Biar Watak Iblis Selesai Di Pentas Saja - Azhan
by Abdul Hamid Lembah Bujang
WATAK ketua Iblis yang dilakonkan olehnya semasa pementasan teater Antara… pada 26 hingga 28 Februari lalu di Istana Budaya berjaya ‘menghidupkan’ teater itu.
Rata-rata penonton yang hadir menyukai lakonannya namun mereka sebenarnya tidak mengenali siapakah tuan empunya badan kerana mukanya telah dimekap hodoh bagi menggambarkan wajah Iblis yang jahat.
Disebalik lakonan yang hebat itu, tiada yang menyangka bahawa dirinya adalah pelakon Azhan Rani dan mungkin ramai yang tidak mengenali wajah dan mendengar namanya.
Namun begitu, tidak mustahil selepas ini namanya akan menjadi sebutan ramai setelah menonton bakat yang ditonjolkan tanpa disedari itu.
Namun, dia sendiri tidak menggalakkan penonton menyukai dirinya kerana watak ketua Iblis lakonannya.
“Saya takut penonton menyukai Iblis dan terpengaruh dengan watak itu. Jadi saya selalu mengingatkan mereka agar jangan terlalu sukakan Iblis tetapi Azhan Rani.
“Sebab itu apabila teater itu selesai, saya lebih suka keluar dengan pakaian biasa kerana biar watak Iblis selesai di pentas sahaja,” kata pemilik nama Azhan Abdul Rani itu di awal perbualan.
Menyentuh tentang rahsia keberkesanan watak itu, jejaka berusia 34 tahun itu berkata dia banyak membuat kajian sendiri seperti menonton filem lakonan Al-Pacino, Johnny Depp dan Jim Carrey. Selebihnya adalah bantuan pengarah Ellie Suriati dan Erma Fatima.
Azhan, graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu akui nama Azhan Rani hanya nama kecil dalam industri seni ini.
Malah dia sendiri tidak pernah menganggap dirinya sebagai selebriti yang perlukan publisiti semata-mata untuk terus maju dalam industri ini. Jejaka berasal dari Kuala Kubu Baru itu lebih selesa memfokuskan kepada kariernya sepanjang lapan tahun ini.
“Saya sedar, apabila nama kecil berdiri dengan nama besar, jadi orang akan lebih menumpukan kepada nama besar.
“Kalau boleh saya nak berdiri sama rata dengan mereka,” ujarnya kepada mStar Online.
Azhan terlebih awal menceburi bidang teater berbanding drama televisyen. Bukan sahaja berlakon, dia juga melakukan tugas di belakang tabir.
“Saya membesar dengan teater sejak berusia 12 tahun. Pada 2002, saya mula memasuki industri seni ini dengan melakonkan teater monolog Petaka karya Hamzah Tahir.
“Dalam masa yang sama, saya juga pernah menjadi tutor teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 2003.
“Selepas itu, saya dilantik sebagai penolong pengarah teater Bangsawan Tengku Anum di Istana Budaya oleh pengarah teater terkenal, Rosminah Tahir, juga pernah mengarah teater Alang Retak Seribu.
“Pada 2007, saya berlakon watak utama sebagai Raja Qaziq dalam teater Hikayat Qaziq di Dewan Bahasa dan Pustaka,” ceritanya mengenai beberapa teater yang melibatkannya.
Kali terakhir dia muncul di pentas teater sebelum Antara… merupakan teater Lantai T Pinkie pada empat tahun.
“Bermula dari Lantai T. Pinkie, saya dipanggil untuk berlakon drama. Ada tiga orang yang menjadi tulang belakang serta pendorong karier saya.
“Mereka adalah Along Kamarudin yang membawa saya berlakon drama Sesuci Cinta Sofiya untuk slot Samarenda, pengarah Ahmad Nor Bujang yang membuat telefilem di RTM dan penerbit drama radio Zuraidah yang membuat drama radio setiap bulan.
“Saya rasa seperti mimpi dan tidak pernah terfikir hendak ke televisyen kerana dahulu saya lebih sukakan bidang akademi,” katanya yang pernah menjadi juri pertandingan Deklamasi Lakon (Dekon) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah.
Sebelum itu, dia telah memenangi anugerah Pelakon Terbaik Dekon di Sabah dan Pelakon Terbaik Pertandingan Drama Sekolah-Sekolah Malaysia mewakili Selangor.
Setakat ini, dia telah membintangi hampir 40 buah drama televisyen seperti Tower 13, Lembing dan Layang, Warkah Terakhir, Mashitah, Ku Milikmu dan Puteri Plastik
Saya Bukan Gay - Daniel Radcliffe
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BINTANG popular 'Harry Potter' Daniel Radcliffe nafi dia seorang gay seperti yang digembar-gemburkan. Kata Radcliffe, "Saya bukan gay."
Pelakon berusia 20 yang membawa watak lelaki telanjang di dalam teater Equus, sering mendapat tempias sebagai lelaki lembut sebelum ini.
Dalam satu temuramah di MTV, aktor itu ingin menghentikan spekulasi itu.
Katanya,"Kalau orang nak cakap, cakaplah. Tapi saya bukan lelaki jenis itu. Saya lelaki normal."
Jelas Radcliffe: "Pernah ada seorang di internet yang berkata, "tentulah dia tu gay sebab muka dia gay. Saya rasa ini agak janggal.
"Muka gay? Itu adalah sesuatu yang merunsingkan saya seolah-olah mereka meletak muka saya di sebelah lelaki gay di rumah mereka," kata Radcliffe.
Desas-desus yang mengatakan Radcliffe adalah gay menjadi topik hangat apabila dia baru-baru ini membuat derma kepada tabung amal Amerika yang memperjuangkan nasib lelaki gay, lesbian dan biseksual.
Namun dalam satu temuramah, aktor ini pernah berkata, "Ada yang kata saya gay, saya rasa itu sesuatu yang hebat."
Tuah Diana Danielle Jadi Duta Public Gold
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BAK kata pepatah, "tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tak siapa tahu", walaupun sering dihimpit kontroversi rezeki aktres jelita Diana Danielle, tidak pernah putus.
Dia juga semakin mendapat perhatian bukan sahaja pilihan pengarah-pengarah filem dan drama malah terpilih menjadi jurucakap kepada produk barangan kemas Public Gold.
Pemilihan Diana sebagai duta produk tersebut dianggap sebagai langkah Public Fine Gold International Sdn Bhd (Public Gold) untuk menarik pembeli dari kalangan remaja yang seusia dengannya.
Manakala bagi Diana, dia berbesar hati dipilih sebagai duta kepada barangan kemas yang beroperasi secara online itu.
"Tiga minggu lepas mereka hubungi saya dan tawarkan untuk menjadi duta kepada Public Gold ini. bagi saya ini peuang yang baik.
"Saya juga seorang yang suka kepada barangan kemas, dari kecil saya sudah terbiasa memakai barangan kemas. Tidak ada masalah bagi saya untuk mengayakan barangan kemas di mana-mana majlis," ujarnya ketika ditemui di Majlis Perlancaran Publig Gold, semalam.
Ditanya bagaimana cara untuk mempromosikan barangan ini memandangkan jual beli hanya dilakukan di internet, Diana memberitahu dia akan cuba mengayakan di majlis-majlis keramaian.
"Insya-Allah saya akan mempromosi barangan ini di majlis-majlis yang saya hadiri ataupun mungkin di Facebook melalui gambar-gambar saya," katanya yang sedang dalam proses membaca dan menghayati skrip filem Hanyut arahan U-Wei.
Menurut Diana lagi, tanggungjawab ini tidak akan menggangu kerjaya dan pembelajarannya. Dia juga mengakui terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin.
"Walaupun kini saya kurang aktif disebabkan pelajar ettapi itu adalah dari bidang lakonan drma dan filem yang mana mengambil masa yang agak lama dan saya terima tawaran ini disebabkan ia tidak menganggu masa sekolah saya," katanya yang bakal merakamkan single terbarunya berjudul Terburu.
Selain itu juga Syarikat Public Final Gold bakal mengeluarkan beberapa rekaan yang bakal diberi nama 'Diana Danielle Series'.
Pada majlis tersebut juga, Diana sempat menghiburkan tetamu yang hadir dengan menyanyikan dua buah lagu Dan Sebenarnya dan Leaving On a Jet Plane secara akustik.
Saya Tak Monopoli Rancangan Di RTM - Rosyam Nor
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BUKAN sahaja berjaya sebagai seorang pelakon, Rosyam Nor turut aktif dengan kerjayanya sebagai Pengarah Urusan di Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd
Memegang kerusi pengarah urusan membuatkan dia semakin aktif menerbitkan drama, telemovie dan telenovela.
Drama yang diterbitkan di bawah syarikatnya juga dilihat sering mewarnai stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain rangkain stesen-stesen televisyen lain.
Walaupun berjaya menghasilkan drama-drama yang berkualiti dan mampu menarik penonton, timbul pula desas desus mengatakan syarikatnya menerima banyak slot rancangan daripada RTM.
Namun ketika dihubungi Rosyam tidak mudah melatah sebaliknya menegaskan bahawa syarikatnya hanya mendapat satu slot telenovela sebanyak 40 episod.
“Saya hanya mendapat satu slot daripada RTM, telenovela 40 episod untuk sejam dan jumlah keseluruhannya 40 jam.
“Untuk mendapatkan slot rancangan di RTM, semua penerbit akan dipanggil untuk datang pitching dan daripada pembentangan itu, mereka akan pilih rancangan yang sesuai mengikut siaran TV1 atau TV2,” kata bapa kepada lima orang anak itu.
Menurut pelakon filem Libas ini, setiap penerbit atau syarikat pembekal rancangan akan diberi peluang untuk pitching dengan pelbagai genre rancangan dalam tempoh masa pembentangan yang hanya 10-12 minit.
“Semasa pitching, kita mesti tahu mengolah cerita berdasarkan kertas cadangan yang dihantar itu dalam masa yang ditetapkan.
“Saya rasa tanggapan orang di luar sana mengatakan saya memperolehi banyak slot itu adalah salah, proses yang dijalankan oleh pihak RTM adalah berdasarkan kesesuaian rancangan dan memenuhi kriteria yang diperlukan mereka.
“Saya sendiri pergi pitching untuk 40 buah rancangan, tapi saya hanya dapat satu slot telenovela sahaja.
“Pihak RTM juga turut memberi peluang kepada syarikat pembekal lain, dan semua itu adalah dilakukan dengan pemilihan tanpa melihatkan kepada perkara lain,” kata pelakon filem Estet itu.
Sementara itu, Rosyam yang turut mengakui pengalaman bekerjasama selama 13 tahun dengan pihak RTM membuatkan syarikatnya diberikan kepercayaan untuk menerbitkan drama untuk dibekalkan kepada stesen tersebut.
“Mungkin saya mempunyai pengalaman menerbitkan beberapa buah drama di RTM, dan itu membuatkan pihak RTM merasakan saya antara individu yang memenuhi kriteria tersebut.
“Ramai penerbit hanya memfokuskan kepada drama, telemovie, rancangan majalah dan dokumentari, mungkin mereka terlepas pandang dengan slot telenovela. Mungkin itu rezeki saya.
“Tapi pernah juga saya tidak mendapat apa-apa slot rancangan untuk dibekalkan kepada RTM,” ujarnya.
Menurut Rosyam, kisah telenovela tersebut diadaptasikan daripada tiga buah novel dan kini dalam proses untuk menyiapkan skripnya.
Selain membariskan beberapa orang pelakon untuk membintangi telenovela itu, Rosyam Nor turut memberitahu dia juga akan berlakon di samping pelakon jelita Diana Rafar, Nabila Huda dan beberapa pelakon lain yang akan menjayakan telenovela tersebut.
Kecik, Idlan dan Alex Di Gelanggang Akhir
by Abdul Hamid Lembah Bujang
GELANGGANG akhir Raja Lawak 4 pada malam Ahad ini bakal menyaksikan kemaraan dua wakil Sabah, Kumpulan Kecik dan Alex serta seorang wakil Kedah, Idlan beradu nasib untuk bergelar Raja Lawak musim ini.
Kemaraaan mereka meninggalkan Kumpulan Mamu yang tersingkir setelah mendapat undian terendah, 19.8 peratus di persaingan separuh akhir, kelmarin.
Persaingan di separuh akhir (Minggu 9) menyaksikan persaingan semakin sengit dan pola undian yang tidak dapat diramal di kalangan peserta.
Keputusan malam separuh akhir, kelmarin menyaksikan Kumpulan Kecik mengungguli kedudukan dengan 29.3 peratus, Idlan (25.7), Alex (25.2).
Menyentuh mengenai pentas akhir Raja Lawak 4, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, musim ini bakal menampilkan kelainan daripada hadiah hinggalah ke mutu persembahan.
Untuk julung kalinya, ketiga-tiga finalis bakal membawa pulang hadiah utama sumbangan Naza Motors, selain wang tunai.
"Untuk musim ini, semua finalis akan pulang dengan hadiah yang merupakan kereta dan motosikal.
"Juara bakal pulang dengan kereta Naza Sorento dan naib juara pula bakal mendapat kereta Naza Optima. Manakala, pemenang tempat ketiga bakal membawa pulang sebuah motosikal Naza Blade 250CC.
"Selain hadiah tersebut, para finalis juga bakal mendapat wang tunai RM14,000 untuk juara Raja Lawak, RM11,000 (naib juara) dan RM8,000 (tempat ketiga).
"Pihak Astro juga bakal menyajikan kelainan pada malam akhir nanti. Kita akan tampilkan gimik persembahan yang berbeza dan istimewa yang bermatlamatkan untuk mengangkat martabat lawak di mata orang ramai.
"Mungkin selama ini, persembahan lawak sering dianggap remeh dan bertaraf rendah, tapi menerusi gimik istimewa di pentas akhir nanti, kita akan cuba berikan persembahan berbeza yang boleh mengubah persepsi dan menyuntik imej lebih besar pada program Raja Lawak.
"Apa bentuk persembahannya kita belum boleh umumkan lagi. Tunggu dan lihat di malam akhir nanti. Yang pasti, ia adalah sesuatu yang segar dan berbeza daripada persepsi klise masyarakat tentang lawak selama ini," hurainya panjang lebar.
Kumpulan Kecik, Alex dan Idlan akan menampilkan dua persembahan yang masih dirahsiakan format dan temanya.
Kata Nizam, tugasan akhir hanya akan dipaparkan dalam Ceritera Raja Lawak, Jumaat ini.
"Finalis akan mempersembahkan dua bentuk sketsa mengikut tema yang akan diberikan dalam minggu ini juga.
"Tapi, kita tidak dapat uar-uarkan sekarang sebab ingin berikan kejutan. Tugasan pertama para finalis akan disiarkan dalam Ceritera Raja Lawak, Jumaat ini.
"Manakala tugasan satu lagi hanya diberikan beberapa jam sebelum pentas akhir bermula. Tujuannnya adalah untuk menguji kemampuan mereka untuk membuat persembahan secara spontan dalam tempoh persiapan yang terhad," kata Nizam lagi.
Diminta mengulas mengenai penyingkiran Kumpulan Mamu, Nizam berkata, penyingkiran kumpulan dari Utara itu bukan disebabkan mereka tidak bagus cuma nasib kurang menyebelahi undian mereka.
"Bagi saya, Mamu tersingkir secara bermaruah. Mereka adalah antara kumpulan yang konsisten sejak awal lagi.
"Mungkin para pengundi berbelah bagi apabila melihat peningkatan pada persembahan Idlan minggu ini hingga melupakan Kumpulan Mamu. Apa pun, Mamu keluar bermaruah," ujarnya.
Konsert akhir Raja Lawak 4 bakal berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam jam 9 malam selama satu setengah jam.
Sebelum itu, program bakat lawak ini akan mula bersiaran secara langsung setengah jam lebih awal untuk satu program khas, Karpet Lawak pada jam 8.30 malam.
Tiada Maaf Bagi Nabil, Saman Tetap Saman – Aminah Raphor
by Abdul Hamid Lembah Bujang
MINTALAH maaf berjuta kali pun, kesalahan yang dilakukan oleh pelakon komedi Ahmad Nabil Ahmad tidak akan dimaafkan oleh Pengarah dan Penerbit Bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Raphor.
Baru-baru ini, juara Raja Lawak Musim Kedua itu didakwa telah melanggar kontrak dengan produksi SDAF Pictures Sdn Bhd iaitu tidak memberikan kerjasama semasa promosi filem itu dijalankan dan mengeluarkan kenyataan yang telah ‘menjatuhkan’ filem itu.
“Saya dan seorang lagi penerbit filem ini, Datuk Suhaimy Othman tetap akan menyaman Nabil kerana ramai yang enggan menonton LPSdM disebabkan kenyataannya semasa tayangan perdana filem itu.
“Saya mendapat tahu respons itu menerusi cakap-cakap orang di Internet. Itu pun sudah membuktikan yang penonton tidak mahu menontonnya,” jelasnya mengenai filem yang setakat ini telah berjaya mengutip RM2.1 juta.
Walaupun filem yang turut dilakonkan oleh aktres kontroversi Puteri Sarah itu telah selesai wajib tayang pada Khamis lalu namun masih ada sesetengah pawagam yang menayangkan filem itu.
“Produksi telah membelanjakan modal sebanyak RM1.8 juta untuk penggambaran filem itu. Namun, kami masih menanggung kerugian,” ujarnya yang pertama kali mengarah dan menerbitkan filem.
Aminah berpendapat, tindakan untuk menyaman Nabil bukan untuk menghukum pelakon itu semata-mata malah diharap dapat dicontohi oleh artis ‘segera’ yang lain.
“Kita bukan nak kenakan Nabil tetapi sebab perkara ini sudah ‘pecah’. Dia merupakan bintang baru ‘segera’ dan ramai lagi bintang baru yang glamor lahir daripada program realiti.
“Saya perlu buat perkara ini sebagai pengajaran untuk artis Malaysia kerana sesetengah daripada mereka ada yang tidak bertanggungjawab.
“Saya nak mereka semua beringat dan sedar agar tiada lagi perkara yang merugikan syarikat,” tegas Aminah yang turut merupakan pengarah teater.
Pada minggu ini, dia dan Suhaimy akan berbincang dengan peguam mereka berhubung kes saman itu.
“Setakat ini kami belum memutuskan jumlah saman ganti rugi yang akan dituntut ke atas Nabil,” tuturnya yang belum melunaskan 20 peratus bayaran terakhir kepada Nabil dan pelakon-pelakon lain.
Katanya, bayaran itu akan diberikan selepas mereka selesai tempoh promosi filem itu.
“Kami belum bincangkan lagi sama ada akan menjelaskan baki bayaran itu kepada Nabil atau tidak,” ujarnya.
Pada 14 Februari lalu, Nabil hanya membuat permohonan maaf terbuka dalam dua akhbar mingguan, termasuk Berita Minggu tetapi tidak secara terus kepada mereka selaku pengeluar filem berkenaan.
Aminah turut mengakui Bintang Paling Popular 2008 itu belum memberikan apa-apa tindakan terhadap produksi itu atau pun berdepan dengannya.
“Sejak insiden itu, Nabil tak pernah datang berjumpa dengan saya mahu pun memohon maaf. Tetapi dalam Galaksi di TV9 baru-baru ini, dia kata kalau nak saman, samanlah kerana tidak tahu nak buat apa,” tuturnya yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Sebelum ini, Nabil dalam kenyataannya melahirkan perasaan kecewa terhadap filem lakonan sendiri, selain mendakwa pembikinan LPSdM tidak disempurnakan dengan baik.
Gelora Di Hati Jee Masih Belum Berakhir?
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BIARPUN tahun silih berganti, namun lagu-lagu nyanyiannya tidak pernah luput daripada ingatan peminat-peminatnya.
Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff atau lebih mesra dengan panggilan 'Jee' bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi jelas berbakat dalam bidang lakonan juga.
Walaupun kini aktif dalam drama Gelora Di Hati Sara musim kedua, Jee tetap meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi dan kini sedang menyiapkan single terbarunya, 'Ku Di Sini'.
"Menyanyi itu jiwa Kak Jee, Kak Jee akan tetap memberikan lagu-lagu terbaru untuk peminat.
"Kak Jee mula hasilkan lirik lagu itu pada penghujung tahun lepas tapi memandangkan banyak kerja yang perlu diselesaikan, baru sekarang dapat tumpukan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut penyanyi Teratai Layu di Tasik Madu ini, lagu itu juga akan dijadikan sebagai lagu tema drama Gelora Di Hati Sara musim kedua yang baru sahaja selesai penggambarannya.
"Kak Jee buat lirik lagu tersebut dengan tujuan untuk mengaitkan dengan drama tersebut.
"Lagu itu kini dalam proses mastering. Selepas semuanya selesai, Kak Jee akan serahkan kepada Syarikat Suhan Movie untuk buat proses seterusnya," penyanyi berusia 40 tahun itu. Sepanjang kariernya bergelar anak seni, Jee turut memberitahu dia tidak suka melakukan banyak kerja dalam satu masa kerana mahu memberi fokus terhadap satu tugasan sahaja.
"Sehingga kini, Kak Jee banyak terima tawaran untuk berlakon, tapi disebabkan tengah terlibat dalam penggambaran drama, Kak Jee terpaksa tolak.
"Kak Jee akan pastikan jadual kerja, masa, dan juga watak yang diberikan bersesuaian sebelum Kak Jee terima tawaran.
"Setengah orang suka buat banyak kerja dalam satu masa, tapi Kak Jee akan tumpukan sepenuhnya terhadap satu kerja dulu. Lagipun takut nanti jadual bertindih," kata ibu kepada Jeffri Joaquim Indot, 12, dan Jeremy Jay Indot, 10.
Sementara itu, Jee yang juga pelakon utama drama bersiri 'Gelora Di Hati Sara' turut memberitahu sokongan daripada peminat dan keluarga membuatkan dia gembira dengan karier sebagai pelakon.
"Alhamdulillah, banyak juga Kak Jee terima kritikan yang positif daripada peminat dan keluarga tetap menyokong Kak Jee," ujar anak kelahiran Johor itu.
Bagi Jee, bidang lakonan adalah satu cabaran baru dalam hidupnya berbanding dengan bidang nyanyian yang diceburinya lebih 20 tahun.
"Kak Jee pandang dari sudut yang berbeza kerana berlakon dan menyanyi tidak sama.
"Tempoh berlakon juga agak lama misalnya proses penggambaran drama Gelora Di Hati Sara yang mengambil masa tiga bulan," katanya.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni suara, Jee menganggap bidang lakonan masih baru baginya.
"Banyak lagi yang perlu Kak Jee belajar, memandangkan Kak Jee tidak mempunyai pengalaman. Jika masih ragu-ragu, Kak Jee pasti berbincang terlebih dahulu dan cuba lakukan yang terbaik," katanya.
Menyentuh mengenai kehidupannya, Jee menjelaskan dia bahagia di samping anak-anak dan kerjayanya sekarang walaupun tanpa kehadiran lelaki bergelar suami disisi.
"Alhamdulillah, Kak Jee gembira dengan kehidupan sekarang di samping anak-anak dan cuma sibuk dengan kerja.
"Kak Jee hanya mahu pastikan anak-anak dan ibu bapa Kak Jee sihat. Tidak pernah Kak Jee memikirkan soal berkahwin.
"Jika ada jodoh, Kak Jee akan kahwin, tapi kalau ditakdir hidup bersendirian pun tidak mengapa," ujarnya yang tidak gemar berkongsi kisah peribadinya kepada umum.
Walaupun sudah berpisah lebih kurang dua tahun, namun Jee mengakui dia tetap mempunyai hubungan baik dengan bekas suaminya, Johan Indot.
"Kami tetap berkawan, ada masanya saya pernah membawa anak-anak makan bersama dengan bapa mereka.
"Dia dengan kehidupannya dan Kak Jee dengan kehidupan sekarang," kata duta produk SK-II ini.
Detektif Era Heret Artis 'Bermasalah' Ke Konti
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PASTI ramai terkejut dengan pengakuan eksklusif selebriti yang dibuat ‘secara paksa rela’ menggunakan mesin lie detector dalam program Detektif Era di segmen Riuh Pagi Era.
Selebriti ‘bermasalah’ ini umpama berada dalam kandang saksi mahkamah bagi sesi ‘soal balas peguam’.
Antara pendedahan berani yang pernah tersiar ke udara dalam program ini, bermula Januari tahun ini. Tahukah anda penyanyi Marsha Londoh pernah jatuh hati dengan pengacara terkenal Aznil Nawawi dan bukannya Yusri KRU seperti yang pernah disensasikan selama ini.
Pelawak Saiful Apek pula tercabar dengan kemunculan Nabil Raja Lawak dan Fazli Zainal bersolek bukan kerana kecelaruan gender tetapi kerana ingin dilihat menarik untuk industri hiburan.
Namun tidak kurang juga selebriti yang mungkin menggelabah di saat akhir bertindak meninggalkan konti sebelum waktu.
Nama di atas hanya sebahagian daripada nama selebriti popular yang sporting dan berani diuji oleh lie detector dengan soalan panas yang ditanya dua detektif Era, Aznil Nawawi dan Azwan Ali.
Menurut Pengurus Program Era, Nazri Noran, program ini sebenarnya mula diperkenalkan radio HitzFM tiga tahun lalu tapi ‘mangsanya’ adalah pendengar.
Detektif Era mulanya dikendalikan sepenuhnya oleh Aznil dan Din Beramboi, sementara proses penyeliaan dibuat oleh Pakar Poligrafi, Akbar Satar dari Akbar & Associates. Selebriti yang telah disoal siasat oleh Aznil ialah Fahrin Ahmad, Norman KRU, Saiful Apek dan Marsha Londoh.
Namun, sejak 17 Februari, tugasan sebagai Detektif Era diambil alih oleh Azwan Ali. Azwan pula membongkar rahsia Fazli Zainal, Fizz Fairuz, Mawi, Didie Alias dan Ifa Raziah.
“Ketika Aznil mengelolakan program ini, dia agak compassionate dan supportive. Mungkin karakternya sedemikian, jadi dia mencadangkan kita beri tugas menyiasat ini kepada Azwan Ali kerana dia sudah biasa dan mempunyai track record mengelolakan rancangan sebegini dulu,” jelas Nazri.
Menurut Nazri, ramai selebriti popular terutama wanita agak skeptikal dan tidak berani ambil bahagian dalam program itu.“Ramai juga artis yang tidak senang dengan kaedah mesin lie detector yang digunakan. Ada yang memberi bermacam-macam alasan untuk mengelak daripada turut serta.
“Mungkin kerana kebanyakan soalan berkisarkan hal peribadi dan kisah di sebalik peristiwa yang mengheret mereka ke kancah kontroversi,” kata Nazri.
Jelasnya lagi, mesin ini memantau seseorang melalui reaksi fisiologi dan perubahan dalam tubuh.
Kiranya ‘mangsa’ berbohong, lie detector akan mengesan kebohongan dari sistem gelombang. Bila seseorang bohong, gelombang akan bergetar cepat. Sebaliknya, jika seseorang itu jujur, gelombang tidak bergetar dengan cepat dan tiada perubahan.
Menurut pengamatan Nazri, hanya beberapa nama saja lulus dengan cemerlang. Norman KRU lulus semua soalan dan mendedahkan dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap adik-adiknya.
Begitu juga dengan Cat Farish yang berkata benar tentang kenapa beberapa anggota wanita meninggalkan kumpulannya.
“Fazli Zainal jujur ketika menjawab soalan kenapa dia guna mekap untuk membantunya dalam industri. Tapi bila ditanya sama ada dia ada teman, Fazli berbohong berkata belum ada. Dia sendiri keliru kenapa mesin lie detector mengatakan dia berbohong.
“Saiful Apek hanya lulus borderline saja. Dia cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya bila ditanya adakah dia rasa tercabar dengan kehadiran muka baru seperti Nabil.
“Yang paling menarik ialah pelawak komedi Abon. Sesinya begitu emosi kerana dia benar-benar tertekan dan terasa pelawak dipinggirkan,” jelas Nazri yang teruja bila diberitahu Detektif Era akan dijadikan program TV di Astro tidak lama lagi.
Kata Nazri, “Selain bahasa tubuh, ekspresi wajah artis yang disoal siasat memberi gambaran apa sebenarnya yang bergolak di hati mereka.”
Bagi Azwan pula, mengendalikan segmen Detektif Era merupakan satu pengalaman yang menarik dan lucu.
“Soalan siasatan tentang isu karier, peribadi dan kontroversi disediakan pihak radio Era dan saya hanya menokok tambah bila perlu.
“Semua artis lulus siasatan Detektif Era walaupun rata-rata mereka terperangkap dengan isu panas dalam soalan. Ada di antara mereka dikesan sebagai pembohong, jawapan kabur dan tidak yakin! Ada juga artis yang terus enggan menjawab dan minta soalan dibatalkan dari siaran,” jelas pengacara terkenal ini.
Tambah Azwan lagi,”Segmen Didie Alias paling menyentuh hati hingga berderai air mata bila disiasat isu diperdaya kawan baik.
“Artis lain tidak kurang hebat aksi dan telatah mereka. Saya pilih segmen Mawi antara yang paling menarik. Mawi tenang menjawab semua “soalan maut” terhadapnya termasuk isu Ekin.
“Ifa Raziah pula paling menggamatkan rakaman dan sempat “melaserkan” saya dalam isu gaduh mereka di Anugerah Bintang Popular.”
Walaupun ramai artis ‘berani-berani lalat’ untuk menghadapi siri pengesanan pembohongan ini tapi seperti kata Nazri, peluang yang diberi oleh program Detektif Era bertujuan untuk membersihkan nama artis “bermasalah”.
“Rata-rata ‘mangsa’ yang sudah melalui sesi ini berasa lega kerana diberi peluang bercerita kisah sebenar di sebalik tabir kehidupan. Ini dapat membersihkan nama mereka,” jelas Nazri yang turut memberitahu kesemua segmen Detektif Era sudah ada dan akan dimuatkan di laman YouTube.
Peguam Erema Tarik Diri?? peguam tidak sanggup..
by Abdul Hamid Lembah Bujang

PETALING JAYA: Belum pun selesai kes tuntutan fasakh cerainya, peguam yang mewakili penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, semalam menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Peguam syarie Ahmad Tarmizi Shariff menghantar notis bagi memaklumkan penarikan diri pada 22 Februari lalu di Mahkamah Syariah di sini.
Dalam pada itu, Erema diberikan notis amaran ekoran gagal hadir ke mahkamah semalam.
Perkara tersbut dimaklumkan oleh peguam syarie Noorafizah Abdul Aziz yang mewakili penulis lirik Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.
Bagaimanapun, anak guamnya juga tidak hadir.
Sehubungan itu, Hakim Syarie Ghazalie Ahmad menangguhkan perbicaraan kepada 17 Mei depan.
Dalam pada itu, mStar Online cuba menghubungi Erema bagaimanapun gagal.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi yang dihubungi berkata dia menarik diri kerana Erema enggan menggunakan khidmatnya lagi.
“Erema telah memberitahu kepada saya pada dua hingga tiga minggu lalu yang dia tidak mahu menggunakan khidmat saya. Saya tidak tahu alasan dia buat begitu. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan cara saya mengendalikan kes itu dan mengupah peguam lain,” jelasnya.
Pada 22 Disember lalu, Ghazali memerintahkan Maybank mengeluarkan penyata Erema mulai Januari 2007 sehingga Disember 2008 untuk disiasat.
Ini kerana Erema didakwa telah memasukkan wang royalti lagu ciptaan Seri Bayu ke dalam akaun miliknya.
Permohonan ini dibuat oleh Seri Bayu selaku defendan yang didakwa tidak memberi nafkah kepada isterinya itu sejak 2007.
Semasa prosiding, Erema mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah zahir dan batin serta memberikan tekanan emosi terhadapnya.
Sehubungan itu, dia juga menuntut cerai fasakh itu kerana tiada persefahaman dengan suaminya lagi.
Penyanyi lagu Pelita di Bawah Purnama itu memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada awal Disember tahun lalu.
Pasangan itu bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.
Syahrini Terkejut Dicium Anang?? over nyer..
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PASANGAN baru duet Anang Hermansyah dan Syahrini tampil bersama pada Majlis Dahsyatnya Awards, kelmarin. Syahrini yang mendampingi Anang membawakan lagu Jangan Memilih Aku itu terkejut apabila pada akhir penampilannya apabila Anang tiba-tiba mencium pipi Syahrini.
"Terkejut, saya sampai tidak keruan," ujar Syahrini kepada wartawan selepas majlis tersebut.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun itu, ciuman yang diberikan Anang ketika di pentas adalah tanda terima kasih Anang terhadap dirinya. Dia juga menyambutnya dengan hati terbuka.
Dicium takkan bingung? "Bukannya bingung, tapi saya terkejut, seperti diberi kejutan," tuturnya lagi.
Namun kejadian itu tidak dirancang oleh Anang ataupun Syahrini. Penyanyi lagu Bohong itu juga hanya mampu terkejut dan terdiam terhadap tanda terima kasih bekas suami Krisdayanti itu.