Bazar Ramadan Seniman Dapat Sambutan
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengambil inisiatif menganjurkan Bazar Ramadan bagi memberi peluang kepada para artis yang berminat untuk berniaga.
Bazar Ramadan Seniman yang bertempat di Kompleks Gurney, Jalan Semarak, Kuala Lumpur ini telah bermula pada hari pertama umat Islam berpuasa dan dijangka berakhir pada 10 September ini.
Menurut Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, penganjuran Bazar Ramadan ini merupakan usaha persatuan itu untukm mengalakkan artis berniaga dan mendapatkan wang sampingan.
"Kita mahu beri peluang kepada artis untuk menceburi bidang keusahawanan, mereka juga boleh menjadikan perniagaan ini sebagai sumber rezeki bulan Ramadan.
"Sebenarnya ramai artis yang berminat tapi tidak ada peluang untuk berniaga, jadi Seniman cuba buka laluan terutamanya pada bulan mulia ini," katanya.
Bazar yang kini mempunyai lebih 70 buah gerai artis ini tidak hanya tertumpu kepada jualan juadah berbuka, malah banyak barangan lain seperti pakaian Hari Raya turut dijual.
"Ia tidak hanya tertumpu kepada juadah makanan berbuka sahaja tetapi ada artis yang ingin menjual baju, tudung, aksesori, beg tangan dan banyak lagi.
"Bazar ini juga dibuka sehingga tengah malam bagi membolehkan orang ramai membeli belah untuk keperluan Hari Raya," jelasnya.
Tambahnya lagi, aktiviti pertama kali anjuran Seniman ini akan diteruskan dan dijadikan sebagai acara tahunan.
"Perancanagn untuk buka bazar ini sudah dibuat sejak tiga bulan sebelum puasa. Disebabkan sambutan yang mengalakkan kami merancang untuk teruskan pada setiap tahun," katanya.
Antara artis yang membuka gerai mereka seperti Fauziah Ahmad Daud, Shahriza Mahmud, Zed Zaidi, Zaibo, Am Raja Lawak, Rosnah Johari, Fouziah Ghous, Norkhiriah, Fimie Don dan Rina AF.
"Bila Musang Berjanggut" Lebih Kelakar
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SELEPAS sahaja selesai dengan drama yang diadaptasi daripada kisah Raja Bersiong, JS Pictures kini tampil pula dengan drama terbarunya Bila Musang Berjanggut.
Drama terbaru daripada JS Pictures itu merupakan hasil adaptasi daripada karya kreatif Tan Sri P. Ramlee yang diberi nafas baru dengan jalan ceritanya lebih komedi dan melucukan.
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, drama bersiri yang bakal ditayangkan itu memaparkan kelainan dan mengikut citarasa masyarakat kini.
"Drama bersiri itu akan disiarkan melalui Slot Lagenda bermula pada 29 Mac ini pukul 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Khamis.
"Slot Lagenda merupakan satu slot drama yang mengisahkan cerita rakyat ,dongeng dan lagenda yang diolah semula bersesuaian dengan audien masa kini," kata Nurul Aini.
Drama Bila Musang Berjanggut itu diterbit dan diarahkan oleh Azman Yahya (Jinggo) dan skripnya pula ditulis oleh Sofia Rhyland.
Hikayat ini mengisahkan mengenai Orang Kaya Jamil yang dilakonkan oleh Shahrulnizam. Kisahnya bermula apabila bapanya Tuan Termasyhur (Datuk Jalaluddin) berpura-pura sakit tenat dengan harapan anaknya Jamil akan pulang ke Malaysia dan berkahwin dengan gadis pilihannya.
Namun tanpa disangka, Tuan Termasyhur telah mengahwinkan anaknya itu dengan tiga orang wanita yang berlainan kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India secara serentak. Setelah berkahwin, Jamil disahkan mandul dan mereka tidak dikurniakan anak.
Jamil yang risau dengan harta keluarganya yang akan diwarisi oleh sepupunya Mamat Trump bagaimanapun telah mengambil anak angkat yang diberi nama Ashraff yang dilakonkan oleh Fizo Omar.
Ketika umur anak angkatnya mencecah 13 tahun, Jamil telah mengambil keputusan menghantar Ashraff bersama sepupunya Romeo menyambung pelajarannya ke luar negara.
Sekembalinya Ashraff ke tanah air, Jamil mula risau sekiranya Ashraff tidak mahu berkahwin dan harta keluarga Tuan Termasyhur akan jatuh ke tangan sepupunya. Justeru itu Jamil telah berjumpa dengan Faridah Aka Ferra untuk mencari jodoh untuk anaknya.
Namun Ashraff yang berkeras hati ingin membuktikan kepada keluarganya bahawa dia akan menemui "wanita sejati" telah menemui Cempaka (Nur Fathia) dan mereka telah disatukan sebagai suami isteri. Kehadiran Cempaka dalam keluarga Ashraff telah menimbulkan pelbagai perkara yang melucukan dan kelakar.
Antara barisan pelakon yang membintangi drama Bila Musang Berjanggut itu tediri daripada Fizo Omar, Nur Fathia, Shahrulnizam, Sheila Rusly, Mahmud Ali Bashah, Kuna, Datuk Jalaluddin Hassan dan Zaibo.
Sanggup Berhabis RM70,000 Untuk Lagu Runut
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SYARIKAT produksi SDAF Pictures Sdn Bhd yang baru berjinak-jinak dalam bidang penerbitan filem sanggup berhabis sehingga RM70,000 semata-mata untuk mendapatkan himpunan lagu-lagu yang berkualiti dan bersesuaian untuk dimuatkan dalam album runut bunyi filem sulung mereka, Lu Pikirlah Sendiri De Movie (LPSDM) arahan pengarah baru, Aminah Rhapor.
Album runut yang mengandungi 6 buah lagu baru hasil sentuhan Taja daripada kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) dianggarkan memakan kos sebanyak RM70,000.
Bercerita mengenai pemilihan Taja MUH untuk penghasilan lagu-lagu tema filem ini, Aminah berkata, penglibatan MUH dalam projek filem ini berlaku tanpa dirancang.
"Pada asalnya, ketika filem itu sudah siap, penyunting filem ini, Mat Salleh Mat Desa telah menggunakan lagu-lagu popular kumpulan MUH bagi mendapatkan mood dan menjiwai filem itu ketika proses suntingan.
"Kami mendapati muzik MUH amat bersesuaian dengan penceritaan filem LPSDM, lantas saya mula berunding dengan Taja bagi mendapatkan khidmatnya. Ketika mula-mula bertemu Taja, saya minta dia cipta tiga buah lagu baru yang bersesuaian dengan plot LPSDM.
"Taja mencipta setiap lagu mengikut perjalanan ceritanya. Kemudian, apabila lagu-lagu tersebut sudah siap dan kami dapati ia sangat sesuai dengan LPSDM, saya minta Taja cipta tiga lagu lagi untuk menghiasi filem ini.
"Ternyata hasilnya amat memuaskan. Semua lagu ciptaan Taja amat bersesuaian dengan babak-babak tertentu filem itu. Saya sangat gembira dengan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album runut bunyi filem ini," kata pengarah yang pernah bergelar Penolong Pengarah filem Baginda dan Wayang.
Taja yang turut ditemui di majlis pelancaran lagu-Lagu dan laman Web filem LPSDM, di Istana Budaya baru-baru ini, berkata, idea penghasilan lagu tema untuk sebuah filem bukanlah sesuatu yang asing di industri perfileman barat terutamanya di Hollywood. Namun, situasi itu jarang berlaku pada pembikinan filem tempatan disebabkan batasan kreativiti atau kewangan.
Lantas, apabila dipertanggungjawabkan untuk mengemudi aspek muzik LPSDM termasuklah scoring dan lagu-lagu temanya, dia begitu teruja untuk menggunakan peluang dan kepercayaan yang diberi bagi menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian dan dapat membantu menghidupkan jalan cerita.
"Saya cuba untuk hasilkan lagu-lagu yang bukan sahaja bersesuaian, malah dapat memikat pendengar.
"Selain itu, peluang untuk menerbitkan lagu-lagu tema filem ini juga adalah platform terbaik untuk saya tarik artis-artis baru seperti MUH, L.Danielle dan Mila, sama-sama memberikan impak kepada filem ini.
"Kami ingin memeriahkan filem ini melalui lagu-lagu yang dihasilkan dan berharap agar lagu-lagu baru ini mampu memberi impak dan meninggalkan kesan kepada penonton yang menonton filem ini kelak," ujar Taja penuh teruja.
Selain MUH, artis lain yang terlibat ialah bekas vokalis MUH, Azlan, pendatang baru kumpulan L.Danielle dan bintang genit, Mila. Enam lagu baru yang dimuatkan termasuklah Mula oleh MUH feat. Azlan, Tandus oleh MUH, Bulan oleh Mila; Harapan Palsu (Dengan Wajah Kau Berkata), Tak Keseorangan dan Plastik Retorik oleh kumpulan L.Danielle.
Kesemua enam lagu itu adalah hasil nukilan Taja MUH. Selain bertindak sebagai komposer lagu, Taja turut bertanggungjawab selaku pengarah muzik filem romantik komedi ini.
Menurut Aminah, strategi itu digunakan oleh pihak produksi LPSDM dengan harapan lagu-lagu yang bersesuaian dengan selera muzik semasa ini, mampu untuk menarik penonton apabila ia menjengah pawagam bermula 11 Februari depan.
Sambil mengharapkan tuah akan menyebelahi usaha sulung produksi yang rata-ratanya dibarisi oleh pelakon, pengarah, penerbit dan kru yang buat pertama kali terlibat dalam projek ini, Aminah berkata, dia dan seluruh tenaga kerja LPSDM berharap agar filem itu akan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat filem Melayu.
Filem yang berjudul Biarkan Kami Bercinta pada asalnya, bagaimanapun ditukarkan kepada Lu Pikirlah Sendiri De Movie setelah pihak produksi mendapati judul baru itu lebih menarik dan memberi impak kepada masyarakat.
Memandangkan judul baru itu sama seperti judul sebuah program di Astro Prima yang melibatkan bintang utamanya, Nabil, pihak produksi lantas memutuskan untuk menambah perkataan 'De Movie' di hujung tajuk 'Lu Pikirlah Sendiri' bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham.
Bagaimanapun, penggunaan tajuk 'Lu Pikirlah Sendiri' itu digunakan hanya setelah berbincang dengan empunya asal perkataan sebut, iaitu Nabil sendiri yang mempopularkan perkataan tersebut ketika terlibat dengan program Raja Lawak, dua tahun lalu.
Filem komedi romantik ini bukan sahaja sarat dengan elemen percintaan, malah turut menyelitkan mesej kasih sayang adik-beradik dan kekeluargaan.
Selain Puteri Sarah Liyana dan Nabil, LPSDM turut dibarisi Mila, kumpulan Meet Uncle Hussain, Zizan Raja Lawak, Vanida Imran, Liza Othman, Zaibo dan ramai lagi.
Maklumat lanjut mengenai LPSDM boleh diperolehi dengan melayari laman web rasmi filem itu di www.lupikirlahsendiri.com.