Erma Cari Ustaz Handsome Untuk Jayakan Misi Dakwah?


PENGARAH Erma Fatima yang sekian lama menjalankan usaha dakwah di pentas teater, filem dan drama, kini akan mengambil pendekatan yang berbeza pada tahun ini.

Erma akan cuba menumpukan misi dakwahnya di kalangan remaja di pusat hiburan dan tempat remaja berlepak.

Kebetulan pula, misi Erma hampir sama dengan misi dakwah mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Dah lama saya ingin lakukan misi ini tapi tidak pernah ada kesempatan. Ketika bertemu Dr Asri selepas pementasan teater Natrah tempoh hari, dia juga menyuarakan hasrat yang sama.

"Dari situ saya terfikir, kenapa tidak digabungkan sekali usaha kami," jelas aktres, penulis skrip dan pengarah terkenal ini.

Erma kini sedang giat mencari ustaz atau tokoh agama yang muda dan 'sedap mata memandang' untuk menjayakan misi dakwahnya.

"Kalau boleh biarlah muda dan handsome sikit macam Akhil Hayy....," kata Erma dalam nada bersahaja.

Erma yang sudah luas percampuran dengan berbagai peringkat remaja dari yang bermasalah hinggalah ke bohsia, berpendapat kalangan remaja lebih mudah mendengar kata-kata nasihat dari ustaz yang muda.

"Tengok saja Ustaz Akhil Hayy...bila dia berceramah, ramai yang terpegun dengar termasuklah budak-budak muda," kata Erma yang baru pulang dari berlibur di Jakarta selama 3 hari.

Menurut Erma, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan misi dakwahnya.

"Saya tengah tunggu lampu hijau dari Dr Asri saja. Kemungkinan besar kami akan lakukan misi dakwah ini pada hujung minggu di sebelah malam. Antara tempat yang akan kami kunjungi ialah lorong Hj Taib, pusat hiburan dan tempat-tempat remaja berpeleseran seperti di Jalan Bukit Bintang," jelas Erma lagi.

Erma juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya dan beberapa NGO.

"Saya juga sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan pihak Dewan Bandaraya. Senang sikit untuk redah tempat-tempat hiburan kalau ada kerjasama dengan pihak bandaraya," kata Erma lagi.

Selain misi dakwah, Erma juga sedang sibuk menyiapkan skrip Natrah untuk 26 episod drama TV bagi siaran RTM.

"Kemungkinan besar kami akan mulakan penggambaran pada bulan April ini. Saya sedang tunggu tarikh sesuai untuk mendapatkan pelakon Maya Karin, Remy Ishak dan Samantha Schubert," kata Erma.

Menurut aktres terkenal ini, hanya tiga nama ini saja yang akan dikekalkan sementara watak Che Aminah, ibu angkat Natrah yang dibawa oleh Umie Aida dalam teater Natrah akan diberikan pada orang lain.

"Saya tidak akan ambil Umie kerana susah nak tuakan Umie untuk drama TV. Krim atau latex yang digunakan untuk kedutkan wajah Umie memakan masa hampir dua jam. Kulit akan menggelupas kalau selalu gunakan latex ini," kata kakak pada aktres Umie ini lagi.

Erma sudah pun membayangkan dua nama besar untuk mengambil alih tempat Umie.

"Bagi saya, hanya dua nama saja yang dirasakan sesuai untuk watak ini. Antara Azizah Mahzan dan Fauziah Nawi," kata Erma.

Peminat-peminat teater Natrah tentu akan gembira dengan Natrah versi drama TV ini.

"Saya sudah meneliti semua komen dan kritikan. Semuanya sudah saya kaji dengan terperinci. Jangan risau, kali ini ada 26 episod untuk saya bercerita. Saya akan cuba bentangkan cerita Natrah sepenuhnya," kata Erma yang akan terbitkan drama TV Natrah di bawah produksinya, Rumah Karya Citra Sdn Bhd.

Kejayaan drama arahan Erma,'Tersasar Di Jalanmu' yang diangkat Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) baru-baru ini, menjadi pembakar semangat Erma untuk berkarya dengan lebih agresif lagi.

"Alhamdulillah...kejayaan membuat saya lebih kuat berkarya, insya Allah," kata Erma.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes