Wartawan Geleng Kepala Tonton "2 Alam" bleh ke cecah RM40 juta?? tidak masuk akal lansung.
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PETALING JAYA: Penerbit filem 2 Alam, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din yang tidak mahu mengadakan tayangan media filem itu kerana bimbang dikritik tentunya kecewa apabila wakil media berjaya menonton filem tersebut sewaktu tayangan perdana sempena Festival Filem Malaysia ke 23 (FFM23) di e@Curve, Damansara, di sini malam Rabu lalu.
Ramai wartawan yang terkejut menonton filem itu selepas menggambarkan angan-angan Dr. Rozmey sebelum ini yang menjangkakan filem berkenaan akan mendapat kutipan pecah panggung dengan kutipan RM40 juta apabila ia ditayangkan serentak di 83 buah pawagam pada 18 November ini.
Pihak media yang menyaksikan filem itu sekadar ingin tahu kenapa selama ini Dr. Rozmey mengelak untuk mengadakan pro-tonton seperti yang dilakukan kebayakan penerbit filem?
Adakah kerana beliau mempunyai strategi tertentu ataupun benarkan filem berkenaan sebuah karya luar biasa daripada individu yang mendakwa kreatif seperti beliau?
Beberapa wartawan yang ditemui memberi pelbagai reaksi selepas menonton filem berkenaan yang kebanyakannya menggelengkan kepala melihat hasil filem itu.
Ketua Editor portal Murai.Com, Ellyana Ali berkata, filem berkenaan tidak sesuai ditonton oleh golongan remaja kerana menampilkan adegan ranjang yang agak keterlaluan.
Katanya aksi di atas katil dan adegan-adegan rogol yang ditonjolkan hanyalah bertujuan untuk menarik perhatian penonton berbanding maksud asal filem itu untuk memberi nasihat mengenai kesan menukar jantina oleh seorang lelaki.
“Ia sama sekali tidak sesuai ditonton oleh golongan remaja kerana adegan-adegan di atas katil yang keterlaluan,” katanya.
Ellyana turut berkata Dr. Rozmey akan mendapat kutipan RM40 juta sekiranya filem itu ditayangkan di pawagam “fantasinya”.
“Saya rasa jika di campur dari 83 buah pawagam dengan pawagam-pawagam fantasinya, mungkin jumlah itu akan menepati sasaran,” katanya menyindir.
Wartawan hiburan Mingguan Malaysia, Arif Nizam Abdullah pula berpendapat kualiti filem2 Alam tidak setanding dengan sasaran kutipan yang diuar-uarkan.
Tambahnya, berdasarkan kepada pengamatannya, untuk memperoleh RM400 ribu pun belum tentu berjaya kerana filem itu hanya setaraf sebuah drama.
“Filem ini terlalu kerap mengulang babak yang sama. Selain itu, lakonan watak transeksual yang ingin ditonjolkan tidak nampak realistik. “Apabila melihat hasil filem ini saya rasa ia boleh membuat penonton tertipu dengan sasaran RM40 juta yang diperkatakan oleh beliau,” katanya. Arif Nizam juga menambah, terdapat beberapa babak dalam filem ini tidak sesuai untuk menjadi tontonan umum.
Antaranya ialah adegan panas di atas katil, dalam tab mandi, dalam kereta serta dialog yang berunsur lucah.
Pengarang Hiburan Metro Ahad, Abie Abdullah pula berkata, 2 Alam mempunyai subjek yang baik iaitu tentang keinsafan dan keterlanjuran hidup seorang manusia tetapi persembahan subjek itu dilihat lemah sehingga mengganggu penyampaian sebenar mesej.
Katanya, ada filem lain yang lebih teruk dari 2 Alam tetapi filem ini diperkatakan kerana provokasi yang dilakukan oleh pelbagai pihak.
“Dengan provokasi demi provokasilah membuatkan orang tertanya-tanya tentang filem ini,” katanya.
Sementara itu wartawan hiburan Berita Minggu, Zul Husni Abdul Hamid berkata filem tersebut mempunyai jalan cerita yang menarik tetapi teknik imbas semula (flash back) yang ditampilkan membuatkan 2 Alam menjadi filem murahan.
Dalam masa yang sama gandingan pelakon baru Royadi Madada dan Suhaillah Salam gagal memperlihatkan filem tersebut berkualiti.
Lebih ketara katanya, adegan seks murahan telah menyimpang dari konsep filem yang bertujuan untuk mendidik orang ramai supaya menjadi lebih insaf.
“Filem ini seolah-olah mengaburi mata masyarakat dengan menampilkan adegan dan teknik “flash back” mengenai seks yang keterlaluan,” katanya.
Beberapa wartawan lain yang diminta komen mengenai filem tersebut enggan memberi sebarang ulasan dengan alasan filem berkenaan tidak layak untuk diberi kritikan.
mStar Online pula berpendapat filem ini tidaklah seburuk seperti yang digambarkan tetapi cara penerbitnya melakukan promosi dengan lebih banyak mengkritik pihak-pihak tertentu adalah tidak wajar.
2 Alam turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Sabree Fadzil, Faizal Hussein , Rosnah Johari dan Kuswadinata.
Ia mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang menukar jantina serta mempunyai hubungan terlarang.
“Wanita” berkenaan akhirnya membunuh diri menyebabkan mayatnya sukar dikebumikan secara sempurna.
Dr Rozmey Akan Terbitkan Filem Aksi Berprofil Tinggi 'Muay Thai'
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BELUMPUN reda kontroversi filem sulungnya '2 Alam', penerbit bertaraf jutawan dan ikon rakyat, Datuk Dr Che Rozmey Che Din akan menghasilkan filem keduanya bertajuk,'Muay Thai'.
Filem aksi berprofil tinggi ini akan diterbitkan di bawah label dr Movie Production, dan bakal menyaksikan penglibatan pelakon dari Malaysia dan Thailand termasuk peserta Tomoi antarabangsa yang terlibat dalam Potender Asia 2.
"Filem ini bakal merentasi sempadan negara bukan sahaja di negara Gajah Putih, malah turut ke peringkat antarabangsa," jelas jutawan berhemah ini ketika berkunjung ke mStar Online semalam.
'Muay Thai' mengisahkan seorang banduan yang dipenjara serta diseksa oleh dua kumpulan banduan yang disokong oleh warden penjara.
Tambah hartawan ternama ini, kumpulan banduan terbabit mendapat lampu hijau daripada warden penjara untuk membelasah banduan itu sebagai membalas dendam yang sudah lama tersemat.
“Filem ini berkisar mengenai kisah pergaduhan, pembunuhan, dendam kesumat dan pengedaran dadah yang melibatkan sempadan kedua-dua negara jiran Malaysia dan Thailand,” kata bekas pakar sakit puan dan perbidanan ini.
Sebagai penerbit, Dr Rozmey akan menampilkan barisan pelakon popular dan baru untuk filem keduanya.
"Doktor akan membuka peluang kepada pelakon yang sudah mempunyai nama dan bakat-bakat terpendam dalam seni lakonan," jelas penerbit filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing ini.
Penggambaran 'Muay Thai' dijangka akan dibuat di penjara kedua-kedua negara di mana kira-kira 60 peratus pengambaran yang dibuat dalam tirai besi itu.
Ditanya mengenai filem '2 Alam' di mana majlis pelancarannya dijangka berlangsung pada bulan April 2010, Dr Rozmey berkata, ia bakal mencatat sejarah apabila ramai VVIP yang akan dijemput hadir bagi menyaksikan filem sulung terbitan produksinya.
Selain itu, personaliti yang semakin dikenali ramai ini, bercadang membuat ‘road tour’ ke seluruh Malaysia bagi mengajak masyarakat menonton filem ini.
Filem '2 Alam' ini turut dijadikan platform bagi mencapai satu juta fanatik menjelang 2013 nanti.
Apa yang direncanakan Dr Rozmey bukan sekadar cakap-cakap kosong kerana secara diam-diam, beliau telah menyusun strategi dengan teliti.
"Rakyat negara ini kurang menonton filem tempatan di panggung wayang jika dibandingkan dengan negara luar.
"Ini mungkin disebabkan kualiti filem Malaysia kurang dan kesibukan masa untuk menonton wayang di panggung dijadikan sebab kepada masalah ini," jelas Dr Rozmey yang semakin bersemangat mencapai sasaran RM12 juta kutipan untuk filem sulungnya itu.
“Filem '2 Alam' ini dihasilkan dengan visi yang jelas iaitu untuk mengangkat martabat filem negara. '2 Alam' boleh dikategorikan sebagai filem wajib tonton untuk rakyat Malaysia,” katanya yang memberikan kebebasan kepada warga produksi untuk berkarya dengan cara Dr Rozmey.
Dalam perkembangan yang sama, usahawan produk 'Just Mate 5', satu uji bakat bagi pemilihan filem 'Muay Thai' akan dibuat pada minggu ketiga Mac di ibu pejabat Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM), Jitra.
Uji bakat itu bakal dikendalikan oleh panel berkaliber dan berpengalaman dalam industri filem negara yang diketuai oleh Imran Ismail.
“Doktor ingin mencari pelakon yang sesuai dan berbakat dengan watak yang ditawarkan dalam filem tersebut.
"Kita buat pemilihan bukan sekadar mengambil pelakon tangkap muat sahaja. Peluang menjadi pelakon filem ini terbuka kepada semua pelakon, lelaki atau perempuan dan tidak kira dah popular atau belum," jelasnya.
Malah pengarah filem 'Muay Thai' juga sudah dikenal pasti.
Ditanya tentang kontroversi pengarah Hairee Othman yang membuat laporan polis kerana mendakwa tidak mendapat bayaran, Dr Rozmey berkata, semuanya sudah beres.
Sambil tersenyum, Dr Rozmey berkata, "Doktor tidak suka cerita-cerita negatif.
"Doktor akan cuba elakkan cerita-cerita negatif dan kalau boleh tidak mahu terpalit dengan berita-berita begini. Untuk diterima dalam industri perfileman ini, kita perlu ada personaliti yang bersih.
"Semakin tinggi profil kita, semakin tinggi risikonya sebab tu doktor kena hati-hati....," kata usahawan terkenal ini.
Doktor Jenis Orang Yang 'Cash'! - Dr Rozmey
by Abdul Hamid Lembah Bujang
TIDAK sampai seminggu pun cerita 'panas' mengenai isu 'ketegangan' antara Hairie Othman, filem 2 Alam dan produsernya, Datuk Dr. Rozmey menghiasi dunia hiburan tempatan. Kini, timbul pula dakwaan yang mengatakan produser dan usahawan glamor itu gagal melunaskan bayaran Hairie dan krew filem terbabit.
mStar Online lantas menghubungi usahawan produk Jus Mate 5 ini bagi mendapatkan komen dan pandanganya berhubung dakwaan terbaru itu.
Menurut Dr Rozmey, dakwaan mengenai dia tidak membuat bayaran kepada aktor yang juga pengarah filem itu tidak timbul dan hanyalah satu isu kecil.
"Isu ini adalah isu kecil dan tidak patut timbul. Biasalah, dalam hidup ini kalau kita buat baik pun tetap ada pihak yang ingin memburuk-burukkan kita.
"Apa yang pasti dakwaan itu tidak betul kerana semua krew termasuk Hairie dapat bayaran atas kerja mereka. Malah semua orang gembira dan berpuas hati dengan hasil filem ini," katanya memulakan bicara.
Tambah Dr Rozmey, sebagai produser dia sudah tentu berkemampuan untuk menjelaskan segala bayaran kepada semua krew terlibat sebaik sahaja kerja-kerja penggambaran tamat.
Jika tidak masakan dia berhajat untuk menerbitkan filem yang menelan belanja jutaan ringgit itu.
"Doktor orang yang 'cash'. Doktor mampu bayar secara tunai bayaran semua pihak yang terlibat, baik kepada Hairie mahupun semua pelakon dan krew.
"Doktor ini orang yang jujur. Bukannya orang yang menipu. Lagipun, buat apalah Doktor hendak menipu.
"Doktor sendiri yang pastikan semua pelakon dan krew dapat bayaran masing-masing. Boleh tanya pada Hairie sendiri sama ada Doktor sudah bayar atau tidak bayarannya," jelas Dr Rozmey yang begitu gemar menggunakan gantinama 'Doktor'.
Ketika diminta untuk mengulas mengenai hubungannya dengan Hairie Othman, Dr Rozmey berkata, dia dan Hairie tidak mempunyai sebarang masalah seperti yang digembar-gemburkan.
Malah, Hairie juga amat berpuas hati dengan layanan dan bayaran yang diberikan untuk tugas mengarah filem 2 Alam itu.
"Doktor dan Hairie tiada sebarang masalah. Malah, dia sangat berpuas hati dengan bayaran penuh dan layanan atas kerja yang dilaksanakannya.
"Mengapa perlu saya dan Hairie bercakaran? Perkara itu tidak timbul langsung. Filem ini pun sudah siap dan segalanya sudah selesai dengan baik.
"Bagi Doktor, tidak perlu timbulkan perkara berbangkit jika ia tidak berasas. Apa yang penting sekarang adalah bergerak ke arah matlamat untuk mencapai sasaran RM12 juta itu," katanya dengan nada sedikit kecewa ekoran segala spekulasi yang timbul.
Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Rozmey sempat ditanya tidakkah isu yang timbul itu secara tidak langsung mencalar reputasinya sebagai figura korporat, namun Dr Rozmey begitu optimis dan enggan menuding jari pada mana-mana pihak.
"Doktor tidak mahu tuduh sesiapa pun dalam hal ini. Isu ini tidak penting dan bukannya perkara yang serius pun.
"Ia sengaja dipermain-mainkan untuk mengeruhkan keadaan dan nama baik Doktor.
"Apa yang penting adalah untuk melaksanakan strategi mencapai kutipan pecah panggung yang Doktor sasarkan pada filem 2 Alam.
"Jadi tak perlulah hendak digembar-gemburkan lagi isu ini," katanya.
Dakwaan Tentang Hairie Othman Rosakkan Filem Saya Tidak Berasas - Dr Rozmey
by Abdul Hamid Lembah Bujang
EKORAN cerita yang timbul di sebuah akhbar mingguan semalam yang mendakwa aktor Hairie Othman 'menghancurkan' filem arahan sulungnya 2 Alam, mStar Online terpanggil untuk menghubungi penerbit filem itu sendiri, Dr Rozmey bagi mendapatkan penjelasan.
Menurut Dr Rozmey, sebagai penerbit dia telah memilih pasukan kerja yang terbaik bagi merealisasikan karya ilhamnya itu. Justeru, dakwaan yang timbul adalah tidak berasas sama sekali.
"Cerita yang mendakwa Hairie 'rosakkan' atau 'hancurkan' filem saya tidak timbul. Ia tidak berasas sama sekali.
"Apa yang penting bagi Doktor adalah filem itu telah siap seperti yang dirancang. Malah, lebih awal daripada jangkaan pun.
"Sebagai penerbit, bukan hak Doktor untuk mengulas apa-apa mengenai Hairie.
"Dia telah diberi amanah untuk mengarah dan Doktor beri peluang itu kepadanya. Bagi Doktor, Hairie sudah siapkan bahagiannya dengan baik dan Doktor berpuas hati.
"Bukan sahaja Hairie malah semua pihak yang terlibat telah beri komitmen terbaik mereka untuk siapkan filem itu.
"Kini filem sudah siap dan sebagai penerbit, Doktor hanya ingin pandang ke depan memikirkan strategi untuk jual filem itu pula," katanya.
Ditanya mengenai pandangannya berhubung dakwaan itu, Dr Rozmey berkata, cerita itu timbul mungkin disebabkan oleh perasaan tidak senang pihak tertentu.
Enggan menuding jari ke arah mana-mana pihak, dia bagaimanapun lebih senang untuk tidak 'beri muka' pada 'dakwaan kosong' itu.
"Ini bukan masanya untuk layan atau melatah dengan perkara remeh-temeh seperti itu. Matlamat utama Doktor adalah untuk jual filem 2 Alam dan capai sasaran RM12 juta.
"Untuk capai sasaran itu, Doktor tak boleh layan cerita remeh-temeh macam ini. Yang penting, semua pihak yang terlibat berpuas hati dengan layanan dan manfaat yang Doktor berikan atas komitmen mereka.
"Filem sudah siap dan hasilnya sangat memuaskan hati Doktor. Malah, ada beberapa pihak yang sudah menontonnya turut mengagumi mutu filem itu," kata Dr Rozmey yang selesa membahasakan dirinya dengan sapaan Doktor.
Dr Rozmey menegaskan, dia menceburi bidang perfileman untuk memberi manfaat dan rezeki kepada semua pihak yang terlibat.
Selain sasaran RM 12 juta itu, kehadirannya di persada seni juga ingin memberi impak dan membawa anjakan kepada perkembangan industri filem tempatan.
"Doktor ceburi bidang ini untuk memberi impak kepada industri perfileman kita. Jenama dan imej Doktor besar dan penting. Rasanya Doktor tak mahu layan cerita remeh-temeh dan gosip seperti itu," katanya lagi.
Sebagai penerbit, dia cuba sedaya upaya untuk menjaga hal ehwal dan kebajikan semua krew terlibat.
Namun Dr Rozmey juga tidak menolak kemungkinan pasti ada individu yang tetap tidak berpuas hati walaupun telah diberikan peluang rezeki dan manfaat menerusi projek 2 Alam itu.
"Biasalah dalam perniagaan, bukan semua orang boleh ikut perjuangan kita. Walaupun kita telah cuba berikan yang terbaik, pasti ada individu atau pihak yang tidak berpuas hati.
"Namun, Doktor tak nak melatah dengan isu remeh-temeh sebegini. Ia bukan satu isu besar atau penting hingga boleh buat Doktor pening kepala.
"Apa yang penting adalah untuk memasarkan dan menjual filem itu agar mencapai sasaran kutipan," katanya dengan penuh bervisi.
Dr Rozmey Sasar RM12 Juta Kutipan 'Dua Alam'
by Abdul Hamid Lembah Bujang
NAMA Dr Rozmey memang tidak asing lagi dalam dunia keusahawanan. Terbaru, bekas pakar sakit puan yang terkenal dengan produk kelangsingan Jus Mate 5 (JM5) ini mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan filem pula.
Lebih menarik, Dr Rozmey atau nama sebenarnya Datuk Dr. Hj. Che Rozmey Che Din, 42, meletakkan sasaran luar biasa terhadap filem sulungnya, Dua Alam untuk mencapai kutipan sebanyak RM12 juta.
Katanya, jika sesebuah filem itu berkualiti dan sistem pemasaran yang bijak, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai.
Sebagai penerbit, dia memang tidak menafikan risiko yang diambilnya untuk menerbitkan filem itu.
Walaupun terpaksa melaburkan lebih RM2 juta untuk sebuah produk yang belum tentu untung ruginya, dia lebih senang menyifatkan pelaburan itu sebagai calculated risk.
"Memang ia satu risiko besar untuk berlabur lebih RM2 juta dalam sebuah filem. Apatah lagi untuk filem pertama.
"Namun, sebagai usahawan saya yakin, filem yang baik dan kaedah pemasaran yang bijak pasti akan membawa keuntungan.
"Sasaran kutipan RM12 juta tidak mustahil untuk dicapai jika strategi pemasarannya bersesuaian.
"Saya berani letakkan sasaran ini berdasarkan pengalaman saya dan hasil kejayaan bisnes sebelum ini.
"Selama ini, semua sasaran saya dalam bisnes memang tidak lari jauh dan menepati sasaran.
"Saya yakin kerana filem itu bukan sahaja akan dipasarkan di Malaysia malah ke pasaran lebih luas dan menggunakan segala platform termasuklah secara online," katanya dengan penuh keyakinan.
Dr Rozmey lantas ditanya mengenai genre filem itu. Katanya, walaupun plot Dua Alam banyak memberi penekanan pada elemen moral dan keagamaan, namun ia bukanlah sebuah filem berteraskan agama.
Sebaliknya, filem berbajet RM2.5 juta itu sarat dengan paparan visual yang menekankan bentuk pembalasan kepada manusia atas dosa yang mereka lakukan ketika hidup.
"Ringkasnya, filem Dua Alam berkisar kepada perjalanan kehidupan masyarakat kita pada hari ini.
"Ia mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Adam yang bertukar jantina kepada perempuan, Amy sehingga terlibat dengan kancah kehidupan sosial. Akhirnya dia mati dalam kesesatan.
"Jika dilihat pada jalan cerita dan klasifikasinya, iaitu 18 SX, mungkin ia kedengaran kontroversi.
"Tetapi apa yang saya ingin terapkan menerusi filem ini adalah emosi dan pengajaran kepada penonton. Ia memaparkan balasan Tuhan atas dosa yang dilakukan manusia.
"Contohnya, ada babak yang menunjukkan bagaimana kuku watak Amy berubah warna ketika jenazahnya dimandikan.
"Ini antara bukti kekuasaan Tuhan atas dosa yang dilakukannya," terangnya ringkas.
Elemen seram yang akan ditunjukkan di dalam filem ini akan berkisar kepada pembalasan pada Amy. Penggambaran babak liang lahad turut dilakukan di Tanah Perkuburan Jitra, Kedah.
Filem terbitan rumah produksinya, dR Rozmey Movie Production itu dibintangi oleh aktres dari Singapura, Suhaila Salam, Aaron Aziz, Yang Kassim, Rosnah Johari, Faizal Hussein dan ramai lagi.
Dua Alam yang berlatarkan beberapa lokasi di sekitar Jitra dan Sik, Kedah itu hanya memakan masa selama 20 hari penggambaran.
Dr Rozmey cukup yakin Dua Alam yang bakal menemui penonton di pawagam 6 Mei ini, pasti akan menjadi satu ledakan ‘tsunami’ kerana jalan cerita ini lebih menjurus pada kisah masyarakat dan membawa keinsafan kepada penonton.
Tambahnya, Dua Alam mengandungi kisah tujuh dosa besar yang dilakonkan oleh pelakon yang hebat dan berpengalaman serta mampu membawa perubahan besar kepada industri perfileman tanah air.
Antara paparan yang terkandung dalam filem berkenaan ialah kisah penukaran jantina, seks bebas, anak derhaka dan pembalasan yang dahsyat daripada Allah SWT.
Kisah-kisah yang dipaparkan dalam Dua Alam pasti menjanjikan kepuasan kepada penonton kerana banyak menyentuh kejadian yang banyak berlaku pada masa kini dan terkandung mesej yang tersirat.