyebaran gambar itu bukan saja memalukannya, malah keluarga dan peminatnya.

“Saya berada di tempat salah, pada masa yang salah (ketika gambar itu diambil). Saya tak tahu apa niat orang yang menghantar gambar itu (ke Internet) tapi saya tahu ramai tersinggung dengan saya.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung. Kepada pihak yang kecewa, saya harap mereka tidak menilai saya disebabkan gambar itu,” katanya.

Tiga gambar terbabit memaparkan Aliff berpelukan dengan seorang wanita yang kelihatan lebih berusia daripadanya sebelum berkucupan dipercayai di sebuah kelab.

Gambar itu diedar menerusi e-mel selain disiarkan di beberapa blog hiburan, menyebabkan penyanyi yang terkenal dengan lagu Sayang Sayang itu dikritik pengunjung laman web berkenaan.

Tiz Zaqyah

Aktres jelita, Siti Zaqyah Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama Tiz Zaqyah menghangatkan dunia hiburan apabila gambarnya berpakaian seksi bersama rakan tersebar di Internet.

Tiz Zaqyah, 21, yang popular menerusi watak Nur Amina dalam drama bersiri Nur Kasih, bagaimanapun secara jujur mengakui kesilapannya dan berkata gambar itu diambil sekitar tahun lalu.

“Ini satu pengajaran kepada saya. Bila kita masuk dalam industri (hiburan) ini, kehidupan peribadi menjadi perhatian umum.

“Memang sukar menutup mulut orang lain tetapi ini asam garam sebagai anak seni, namun saya mengambil pengajaran daripada kesilapan itu.

“Saya mohon maaf atas salah dan silap,” katanya mengulas perbuatannya.

Faizal (AF4)

Faizal atau Mohammad Faizal Ramly, 25, berkahwin secara senyap dengan seorang gadis tanpa pengetahuan keluarganya dua bulan lalu.

Bapanya, Ramly Yaacob, 60, dalam satu laporan akhbar menyebut, pihaknya hanya mengetahui berita perkahwinan anaknya menerusi panggilan dan tidak tahu lokasi sebenar majlis perkahwinan itu.

Dalam laporan itu, Ramly hanya mengenali gadis yang dikahwini Faizal sebagai Norasyikin, 23, dari Temerloh, Pahang, iaitu pelakon tambahan Momok The Movie yang juga dibintangi Faizal.

Dia berkata, Faizal sebelum itu pernah menyuarakan hasrat untuk berkahwin, namun mereka sekeluarga menganggap ia satu gurauan.

Radhi OAG

Vokalis kumpulan OAG, Mohd Radhi Razali, 32, atau lebih dikenali sebagai Radhi OAG dikenakan waran tangkap kali ketiga oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya selepas beberapa kali gagal hadir kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan isterinya, Shazlin Sharif, 31.

Radhi yang tidak pernah diwakili peguam, sebelum ini pernah menerima dua waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah sama untuk kes pengesahan perceraian pertama yang dilafaz pada 15 September 2008. //hmetro



0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes