Que haidar & isteri Linda jasmine clubbing?"
by Abdul Hamid Lembah Bujang
HarianMetro: “Kami tak minum arak itu!” tegas pelakon terkenal, Que Haidar, 32, mengulas penyebaran gambarnya bersama isteri, Linda Jasmine dan beberapa individu berseronok di samping ada gelas dan botol arak di atas meja.
Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, mereka hanya menghadiri majlis hari lahir seorang kawan Linda yang bukan beragama Islam.
“Sebelum itu kami makan malam bersama keluarga mentua. Dalam perjalanan pulang, Linda menerima panggilan daripada seorang rakan yang mahu kami hadir ke majlis hari lahirnya.
“Selepas dihubungi berkali-kali, kami singgah sebentar ke tempat itu bagi meraikannya. Namun, terus terang kami tidak langsung menyentuh arak, manakala arak di atas meja itu (merujuk kepada gambar di Internet) adalah milik orang lain.
“Malah, rakan Linda turut mendapatkan nasi lemak selepas saya memberitahu nak makan makanan itu selain meminum air mineral,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Que yang nyata tidak menyenangi penyebaran gambar itu meminta orang ramai tidak mudah membuat tanggapan negatif.
“Serba salah dibuatnya. Rasa marah, geram, sakit hati, malah kelakar pun ada. Namun sebenarnya ia boleh menjejaskan kami, termasuk keluarga, apabila mendengar khabar angin negatif ini,” katanya.
Sementara itu, kenyataan Que turut disokong Linda, 38.
“Tak adil menilai kami dengan hanya melihat gambar berkenaan tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Saya tak minum arak dan tidak merokok langsung. Rokok (di tangan Linda dalam satu gambar) itu orang lain punya, mungkin Que, dan saya hanya memegangnya,” katanya.
Menurut Linda, tindakan menyebarkan gambar itu satu perkara tidak baik dan akan menjejaskan maruah mereka sekeluarga.
“Walaupun kami menjelaskan keadaan sebenar, akan ada (masyarakat) yang terus memandang buruk kepada kami hanya disebabkan tindakan (penyebaran gambar) itu,” katanya.
Que Haidar Pentingkan Disiplin Sebagai Jurulatih Drama AF8
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SIAPA sangka Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) turut membuat kejutan dengan memilih Que Haidar sebagai jurulatih drama bagi rancangan itu.
Bagi aktor berbakat ini, kepercayaan yang diberikan oleh pihak ASTRO kepadanya untuk membimbing pelajar-pelajar AF8 sebagai jurulatih drama membuktikan dirinya kini diiktiraf sebagai pelakon yang berkebolehan.
"Mula-mula dapat tawaran itu, saya rasa terperanjat. Tapi selepas difikirkan kembali, saya rasa begitu teruja sekali.
"Walau apa pun, saya rasa ia adalah satu penghargaan buat diri saya kerana pihak Astro memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya," ujarnya selepas majlis Sidang Media dan Pengumuman Rasmi Pengetua, Pengacara, dan Tenaga Pengajar AF8, di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun sibuk dengan kariernya sebagai pelakon, Que dengan penuh yakin memberitahu akan menggalas tanggungjawab yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh.
"Kalau ikutkan, kerja saya memang sibuk tapi saya akan menjadi seorang guru yang terbaik buat pelajar-pelajar saya.
"Saya akan berkongsi pengalaman dengan mereka sebagai pelakon dan turut mengaplikasikan apa yang saya pernah belajar semasa di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) suatu masa dulu," kata Que, yang berusia 31 tahun.
Ditanya mengenai caranya yang tersendiri untuk melatih pelajar-pelajarnya, Que memberitahu, dia akan mementingkan disiplin dan ketegasan semasa melatih pelajar-pelajarnya.
"Saya sudah pun diberi silibus untuk sesi saya dan saya yakin dengan pengalaman lebih kurang 13 tahun dalam bidang lakonan, saya boleh memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman dengan pelajar saya.
"Tapi susah nak cakap juga, kerana saya belum bertemu dengan pelajar-pelajar AF8," ujar ayah kepada Puteri Ratu Haidar ini.
Berkat usaha dan bakat yang dimiliki pelakon yang semakin meningkat naik ini, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar membuktikan dirinya setaraf dengan pelakon-pelakon terkenal tanah air.
Menurut suami kepada koreografer Linda Jasmine Hashim ini, dia tidak menafikan perasaan gementarnya untuk memulakan tugasannya itu selain tiada pengalaman bekerja dengan Norman (KRU).
"Saya rasa sedikit gementar, mungkin tiada pengalaman bekerja dengan Norman, tapi saya tetap akan jalankan tanggungjawab itu dengan baik," katanya.
Que turut menjelaskan mengenai bayaran yang diterimanya itu setimpal dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Tahniah, Que – Linda dapat anak perempuan
by Abdul Hamid Lembah Bujang
Tahniah GUA ucapkan pada Que Haidar dan Linda Jasmine atas kelahiran puteri sulung mereka, Tengku Ratu Haidar semalam, jam 2 petang di Hospital Glenagles, Ampang. Ratu, seberat 3kg, dilahirkan secara Ceasarean.
Dari perkahwinan pertamanya, Linda dikurniakan seorang anak lelaki, Qalif Khan, lapan tahun.
Duhai Si Pari-Pari Buka Tirai 2010
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KUALA LUMPUR, 25 DISEMBER 2009: Filem terbaru terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Duhai Si Pari Pari akan menjadi filem tempatan yang akan ditayangkan bersempena sambutan Tahun Baru 2010.
Filem yang akan muncul di pawagam mulai 31 Disember 2009 ini adalah karya terbaru daripada syarikat Tayangan Unggul Sdn Bhd dan diarahkan oleh sutradara baru, Azmi Md Hata. Duhai Si Pari Pari lakonan Liyana Jasmay, Que Haidar, Nabila Huda dan Harun Salim Bachik ini telah pun dipertontonkan kepada media tempatan menerusi tayangan prebiu di Mid Valley Megamall, baru-baru ini.
Filem ini berkisar tentang kisah seorang pari-pari yang turun dari kayangan dalam hajat mencari cinta sejati. Ia juga diilhamkan daripada elemen cerita klasik Aladdin apabila seorang makhluk istimewa telah muncul dalam objek yang sakti untuk menyelamatkan seorang lelaki yang jujur dan seringkali ditipu oleh golongan berhati jahat.
Azmi yang sebelum ini seorang pengarah drama dan dokumentari telah diberi tanggungjawab untuk mengemudi Duhai Si Pari Pari yang menelan bajet RM1.4 juta. Difahamkan, sasaran filem bercorak fairy tale - romantic comedy ini adalah seisi keluarga dan bukan saja golongan remaja.
"Selama ini kita sudah banyak menonton filem khalayan daripada Walt Disney, jadi inilah yang ingin kita paparkan dalam Duhai Si Pari Pari mengikut kesesuaian masyarakat kita. Terima kasih saya ucapkan kepada produser filem ini, Gayatri Su-Lin Pillai yang sudi memberikan kepercayaan kepada saya untuk mencuba sesuatu yang baru dalam industri perfileman tanah air," kata Azmi kepada murai.com.my.
Antara pelakon yang hadir pada malam prebiu tempoh hari adalah Que Haidar, Liyana Jasmay, Nabila Huda, Harun Salim Bachik dan Datuk Aziz Sattar. Jadi, buat anda, jangan lupa saksikan Duhai Si Pari Pari di pawagam pada 31 Disember ini.