Showing posts with label Anita Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Anita Sarawak. Show all posts

Bila Dua Diva Bersatu ‘Pukau’ Peminat

Persembahan bertenaga daripada Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak menerusi lagu Dengar Ini Cerita berjaya meraih tepukan gemuruh daripada penonton. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

BUKAN mudah untuk menonton persembahan mantap menggandingkan dua diva, penyanyi Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak di atas satu pentas.

Bila mereka bersatu, pasti peminat terpukau dek persembahan yang menyentuh perasaan dan menghiburkan itu.

Buat kedua kalinya, PNB Darby Park menganjurkan majlis makan tengahari sempena Minggu Setiausaha 2010 melibatkan dua diva terkenal dan berbakat itu.

Bertemakan Karpet Merah – Glitz & Glam, lebih 800 tetamu diraikan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara semalam.

Secara dasarnya, ramai yang berpuas hati dan memuji kehebatan Sheila dan Anita dalam mempersembahkan nyanyian masing-masing dengan iringan muzik di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Acis.

Selain daripada itu, majlis yang menyajikan pelbagai hidangan istimewa berkonsepkan bufet antarabangsa dan tempatan itu turut diserikan dengan kemunculan pengacara dan aktor Fahrin Ahmad sebagai pengacara majlis.

Keserasian antara kedua-duanya terserlah lebih-lebih lagi mereka sendiri mengakui seronok bekerjasama bersama-sama dan kenangan indah itu bagaikan sukar untuk dilupakan selama-lamanya.

“Saya seronok apabila pertama kali dapat menari di atas satu pentas dengan Datuk Sheila. Setiap manusia ada keistimewaan tersendiri dan apabila kami bersatu, kami keluarkan sisi lain dalam diri seperti kelakar dan cara membuat persembahan.

“Dengan cara seperti itu, kami menunjukkan identiti tersendiri. Lagipun berapa lama kami berada dalam industri seni ini. Misalnya, saya sendiri pun sudah 44 tahun dalam industri.

Pengacara dan pelakon Fahrin Ahmad turut menceriakan majlis sebagai pengacara majlis.

“Saya rasa seperti satu mimpi apabila di usia 58 tahun ini, masih ada yang ingin menjemput saya membuat persembahan,” kata Anita penuh terharu dalam ceria seusai menjayakan persembahan tersebut.

Walaupun begitu, pasangan ini hanya menampilkan sebuah lagu duet sahaja iaitu Dengar Cerita Ini. Ramai yang menyangka mereka akan berduet lebih banyak lagu namun disebabkan kekangan masa, mereka tidak dapat berbuat demikian.

“Masalah berlaku apabila kebanyakan pemuzik yang mengiringi persembahan kami mempunyai komitmen lain seperti Formula Satu (F1) Grand Prix Australia 2010.

“Kami berharap, mungkin dapat berduet lebih banyak lagu pada masa akan datang. Saya selalu looking forward untuk bekerjasama dengan Anita Sarawak.

“Setiap kali saya menonton persembahannya, dia pasti memberikan inspirasi kepada saya. Dia mempunyai disiplin yang tinggi dan persembahannya menyentuh kalbu berbanding artis sekarang,” jawab Sheila yang secara bergurau menegur Anita agar tidak menggelarnya Datuk.

Penyanyi dan pelakon Ziana Zain turun padang memberikan sokongan kepada dua diva itu.

Kedua-duanya sempat melakukan latihan dalam sehari di studio milik Sheila. Selebihnya, mereka melakukan inisiatif dan latihan sendiri sebelum menjayakan persembahan hampir dua jam itu.

“Persembahan pada hari ini (semalam) mencetuskan satu titik kolaborasi kepada kami selepas ini.

“Saya berharap semua pihak berpuas hati. Kami juga lebih suka sekiranya peminat memberitahu tidak puas dan mahukan kami menyanyi lagi. Kalau nak penonton terhibur, saya sendiri kena rasa enjoy dulu,” luah Anita yang bergaya penuh elegan dengan kostum rekaan Ashley Wong.

Sementara itu, Sheila yang menyambut ulang tahun ke-25 dalam industri ini begitu seronok apabila dapat menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya sepertiSinaran, Lagenda, Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta yang lebih dekat dengan wanita serta memperkenalkan single terbarunya, Dengarkanlah.

Selain itu, dia turut menyampaikan medley lagu daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya, Getaran Jiwa, Bila Larut Malam dan Manusia.

Anak tiri Anita, Mathew turut hadir di majlis itu.

Anita menghiburkan kira-kira 14 buah lagu seperti Argentina, Addicted To Love, medley cinta (Antara Yang Manis, Cinta Nan Satu, Bisikanlah Cinta, Cintamu Muzik Di Hatiku),Joget Sayang Disayang, Asmara dan medley rancak (Ular, Tragedi Buah Epal, Akhirnya Kini Pasti, Seksis).

Suasana majlis tengah hari itu disemarakkan lagi dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah dan ‘Pakaian Terbaik’ seperti barangan kemas Habib bernilai RM60,000, hadiah istimewa berjumlah RM16,000 sumbangan perabot Empire Classic setelah menjawab soalan daripada Anita dan sut eksklusif tajaan Lord’s Tailor untuk majikan lelaki.

Semua tetamu yang hadir berpeluang menerima door gift iaitu set barangan kecantikan diri eksklusif daripada Laura Mercier dan barangan penjagaan diri daripada Garnier.

Rakan artis yang turun padang memberikan sokongan iaitu penyanyi Ziana Zain dan pelakon Vanida Imran. Turut hadir sama adalah anak tiri Anita, Mathew bersama pasangannya.

Anita Sarawak Tidak Pernah Puas Dengan 'Asmara'

Anita ketika majlis pelancaran single terbarunya 'Asmara 2010'. Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH.

DIVA popular Anita Sarawak pernah menjulang nama Malaysia ke persada seni antarabangsa satu masa dahulu dan kini merupakan kebanggaan industri seni negara.

Anita Sarawak atau nama sebenarnya Ithnaini binti Mohd Taib ini, membuka tirai 2010 dengan lagu single terbarunya berjudul 'Asmara 2010'.

Anak pelakon dan pengarah S,Roomai Noor dan Siput Sarawak ini ketika ditemui memberitahu, dia begitu teruja menyanyikan lagu Asmara 2010 yang diaspirasikan dari lagu Asmara nyanyian asal Anneke Gronoh di sekitar tahun 60an.

Tambahnya lagi, lagu tersebut merupakan antara lagu kegemarannya sejak dahulu lagi.

"Saya sungguh tak sangka dapat menyanyi semula lagu yang pernah popular sekitar 60an dulu", katanya selepas Majlis Pelancaran single terbarunya di Library, The Curve Damansara.

"Lagu ini juga adalah antara lagu kegemaran Kak Nita", jelas aktres yang popular dengan lagu Akhirnya Kini Pasti ini.

Anita teruja menyanyikan lagu 'Asmara 2010'. Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

Anita memberitahu idea untuk menyanyi semula lagu tersebut sebenarnya datang daripada komposer Helen Yap.

"Saya berterima kasih sangat kepada Helen Yap kerana memberi peluang kepada saya untuk menyanyikan semula lagu tersebut," ujarnya sambil ditemani suami tercinta, Mahathir Abdullah.

Menurut Anita, selain berminat dengan lagu tersebut, dia juga mendapat sokongan daripada suaminya untuk menyanyikan lagu itu.

"Abang Mahathir suka lagu tersebut. Dia suka sangat sekiranya saya dapat menyanyikan semula lagu tersebut," katanya.

Menariknya, lagu single kedua Anita dengan kerjasama Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) ini, menggunakan muzik secara 'live' seperti trompet, saksafon dan keyboard semasa proses rakaman untuk video klipnya.

Selain itu, muzik video lagu ini juga akan ke udara menerusi slot Tayangan Muzik Hebat di saluran Astro RIA bermula pada pukul 11.00 malam, 30 Januari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya untuk mempromosikan lagu terbarunya itu ke luar negara, Anita dengan bangganya menjelaskan sudah pasti dia akan menyanyikan lagu itu untuk persembahannya di luar negara.

Tambahnya lagi, lagu 'Asmara 2010' ini akan didendangkan dengan rentaknya sendiri sebagai penghibur dan bukannya meniru bulat-bulat dari penyanyi asalnya.

"Kak Nita ikut cara Kak Nita kerana Anneke ada caranya tersendiri," jelasnya.

Sementara itu, Anita turut menyentuh tentang persembahan duet bersama penyanyi veteran Ismail Haron ketika mereka mengadakan konsert di Singapura tahun lepas.

Kata Anita, konsert tersebut sememangnya menggamit nostalgia khususnya mereka yang hidup di zaman kegemilangan Anita dan Ismail.

"Saya rasa seperti kembali semula ke zaman kegemilangan dengan lagu itu yang pernah popular sebelum saya berangkat ke Las Vegas," katanya.

Anita juga memberitahu dia bakal mengadakan konsert yang sama di Malaysia, seperti persembahannya di Singapura.

"Perkara itu masih lagi dalam proses. Saya suka sekiranya dapat membuat konsert seperti itu di negara sendiri," ujar Anita yang selalu menganggap Malaysia dekat di hatinya.

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes