Ameng dijatuhi hukuman gantung sampai mati!
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KLUANG: Vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori selepas didapati bersalah mengedar dadah di ibu kota, baru-baru ini.Ameng yang bakal digantung tidak lama lagi, sempat menyanyikan lagu dipopularkan Jamal Abdillah, Mati Hidup Semula menyebabkan sebahagian banduan serta kakitangan Kompleks Penjara Kluang menitiskan air mata.
Bagaimanapun, itu semua hanya sketsa lakonan Ameng serta beberapa banduan lain sempena program Mesej dari Penjara di Kompleks Penjara Kluang, semalam.
Dalam sketsa itu, Ameng melakonkan watak Hairul, seorang jejaka kampung yang berhijrah ke ibu kota dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidupnya.
Pelbagai dugaan dilalui bersama kenalan rapatnya, Ali, sebelum kedua-duanya terjebak dengan kegiatan mengedar dadah.
Inspektor Polis Saksi Ameng Jalani Ujian Saringan Awal Air Kencing
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa beliau sendiri menyaksikan penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng menjalani ujian saringan awal air kencing untuk pengesanan dadah.
Pegawai Penyiasat di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul Insp Mohamad Nizan Mohamad Nor, 29, yang merupakan saksi keempat kes itu, turut memberitahu mahkamah bahawa beliau ada memerhatikan Ameng ketika penyanyi itu kencing.
"Kedudukan saya dalam dua kaki di belakang Detektif Koperal Norazman Mohamed ketika tertuduh membuang air kencing dan saya menyaksikan sendiri tertuduh kencing ke dalam botol plastik yang diberikan kepadanya. Kami turut mengiringi tertuduh ke tandas untuk membuang air kencing," katanya.
Mohamad Nizan berkata beliau sendiri yang "seal" botol itu di hadapan tertuduh selepas ujian saringan air kencing dilakukan dan beliau telah mengarahkan Norazman untuk menyerahkan barang kes kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sjn Halimi Jarkasi.
Ketika disoal peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman, yang mewakili Ameng, siapa yang menulis butiran pada label botol itu, Norazman berkata: "Lans Koperal Zaidi yang menulis butiran pada label itu dan saya nampak dia (Zaidi) menulis butiran pada label itu".
Mohamad Nizan juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak ingat siapa yang melekatkan label itu pada botol yang mengandungi air kencing tertuduh, namun beliau tidak bersetuju dengan cadangan Kamarul Zaman bahawa label itu tidak dilekatkan di hadapan tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir akan bersambung esok.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.
Pada 12 Mei lepas, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.45 petang 2 April.
Penyanyi itu diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Ameng, yang popular dengan lagu "Bourgenvilla" dan "Sampai Hati", didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA