Amy Search Diperintah Bayar RM18,000
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Amy Search membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada Nik Muhammad Zakwan, 4, selepas bahagian belakang badan kanak-kanak itu melecur akibat kecuaian pekerja Restoran Cheng Ho milik penyanyi itu.
Ketika mahu meminta komen Amy menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini, dia yang baru tiba dari Pulau Pinang kerana menjayakan sebuah persembahan semalam enggan memberikan sebarang komen kerana belum bertemu dengan peguamnya.
Pada 24 September 2008, Nik Zahir Nik Mohd. Idris memfailkan saman bagi pihak anaknya, Nik Muhammad Zakwan, 4, kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho milik Amy di Wangsa Maju cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan anaknya melecur.
Dalam saman itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 51, sebagai pemilik restoran Cheng Ho, di mana kejadian itu berlaku, telah dinamakan sebagai defendan
60 Peratus Tiket DT Terjual
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KONSERT Double Trouble (DT) yang mengabungkan dua kumpulan lagenda rock tanah air iaitu Search dan Wings pada 1 Mei ini sudah pun terjual sebanyak 60 peratus.
Menurut Pengarah Konsert, Zainurin Jaafar, lokasi konsert tersebut mampu menempatkan seramai 15,000 pengunjung. Manakal pihaknya menyasarkan lebih 10,000 penonton bakal membanjiri Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Memamg kami menyasarkan 10,000 pengunjung dan mungkin ia boleh mencapai tahap maksimum kepada 15,000.
"Sehingga kini sebanyak 60 peratus tiket telah terjual, dan saya jangkakan jumlah akan meningkat pada saat-saat akhir nanti, maklumlah rakyat Malaysia suka membeli pada saat-saat akhir," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Double Trouble, semalam. Sementara itu, perkhidmatan bas Rapid KL akan disediakan secara percuma di tiga kawasan bagi kemudahan pengunjung. Antaranya di Taman Jaya, Pusat Bandar Damansara dan LRT Bangsar.
Perkhidmatan ini akan disediakan pada setiap 20 minit di kawasan yang telah ditetapkan sehingga ke Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Pengangkutan ini akan disediakan dari pukul 5 petang sehingga 9 malam manakala waktu baliknya pada pukul 10 malam hingga 12 tengah malam.
"Selain itu, pihak polis juga memberi kerjasama dengan memantau sekitar kawasan konsert sepanjang konsert itu berlangsung," katanya.
Selepas hampir 17 tahun tidak bersatu di atas pentas berskala besar, Search dan Wings bakal menggegarkan Bukit Kiara dengan persembahan pada konsert DT kali ini.
DT anjuran Adept Net Productions adalah lanjutan daripada Konsert Double Trouble yang pernah mereka jayakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1993.
Konsert pertama yang menggabungkan dua kumpulan itu diadakan selepas mereka menerbitkan album bersama berjudul Double Trouble pada 1992.
Double Trouble juga telah menunjukkan keserasian antara Search dan Wings, di mana jualan album itu menjangkau 180,000 unit, membuktikan sambutan para peminat terhadap mereka.
Simbol 'Mata' Maksud Mencari, Bukan Unsur Freemason
by Abdul Hamid Lembah Bujang
VOKALIS Amy Search hanya tergelak saat ditanya mungkinkah kumpulan rock unggul itu akan mengubah logo mereka setelah ianya dikatakan simbol 'Mata' yang digunakan, menyerupai unsur ‘Freemason’ dan ‘Illuminati’ semasa membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini.
"Kami gunakan logo 'Mata' sudah bertahun-tahun lamanya. Tidak timbul ada unsur Freemason atau Illuminati kerana 'Mata' membawa maksud mencari atau 'searching.'
"Kami tidak pernah terfikir pun pasal Freemason atau Illuminati. Bagi Search, logo berbentuk tiga segi dan mata itu hanya satu simbol. Saya sangat terkilan kerana ia tidak seharusnya menjadi isu," kata Amy ketika menghubungi mStar Online semalam.
Sambungnya lagi, "Sewaktu Search mula-mula keluar dulu, kami gunakan simbol burung 'Vulture' dan selepas itu baru kami tukar kepada lambang mata. Bagi saya semuanya hanya satu kebetulan saja, sama seperti 'The Master Carpet' yang turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu gerakan Freemason.
"Berapa ramai orang buat lantai rumah menggunakan motif Checkered Floor ini. Takkanlah mereka semua ini ahli Freemason?," kata Amy.
Persembahan Hujan menerusi lagu Aku Skandal di AJL 24, didakwa mempunyai unsur ‘Freemason’ apabila Hujan menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.
"Andaian atau hipotesis yang cuba diutarakan tidak nampak sebarang logika. Saya juga menyangkal dakwaan konon kami dieksploitasi oleh pihak teknikal atau team produksi TV3.
"Saya rasa perkara ini berlaku secara tidak sengaja. Tidak timbul isu mengalakkan unsur Freemason atau sebagainya," jelas penyanyi terkenal ini yang aktif dalam beberapa usaha dakwah di negara ini.
Amy, bagaimana pun tidak terkejut dengan pendedahan dalam blog milik seorang penuntut Malaysia di Jordan, Mohammad Sufian Talib, 22, mengenai unsur-unsur negatif yang ditemui sepanjang majlis itu, yang berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.
"Search sudah establish selama tiga dekad. Kami tahu apa yang haram dan dilarang. Tidak mungkin kami dipengaruhi unsur Freemason. Its just coincidental...,"kata Amy.
Blog jejakitinggalanrasul.blogspot.com itu secara berani mendedahkan bukti-bukti gambar gerakan Freemason dan Illuminati yang dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan set pentas program yang ditonton oleh 5 juta penonton itu.
Menurut sebuah akhbar, Freemason dan Illuminati adalah pertubuhan rahsia ke arah pembentukan New World Order dan mereka bergerak untuk mengawal dunia secara keseluruhan.
Selain Search, antara artis lain yang mirip kepada lambang yang terdapat pada logo Freemason adalah set pentas ketika persembahan Datuk Siti Nurhaliza.
Dalam blog tersebut, Sufian berkata: “Anda juga mungkin dapat lihat persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?
Alyah, finalis AJL 24, yang mengenakan gaun merah ala-ala ‘Lady In Red’ juga dikaitkan membawa simbolik yang digunakan dalam menjayakan organisasi ini serta bagaimana mesej bawah sedar digunakan seperti yang dipertontonkan dalam filem Devil’s Advocate, The Matrix dan dokumentari The Arrivals bahagian 13.
Selain itu, Sufian yang mewakili kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT) mengulas persamaan yang ditonjolkan oleh ramai pemain gitar seperti band Hujan dan Bunkface yang menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet
Konsert Suatu Masa Amy Search Di Istana Budaya Janji Kelainan
by Abdul Hamid Lembah Bujang
MENDENGAR sahaja konsert atau persembahan Amy Search, sudah pasti gambaran lokasinya adalah di stadium atau pusat hiburan.
Namun kali ini Amy akan menampilkan kelainan pada persembahannya dengan mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Menurut ikon lagenda rock ini, kali pertama dia menjejak kakinya di IB semasa membuat persembahan pementasan teater muzikal Islam, Sirah Junjungan II - Tahajud Cinta atas jemputan Erma Fatima.
Kali ini, persembahan yang dinamakan Suatu Masa Amy Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan itu bakal menampilkan persembahannya bersama iringan Orkestra Simfoni selama satu jam 45 minit di Panggung Sari, IB.
Persembahan muzikal Amy yang bakal berlangsung selama tiga malam berturut-turut bermula 26 Mac ini akan menampilkan lagu-lagu popularnya di samping penceritaan tentang tiga fasa perjalanan seninya sehingga kepada transformasi penampilannya yang lebih kepada konsep kerohanian dan ketuhanan.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Fantasia Bulan Madu itu, dia akan membuat persembahan berbentuk muzikal yang menampilkan prolog di bawah pimpinan Fauziah Ahmad Daud pada ketiga-tiga malam tersebut.
Persembahannya yang luar biasa itu akan dimulakan dengan overture secara instrumental oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dan nyanyian lagu-lagu yang terpilih termasuk lagunya yang terbaru sebelum mengakhiri persembahannya dengan irama yang berkonsep ketuhanan, seperti Asma ul-Husna.
Ketika ditanya mengenai kelainan persembahannya kali ini, Amy memberitahu persembahannya itu akan memberikan pengalaman dan perjalanan baru kepada peminatnya yang lebih sinonim dengan konsertnya yang terbuka seperti di stadium.
Menurutnya lagi, peminatnya akan dapat merasai seolah-olah mereka 'bangsawan' datang untuk menyaksikan persembahannya pada malam tersebut.
“Ia akan memberikan pengalaman dan perjalanan baru kepada peminat saya kali ini mereka akan merasai seperti golongan bangsawan datang untuk melihat persembahan,” katanya.
Bapa kepada aktres Nabila Huda itu juga mengakui perasaan terharu dan teruja kerana dijemput untuk mengadakan persembahannya di IB. “Saya terharu dan teruja kerana dijemput mengadakan persembahan di IB. Tambahan pula saya belum pernah mengadakan persembahan sendiri di sana," ujarnya.
Penyanyi yang turut popular dengan lagu Isabella ini mengakui berdebar kerana persembahannya bakal berlangsung di tempat yang dianggap berprestij.
Sementara itu, Amy merahsiakan senarai lagu-lagu yang bakal dinyanyikan pada malam tersebut pada malam tersebut itu sebagai kejutan kepada peminat-peminatnya.
Penganjur persembahannya sulungnya di pentas berprestij tersebut adalah Mentari Channel Network dan IB dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Saksikan Suatu Masa Amy Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada 26 hingga 28 Mac di Istana Budaya (IB), dengan tiket berharga RM40, RM60, RM80, RM120,dan RM150.Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian
Amy Search: Vokal Saya Mesti Tak Sama Macam Dulu....
by Abdul Hamid Lembah Bujang
MASIH terngiang dan terbayang lagi kehangatan persembahan Search ketika malam Anugerah Juara Lagu ke-24 di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini.
Ramai penonton yang berpuas hati dengan persembahan dua buah lagu iaitu Pawana dan Fantasia Bulan Madu semasa persembahan interlude itu.
Bukan sahaja menghadiahkan tepukan yang gemuruh, malah ramai penonton dalam stadium itu memberikan standing ovation kepada kumpulan yang sudah berusia 30 tahun itu.
“Kami berpuas hati dengan persembahan selama empat minit pada malam itu walaupun hanya dua kali praktis. Apabila melihat reaksi peminat pada malam itu, saya rasa seperti peminat Search tidak pernah pudar dan masih di situ.
“Saya rasa seperti di luar jangkaan dan persembahan kami bagaikan ditunggu-tunggu. Bayangkan, penonton dalam stadium itu bukan datang dari segolongan umur sahaja tetapi semuanya menyanyikan beramai-ramai sehingga saya berkhayal seperti sedang bertanding,” kata Amy yang masih setia dengan bandnya walaupun dalam masa yang sama bergerak secara solo.
Amy turut menghargai semua peminat Search yang turut serta di stadium pada malam itu.
“Banyak maklum balas positif yang saya terima daripada peminat mengenai persembahan itu. Mereka betul-betul seronok.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memberikan standing ovation kepada Search,” katanya yang akan terlibat dengan persembahan jelajah Search Live In UK & Ireland di Dublin, London dan Liverpool pada 12 hingga 22 Februari depan.
Namun begitu, ada juga berani mengkritik vokal Amy yang dikatakan sudah tidak senyaring dahulu.
Biar apa pun orang kata, Amy akui dia tidak hairan dengan perubahan vokalnya itu asalkan dirinya diberikan kesihatan yang baik untuk terus menyanyi.
“Vokal saya mesti tak sama macam dulu. Asalkan saya boleh menyanyi dan penonton suka nyanyian saya pun dah cukup. Mungkin penonton yang mengkritik saya itu telah meletakkan sasaran 100 peratus bagus,” ulasnya dalam nada tenang.
Selain daripada persembahan jelajah itu, Amy berkata Search akan menghasilkan album terbaru mereka pada Jun depan.