Showing posts with label Aznil Hj Nawawi. Show all posts
Showing posts with label Aznil Hj Nawawi. Show all posts

Aznil Belum Bersedia Ke Konti

Aznil masih mengumpul kekuatan untuk meneruskan

KESEDIHAN kehilangan Allahyarham Din Beramboi yang menjadi teman pada setiap pagi dalam segmen Riuh Pagi Era di stesen radio Era amat dirasai rakan baiknya, Aznil Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil.

Pengacara dan penyampai radio yang masih lagi bercuti itu mengakui sukar untak melangkah ke konti dan melakukan tugas yang kebiasaannya dilakukan bersama arwah.

Malah pihak Era memberi kelongaran kepadanya untuk mengambil cuti lebih panjang bagi memberi masa kepadanya sebelum kembali ke udara.

"Pemergian arwah masih saya rasai dan sehingga kini saya tidak tahu bagaimana ingin melangkah ke konti. Saya tahu hidup perlu diteruskan dan kini saya sedang mencari kekuatan untuk menempuhinya.

"Terlalu banyak kenangan manis bersama arwah yang saya sukar untuk dilupakan. Setiap kali nampak orang perut buncit, saya terbayangkan dia, bau minyak wangi yang dipakainya pun buat saya termenung teringatkan dia.

"Ciri-ciri yang ada pada arwah, sentiasa membuat saya rasakan dia masih ada. Buat masa ini saya belum tergamak lagi. " jelasnya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu, Pak Nil memberitahu bahawa dia diberi beberapa pilihan bagi meneruskan segmen pagi itu. Namun sehingga kini perkara tersebut masih belum diputuskan.

"Era bagi beberapa pilihan kepada saya iaitu sama ada mereka akan mencari pengganti untuk bersama-sama saya dan mulakan semuanya semula atau saya akan bergerak secara solo atau pun saya sendiri buat pilihan untuk tidak akan meneruskannya lagi.

"Dalam masa terdekat ini mungkin saya lebih selesa untuk bergerak secara solo, namun secara jujurnya saya ingin tumpukan kepada bidang pengacaraan di televisyen.

"Minggu hadapan mungkin perkara ini akan dibincangkan secara terperinci " ujarnya yang mengakui terlalu banyak termenung sejak pemergian arwah.

Ketika dihubungi publisis AMP radio network, Hani Azlan memberitahu belum ada keputusan tentang segmen pagi tersebut.

"Setakat ini belum ada apa-apa keputusan tentang keadaan akan datang, sama ada Aznil meneruskannya atau tidak.

"Kami akan berbincang perkara ini selepas Aznil kembali bertugas dan buat masa ini segmen pagi digantikan oleh Dina dan Along," jelasnya

Aznil-Azwan Bermaaf-maafan, Segala 'Dendam' Terlerai Sudah!


Azwan menunjukkan gambarnya memakai selendang yang dihadiahkan oleh Aznil ketika mengerjakan umrah. -Foto oleh RADHIFF TALHA

SUKAR untuk mengetuk hati-hati yang menaruh dendam dan menyimpan kesumat. Selalunya hati yang bernoda akan membuat kita terus-terusan menaruh syak wasangka dan mencipta benteng pemisah.

Mungkin mulut tidak terzahir tapi hati meluap-luap bila terkenang wajah-wajah seteru.

Ketika menjenguk sejenak ke 'Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali' minggu lepas, banyak mata menjadi saksi betapa syahdunya sebuah pertemuan ala jejak kasih dua sahabat, pengacara nombor satu Aznil Nawawi dan selebriti 'si mulut laser' Azwan Ali.

Keikhlasan dua sahabat berdakapan erat seperti jarak waktu yang berlalu begitu zalim memisahkan mereka.

Rupa-rupanya, mereka tetap berhubungan lewat hubungan SMS dan teks ringkas bertahun-tahun kebelakangan ini.

Tapi kesempatan berjumpa belum terdorong lagi hinggalah ke hari bersejarah petang itu.

"Kami saling memantau perkembangan masing-masing. Kalau ada yang tak kena di mata, saya akan tegur. Begitu juga dengan Azwan," jelas Aznil membuka topik yang tidak pernah disentuh selama ini.

Walau sebentar cuma, Aznil tetap menjenguk muka meskipun ada temujanji di tempat lain. Pertemuan bersejarah itu tidak mahu dipersiakan kerana bukan durasi waktu yang menjadi ukuran tapi pengisian dan kejujuran mencemar duli ke majlis sahabat lama yang lebih utama.

Rentetan kisah lama antara mereka seperti laporan polis lewat bertikam lidah dan sebagainya, seperti tidak mahu diimbau lagi. Biarlah semua itu tinggal sebagai kenangan pahit.

"Itu cerita lama.... janganlah diungkit lagi. Biarlah I dengan Azwan saja yang tahu," pinta Aznil separuh merayu.

Sebalik kekesalan yang terluncur di hujung bibir, Azwan dan Aznil akur, kisah 'permusuhan' dan dendam adalah sejarah silam. Tidak perlu diteruskan lagi sementelah, nama masing-masing utuh di persada seni.

"Kita semakin tua. Fikiran sepatutnya lebih matang. Saya sudah fikirkan masak-masak. Tidak ke mana apa-apa permusuhan sekalipun.

"Lagipun saya yang lebih tua. Jadi seharusnya, saya yang lebih matang dari Azwan dan mengorak langkah dulu," jelas Aznil sejujurnya.

Menurut Aznil lagi, sendainya ada kesempatan, sememang sebagai sahabat yang lebih tua akan menegur Azwan dulu.

"Saya tetap pantau kerja Azwan. Dan hari ini mengingatkan saya betapa rindunya saya kepada Mak Tom (ibu Azwan Ali). Saya mesra dengan Mak Tom, tidur baring rumahnya satu ketika dulu dan waktu-waktu itu lah yang paling saya rindu sekali," kata Aznil dalam nada separuh sebak sedang mata berkaca menahan segala rasa yang singgah ketika itu.

Akui Aznil, sahabatnya Azwan memang seorang yang vokal dan cepat melenting.

"Tapi saya selalu ingatkan diri saya agar tidak lupa jasa Azwan. Sejak awal penglibatan sebagai pengacara, Azwan lah yang banyak membantu saya, membawa saya ke majlis selebriti dan memperkenalkan saya kepada artis-artis dan wartawan," jelas Aznil.

Dan di kelopak mata Aznil yang berkaca bercerita tentang di mana silapnya, di sambut dengan pengakuan jujur Azwan dek keterlanjuran, terlerai sudah sebuah dendam.

Petang itu, bersaksikan beberapa mata di ballroom uniti, terjalin semula kasih yang sudah lama dibiar sepi.

Berseteru atau bersahabat selama ini? Semua terjawab lewat kemesraan yang terakam di mata kasar. Tiada dendam lagi kerana kedua-duanya sudah lebih matang kini.

Bagi Aznil, tidak mudah bagi seorang personaliti seperti Azwan untuk mengaku silap dan salahnya.

"Saya kagum sikap yang ditampilkan Azwan sekarang. Memang dia vokal dan hari ini dia lebih vokal. Orang lain tidak perlu mempertikaikan kenapa dia minta maaf setelah dia tersedar dan bangkit dari kesilapan lama. Itu antara dia dan tuhan. Bukan urusan kita untuk campur....," kata Aznil seolah membela Azwan.

Menurut Aznil, Azwan adalah seorang yang sangat telus.

"Bagi saya, Azwan ni begitu telus. Dia akan cakap apa yang ada dalam hatinya, lepas tu baru dia fikir. Tapi dia seorang yang menepati janji.

"Bagi saya, Azwan sudah banyak berubah. Kesanggupan untuk menuntut maaf daripada musuh-musuhnya adalah satu bukti yang nyata. Saya gembira melihat perubahan itu," jelas personaliti terkenal ini.

Malah, kata Aznil lagi, dia akan tetap menyokong Azwan dari belakang.

"I will always be there when he needs me....," jelas Aznil yang menghadiahkan sehelai selendang kepada Azwan ketika dia hendak menunaikan umrah.

Dan selendang itu lah yang selalu menjadi tanda ingatan mereka berdua.

"Setiap kali saya terlihat kain selendang itu di badan Azwan (seperti di blognya), hati saya akan tersentuh....Azwan begitu menghargai pemberian saya," kata Aznil.

Kata Aznil lagi, persahabatan yang terjalin antara mereka merupakan satu pusingan persahabatan yang 'tipikal'.

"This is total friendship. Kita melalui saat suka dan duka bersama. Ini lah yang dikatakan ujian sebuah persahabatan....an extreme case of friendship," kata Aznil sambil tersenyum.

Bila hikmah sudah ditemui dan di sebalik banyak petunjuk yang diberi, maka laluan demi laluan akan terbuka luas. Kalau peluang menyambut ukhuwah dibiarkan begitu saja, tepuk dada tanya selera.....

Aznil Tidak Terperanjat Jika Diminta Jadi Hos AF8




Aznil tidak terperanjat jika diminta menjadi pengacara program realiti AF8. -Foto mStar oleh ZIEMAN

PENGACARA No 1 negara, Aznil Nawawi sudah penat melayan spekulasi yang mengatakan dia bakal dipilih semula untuk pengacara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke lapan yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Itu lah spekulasi yang selalu orang buat bila AF nak keluar. Dua tahun lepas, orang buat spekulasi yang sama tapi alih-alih AC juga yang mengendalikan program tu.

"Sebenarnya saya sudah penat melayan spekulasi begini," kata pengacara TV Popular/Terbaik ini ketika ditemui di 'Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali.'

Kata Aznil lagi, dia tetap mengikuti AF8 walaupun sudah 'direhatkan' kerana program itu senantiasa dekat di hatinya.

Meskipun ramai rakan artis dan 'graduan' AF beranggapan bisa Aznil masih belum hilang, pengacara rancangan 'Tom Tom Bak' di Astro Ceria ini seperti sudah hilang minat.

Bagi Aznil, prestasi yang ditunjukkan oleh AC Mizal selama dua musim menggalakkan. Malah, kata Aznil, AC tidak mengecewakan langsung.

"Saya rasa mereka patut kekalkan AC Mizal kerana rating tak jatuh pun semasa AC mengendalikan program itu," kata pengacara sensasi ini yang memegang ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya.

Kata Aznil lagi, dia baru saja 2 tahun meninggalkan AF dan kini ditugaskan mengendali program 'Jangan Lupa Lirik' (JLL).
Pengacara terkenal Aznil Nawawi bersama aktres Betty Banafe yang hadir di 'Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali' di Palace Of The Golden Horses

"Lagi pun secara logiknya program JLL akan disiarkan selepas AF, jadi takkan lah muka Aznil Nawawi saja," katanya.

Bagaimanapun, Aznil tidak berani menolak sebarang kemungkinan. "Saya ni terikat dengan Astro sampai 2017...andai kata bos suruh juga saya mengendalikan program itu last minute, saya akan lakukan," kata Aznil sambil tersenyum.

Dengan nada berseloroh, Aznil berkata, "Tapi kalau betul orang masih perlukan saya jadi pengacara AF8, doa-doakanlah....

"Terus terang, saya tidak terperanjat jika diminta jadi hos AF. Saya boleh je....," kata Aznil dalam nada bergurau. "Untuk beri pendapat tentang AF, perkara itu sudah lama saya lakukan kerana saya juga penasihat produksi ASTRO sejak 10 tahun lepas," kata Aznil.
Bidang pengacaraan paling diminati pengacara terkenal nombor 1 ini

Namun jauh di sudut hati Aznil, mungkin rasa terkilan dihentam hebat sepanjang menjadi hos AF masih ada. Kemungkinan juga banyak kritikan dan komen masih berbekas di hatinya.

"Selama 5 musim saya jadi hos AF, ramai yang kata Aznil patut undur diri. Ada yang kata, pergerakan saya dah predictable dan bermacam-macam lagi.

"Saya mengambil kira semua pertimbangan ini sebab itu saya beralih angin buat program baru untuk memberi nafas baru kepada AF," jelas Aznil seperti meluahkan apa yang terbuku di hatinya sebalik kegemilangan namanya seiring dengan populariti AF.

Aznil yang kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya berkata, bidang pengacaraan akan senantiasa menjadi cinta pertamanya. Dan kerana itu juga, apa jua tugas pengacaraan yang diberikan kepadanya akan dipikul sebaik mungkin.

"Saya suka kerja pengacara. I love this job so much. Whatever it is, I will still do it if given the mandate....

"Pada waktu yang sama, insya Allah, saya juga sudah jumpa cinta baru, menjadi radio DJ," kata pengacara berusia 47 tahun yang memulakan kerjaya sebagai wartawan media dengan TV3 pada tahun 1990 ini.

Meski pun Aznil tidak menyerikan AF lagi, pengacara yang berasal dari Kampung Datuk Keramat ini percaya, peminat program realiti itu akan tetap setia menonton.

"Siapa pun yang menjadi pengacara AF, saya percaya elemen-elemen kejutan akan tetap menjadi tarikan program itu," kata Aznil yang pernah membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam 2, Cicak-Man, Cicak-Man 2 dan Serupa Tak Sama.

Mawi Buka Kedai Makan ‘Lambai-Lambai’

PENYANYI popular, Asmawi Ani atau Mawi kini melebarkan lagi empayarnya daripada bidang nyanyian, lakonan, penerbitan dan kini bergelar ‘tauke’ medan selera pula.

Mawi yang mengakui tidak arif tentang hal-hal masakan berkata, dia lebih senang menyediakan tapak kepada para peniaga untuk menjual makanan mereka dan membiarkan mereka. "Perancangan terbaru saya ialah untuk membuka kedai makan ala food court (medan selera), sekarang bangunan sedang dibina dan dijangkakan pertengahan bulan ini dah boleh mula operasi.

"Saya ingin namakan food court itu ‘Lambai-Lambai’. Sudah dua tahun saya simpan hasrat untuk buka kedai makan ini.

"Lokasinya di Jalan Mariamah, Johor Bahru. Dulu kawasan ini kosong tidak diusahakan jadi saya ambil peluang ini untuk buka kedai sebab lokasinya juga agak strategik," ujar Mawi.

Menurutnya, kedai tersebut boleh memuatkan 10 gerai makan dan bakal disewakan kepada orang ramai yang berminat untuk berniaga.

"Setakat ini sudah hampir RM40,000 telah dibelanjakan dan banyak juga proposal daripada peniaga yang saya terima," ujarnya yang bakal menerbitkan telefilem bertajuk Jiwa Kacau di Astro Prima dan akan disiarkan pada akhir Januari ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perancangan untuk menimang cahaya mata tahun ini, Mawi berkata, dia hanya menyerahkan semuanya kepada Allah.

"Saya tidak merancang apa-apa, sekarang masih muda, saya ingin tumpu perhatian dalam karier terlebih dahulu dan tidaklah terlalu mengharap dalam jangka masa terdekat ini.

"Tapi kalau boleh saya mahu anak kembar macam isteri saya," ujar Mawi yang juga akan menerbitkan drama episod berjudul Cinta Nami Island dan Gincu Cikgu Salbiah.

Dalam perkembangan lain, Mawi kini keluar dengan album Era Muzik Hits Terkini bersama bintang-bintang Akademi Fantasia dan bakal melancarkan album Idola yang melibatkan penyanyi ‘otai’ seperti Ramli Sarip, Datuk Jeffry Din, Jamal Abdillah, M. Nasir, Hattan, Aznil Hj Nawawi dan Ogy Ahmad Daud pada hujung bulan ini.

"Album bersama idola saya ini bukan kerana saya sudah tidak laku atau ingin tumpang publisiti mereka tetapi ini hasrat saya untuk berduet menyanyikan lagu-lagu tersebut bersama mereka," katanya yang bakal menyanyikan semula lagu Tidak Mungkin Berpaling bersama Zamani Slam.

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes