Aditya: Bila Artis Kita Ikut Stail Hollywood Tanpa Segan Silu!
by Abdul Hamid Lembah Bujang
AGAK lama juga mengambil masa untuk memulakan struktur ayat dalam artikel kali ini, banyak yang perlu difikirkan baik buruknya terutama apabila meminjam hak orang yang tidak dikenali, bimbang menjadi tuduhan memplagiatkan karya pihak tertentu.
Terlebih dahulu terima kasih yang teramat kepada penulis asal catatan di bawah ini kerana menyatakan dengan jelas apa yang kita selama ini tidak perasan atau sengaja tidak kejelasannya. Terima kasih juga kepada penyebar e-mel yang bertajuk KENYATAAN DI SEBALIK yang singgah ke kantung mel elektronik Aditya pada 21 Januari lalu.
Bagaimanapun Aditya percaya tujuan sebaran e-mel ini menghala kepada memberi kesedaran kepada kita semua terutama masyarakat Islam yang semakin lari dari landasan sebenar walaupun pada MyKid tercatat Islam sebagai agama anutan. Benarkan Aditya kongsikan bersama dengan pembaca MStar yang lebih ramai pengikutnya agar ia mampu dimanfaatkan bersama.
KENYATAAN DI SEBALIK bermula dengan:
‘Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada anak muridnya. Ia duduk menghadap anak muridnya.. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada kayu pemadam. Guru itu berkata, “Saya ada satu permainan... . caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada kayu pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka sebutlah 'Kapur!', jika saya angkat kayu pemadam ini, maka katalah 'Pemadam!'
‘Anak muridnya faham dan seterusnya menyebut dengan betul. Guru bersilih-ganti mengangkat tangan kanan dan kirinya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata: “Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah 'Pemadam!', jika saya angkat kayu pemadam, maka katakanlah 'Kapur!'.
Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat-laun, mereka kembali biasa dan tidak kekok lagi. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Guru tersenyum kepada anak muridnya. “Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, setelah musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu, perkara yang haq telah menjadi bathil, dan sebaliknya.
Pada mulanya agak sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan pelbagai cara menarik oleh mereka, lambat-laun kita akan terbiasa dengan hal itu, seterusnya kita mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kita tidak pernah berhenti membolak-balik dan menukar nilai murni aqidah/hukum Islam dari masa ke semasa.
Keluar berdua-duaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain.
Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?” tanya guru kepada anak muridnya.
“Baik, untuk permainan kedua, Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?”
Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba dengan tongkat dan selainnya. Akhirnya guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet .
“Murid-murid, begitulah umat Islam dengan musuhnya. Musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terangan. Kerana tentu anda akan menolaknya dengan mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina di hadapan mereka. Tapi mereka akan menolak kita secara ansur-ansur, sehingga kita tidak sedar.
“Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dengan tapaknya dulu, tentu saja dinding dan peralatan akan dikeluarkan dulu, baru rumah dihancurkan.
“Begitulah musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan merosakkan kita. Mulai dari perangai kita, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun kita Muslim, tapi kita telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara mereka. Dan itulah yang mereka inginkan.
“'Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh kita ,” katanya.
“'Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak kita, cikgu?” tanya murid-murid.
“Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang Islam, misalnya Perang Salib, Perang Tartar dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi. Begitulah Islam, kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang secara terang-terangan, kita akan bangkit serentak, baru mereka gerun,” kata guru.
Agak panjang yang dikirimkan kepada Aditya itu tetapi itupun tidak dipotong banyak agar pembaca juga memperolehi apa yang cuba disampaikan oleh pencipta e-mel itu kepada kita semua. Yang jelasnya, memang tepat apa yang diperkatakan dan Aditya setuju benar akan Perang Pemikiran atau Perang Saraf ini sedang hebat berlaku di kalangan manusia Islam terutama di negara kita.
Tidak perlu melepasi sempadan negara dan tidak payah untuk Aditya bawakan ke dalam skop lain tetapi cukuplah ruang lingkup gelanggang hiburan tanah air yang semakin terang-terangan mendokong apa yang yang musuh Islam usahakan itu.
Bukan niat untuk bersyarah tetapi dalam hal ini, kita perlu sampaikan benda yang baik walaupun satu ayat.
Anugerah Golden Globe dan Anugerah Grammy baru saja melabuhkan tirai dan tidak lama lagi Anugerah Academy membuka pentas. Ketiga-tiga ini antara majlis penganugerahan untuk karyawan seni mereka di sana. Kita di sini pula tidak kurang dengan majlis seumpama itu walaupun ada kalanya tidak mengukur baju di badan sendiri.
Mereka mengadakan Red Carpet untuk melengkapkan lagi acara besar dan kita juga mengikut mereka tanpa segan silu. Red Carpet mereka diadakan pada sebelah petang, kita pula menjelang Maghrib yang jelas ramai artis yang bersedia mempamerkan pakaian dan tubuh masing-masing, bagaikan melepaskan waktu sembahyang itu. Bukan menuduh melulu tetapi berdasarkan pengalaman, acara menyolek wajah terutama artis wanita selalunya bermula tiga empat jam sebelum melangkah ke permaidani merah. Fikirlah sendiri!
Itu belum lagi yang ingin bermegah-megah dengan busana yang membaluti tubuh mereka. Kalau yang berbalut, mungkin lebih baik kerana ramai juga yang berbangga untuk menayang tubuh sebanyak mana yang ‘dibenarkan’ di Malaysia.
Sudah tidak pelik kerana kita telah mula menerima dengan terbuka akan fenomena ini. Teguran media tentang Red Carpet waktu Maghrib tidak dihiraukan lagi, jadi mereka teruskan kerana yang penting majlis itu nampak gah dan glamor.
Ramai artis kita nak jadi Beyonce, nak tiru macam Paris Hilton atau sekurang-kurangnya Britney Spears. Tidak pula kita dengar nama-nama srikandi Islam disebut untuk diteladani.
Agak terlalu panjang artikel kali ini tetapi rasanya cukup satu dua contoh yang Aditya bentangkan di sini yang berkaitan dengan isi e-mel tadi. Orang kita sudah biasa dengan peluk-memeluk lelaki wanita, bersekedudukan dan buang anak. Bukan semua itu tidak terjadi di kalangan orang seni kita. Brad Pitt dan Angelina Jolie duduk serumah sehingga melahirkan anak tanpa nikah, orang kita pun ada juga. Nak buat macam mana, semua nak gah macam Hollywood. Walhal kita tidak sedari yang kita sebenarnya sudah menjadi tawanan Perang Pemikiran mereka.
Tidak lama lagi kita akan berdepan dengan Anugerah Bintang Popular untuk mencari orang popular, Anugerah Industri Muzik sebelum Akademi Fantasia mengambil alih untuk menyatakan realiti kehidupan masyarakat Malaysia, sebuah negara yang Islam.
Aditya: Artis Tunjuk Kuasa Mengarah Ala-ala 'Kuat Sepit Kerana Kempa'
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PESAN orang-orang tua kita dahulu, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Selain kandungan Al-Quran yang menjadi pegangan hidup kita, tidak salah kiranya kita renung-renungkan juga pesanan-pesanan orang yang terdahulu makan garam dalam kita menempuhi kehidupan ini agar tidak terus tenggelam gelombang kealpaan.
Dunia kehidupan artis adalah secebis bahagian daripada kehidupan kita. Mereka juga manusia yang mempunyai rencana dan hala tuju masing-masing sebelum memejam mata menghadap Ilahi.
Setiap daripada kita ada kisah dan sejarah untuk dipanduankan kepada orang yang melihat. Sudah beberapa kali Aditya ulang ayat ini tetapi tidak salahkan kalau kita selalu ingat mengingati? Maklumlah manusia mudah lupa!
Aditya membuka artikel kali ini dengan perumpamaan mudah itu apabila teringatkan kisah-kisah artis tempatan sejak kebelakangan ini yang gemar bermain sembunyi-sembunyi ‘hide and seek’.
Baik yang sudah kahwin mahupun yang baru merancang berjabat tangan dengan tok kadi, seolah-olah menjadi trend hari ini untuk tidak menghebahkan kepada masyarakat melalui media massa akan perkembangan sihat itu.
Orang tua-tua juga kata, benda yang baik seperti mendirikan masjid, lebih elok diwar-warkan agar tidak menimbulkan fitnah dan tercipta spekulasi di belakang hari.
Trend menyorokkan anak juga sudah menular di kalangan artis kita. Mungkin nak jaga eksklusiviti atau barangkali juga sengaja nak biarkan orang ternanti-nanti terutama wakil media yang sesetengahnya begitu hadap dengan paparan wajah anak selebriti.
Hormatilah kehendak mereka, bimbang nanti tiada pula bahan lain untuk dijadikan publisiti. Moleklah gunakan anak untuk raihkan populariti. Buatlah selalu!
Bagaimanapun dalam soal perkahwinan ‘hide and seek’ tadi, lebih memualkan apabila ia melibatkan hubungan artis dengan golongan kenamaan, Very Important People atau yang berstatus hartawan, telah meletakkan ‘road block’ di tengah-tengah jalan pekerjaan wakil media dalam usaha mencari kebenaran.
‘Road block’ itu bukan sekadar sekatan jalan raya biasa malah kali ini tiada peluang langsung untuk ‘detour’ ke arah lain sebagai alternatif penyelesaian.
Kebanyakan yang berkasih sayang dengan golongan artis ini, lebih mudah menggunakan jalan pintas dengan ‘mengarahkan’ sesiapa yang mampu diarahkan dengan kuasa mereka supaya dihentikan permainan ‘hide and seek’.
Mudahnya mereka membeli kebebasan petugas media dalam memberi maklumat kepada masyarakat. Tetapi inilah juga antara warna kebebasan media kita di dalam masyarakat demokrasi. Moleklah, biarkan situasi ini berterusan, moga-moga boleh menjadi virus dan parasit suatu hari nanti yang akan menggantikan makna kebebasan sebenar.
Lebih menyayat hati, kerana cintakan mereka yang berpengalaman, ada artis-artis muda sanggup meninggalkan sebuah persahabatan yang dijalin murni dengan orang media. Daun selasih aku lurutkan, kerana kasih aku turutkan.
Mereka peduli apa, pantang media memperkatakan khabar angin tentang mereka, mulalah menggeletis macam cacing kepanasan. Bagaimanapun dengan ikatan perkahwinan kuasa, artis itu turut mendapat kuasa mengarah ala-ala ‘kuat sepit kerana kempa’ (kempa ialah apitan).
Namun usah pertikaikan ketentuhan Allah. Jodoh pertemuan ajal maut sudah ditentukan Tuhan, tiada siapa yang mampu menghalang kehendakNya kerana setiap yang telah diaturkanNya memiliki sebab dan musababnya. Reda sahaja!
Cuma Aditya terasa apabila rakan-rakan baik daripada kalangan media sesekali membentang hal ini.
Baru-baru ini, Datuk Sheila Majid menyatakan pendiriannya mengenai fenomena dunia artis hari ini termasuk apa yang cuba Aditya depankan dalam artikel ini.
“Jangan mengeluh tak suka kehidupan peribadi diganggu, walhal kita meletakkan diri dalam profil tinggi. Bila berada dalam status ini, orang akan sentiasa bercakap pasal kita dan mahu ambil tahu semua perkara. Jadi kena sentiasa bersedia. Kalau tak suka, jangan masuk dalam industri,” katanya.
Benar sangat apa yang diperkatakan oleh penyanyi yang sudah 25 tahun berada di pentas seni ini. Bagaikan salah pula pihak media mencari dan mengorek cerita, walhal sebelum ini artis-artis ini faham benar tugas media. Mula-mula nak naik, sanggup bertunggu bertangga dengan media demi sebuah publisiti. Sekarang?
“Kalau tak nak kami bertanya dan tulis, jangan jadi artis. Baik pergi jual pisang goreng, kerani atau tukang kimpal batang besi. Taklah kami kemaruk nak cari cerita dia. Menyusahkan!” rungut seorang rakan Aditya yang bertugas di sebuah akhbar arus perdana.
Keluhan-keluhan begini bagaikan sumbu pelita yang kebasahan dicelup air longkang yang terus mematikan semangat untuk menulis atau melaporkan warna sebenar industri hiburan. Kita bukannya tidak tahu, dunia hiburan tempatan hanya tempat bermain wayang oleh pemain wayang yang bertopengkan senyuman plastik.
Aditya setuju benar apa yang dikatakan Sheila Majid itu. Dalam artikel yang sama di Metro Ahad baru-baru ini, Sheila turut menyatakan kekesalannya terhadap mereka yang bersikap lepas tangan dalam menerajui anak-anak program realiti hingga terkapai-kapai mencari arah.
Insya-Allah Aditya akan bawakan cerita ini dalam penulisan-penulisan seterusnya kerana banyak yang boleh kita renungkan daripada pandangan orang yang banyak makan garam industri hiburan seperti Sheila Majid itu.