Dari kiri: Winnie K, Pang Wei Sin dan DJ MyFM, Wan Wai Fun. - Foto MSTAR PENYANYI Winnie K yang popular dengan lagu "Kau Ada Di Mana" di negara ini dan Indonesia nampaknya semakin langsing sekarang.
Akhirnya rahsia terungkai apabila Winnie K atau nama sebenarnya Winnie Kok Mui Kuan mendedahkan dia adalah duta atau jurucakap Elleven Lingerie International (ELV) Sdn Bhd.
Poster dan risalah syarikat pakaian dalam wanita itu memaparkan bentuk badannya yang amat menarik dan menggiurkan. Kecur air liur sesiapa yang melihatnya.
"Saya tidak seksi tetapi semakin saya tengok gambar, saya semakin gembira. Kalau seksi pun, saya sifatkannya seksi secara sihat," katanya pada sidang media pelancaran album berbahasa Mandarin pertamanya yang berjudul 'Close to Me' di karaoke Red Box, IOI Mall semalam.
Album itu mengandungi empat lagu iaitu Close to Me, Bad Girl, I Will Not surrender dan Jia You.
Secara visual mahupun musikal, album itu melambangkan kelahiran Winnie K yang baru. Kejayaan pengeluaran album itu juga menandakan dia boleh menyanyi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin.
Itu juga adalah harapan Winnie K untuk mengeluarkan album berbahasa Mandarin selepas bernaung di bawah Warner Music Malaysia selama dua tahun.
Mengulas lanjut mengenai produk kesihatan yang dipakainya, Winnie K berkata, ia mengandungi germanium (unsur bukan logam), arang dan fabrik kristal.
Winnie K kelihatan semakin langsing. Risalah ELv menyatakan germanium antara lain boleh menyahtoksinkan badan pemakai, memperbaiki pengedaran darah serta sistem imunisasi selain mengurangkan kesakitan badan.
Arang jenis bambu mampu menyahbau serta melembapkan badan. Manakala fabrik kristal dikatakan dapat melambatkan proses penuaan. Kesan akhir ialah pemakai baju dalam tersebut dikatakan dapat melangsingkan badan.
"Dalam ada unsur yang dapat keluarkan elemen bahaya dari badan. Ia juga selesa dipakai dan wangi. Aroma wangi itu telah mengurangkan migrain saya," katanya.
Lebih penting lagi, katanya, dia kini tampil lebih segar dan baru dengan bentuk badan yang langsing.
Sebelum ini, Winnie K memberitahu, dia pernah menghidap gastrik selepas cuba menguruskan berat badan ekoran kuat makan.
"Bagaimanapun, ia memerlukan 1 hingga 2 minggu untuk melihat perbezaannya," katanya yang telah memakai pakaian dalam berkualiti buatan dari Jepun tersebut selama tiga bulan.
Sementara itu, Pengarah Urusan ELV, Pang Wei Sin dalam sidang akhbar yang sama berkata, Winnie mempamerkan kesan yang amat ketara selepas memakai baju dalam buatan syarikat tersebut.
Walaupun berwajah jelita dan kini berbadan lebih langsing, Winnie K berkata, dia masih belum menemui jejaka idamannya.
"Saya tidak dapat cari Mr Right lagi dan barangkali jodoh belum sampai. Sudah dua setengah tahun saya tidak bercinta," akuinya.
Bagi Winnie K, keserasian pasangan itu amat penting sebelum dia dapat menerimanya.
Tambahnya, untuk memupuk keserasian itu memerlukan masa.