Badrul Muhayat Akan Dihadap Ke Mahkamah Esok
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PETALING JAYA: Aktor dan model Badrul Muhayat Ahmad Jailani akan didakwa atas tuduhan memukul dan mengugut isterinya pada 24 Mac lalu di Mahkamah Majistret Ampang pada pukul 9 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita akan mendakwanya mengikut laporan yang dibuat oleh isterinya, Julia Daud pada esok di mahkamah” katanya kepada mStar Online semalam.
Terdahulu, Badrul ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, tahanan reman itu dilanjutkan sehari lagi bagi melengkapkan siasatan.
Pelakon berusia 41 tahun itu ditahan polis di sebuah restoran di Taman Nirwana di Ampang sekitar pukul 11 malam 30 Mac lalu.
Pelakon yang terkenal melalui filem Harry Boy dan Riang Tirana pada tahun 1990-an itu gagal dikesan selepas didakwa memukul isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru minggu lalu.
Awal minggu ini, Julia menceritakan kejadian yang menimpa dirinya dan dianggap mimpi ngeri dalam perkahwinan mereka.
Badrul Belum Sedia Beri Komen Lanjut ??
by Abdul Hamid Lembah Bujang
AKTOR Badrul Muhayat, 41, yang dilaporkan diburu oleh pihak polis kerana mengasari isterinya, Julia Daud, 28, masih enggan memberi sebarang kenyataan mengenai perkembangan terkininya.
Ketika dihubungi mStar Online malam semalam, Badrul sekadar memberitahu dia sedang sibuk menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah membuat laporan polis.
"Saya sedang menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah hal keluarga dan laporan polis.
"Saya sangat sibuk malam ini dan tidak dapat beri komen lanjut berhubung berita yang tersebar," katanya.
Mendengarkan jawapan ringkasnya, mStar Online cuba memujuk aktor itu untuk mengulas lanjut. Bagaimanapun, dia menolak untuk memberi sebarang komen.
"Malam ini (semalam) tidak sesuai untuk saya beri apa-apa komen tentang berita itu. Saya sangat sibuk berurusan di balai polis.
"Saya belum sedia untuk beri apa-apa komen lanjut. Cuba hubungi saya semula esok (hari ini)," jelasnya sebelum menamatkan perbualan.
Menurut laporan sebuah akhbar tabloid semalam, isterinya Julia bersama kedua-dua anaknya Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, dua bulan kini berada di kampungnya di Sungkai, Perak, untuk menenangkan fikiran selepas kejadian itu.
Justeru, bunyi tangisan anak kecil yang kedengaran di hujung talian ketika perbualan itu berlangsung sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya adakah Badrul sudah pun menemui keluarganya semula.
Dalam laporan mStar Online semalam, Badrul begitu berang dengan laporan diterbitkan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa dia bertindak kejam terhadap isterinya.
Badrul menyifatkan laporan itu sebagai sesuatu yang melampau dan hanya diperbesarkan daripada fakta sebenar yang berlaku.