Hattan: Saya Penyanyi Rock Sejati


PERJUANGANNYA dalam bidang seni suara yang mencecah 25 tahun kini membuktikan Hattan tidak membuat keputusan salah dalam hidupnya dengan memilih jalan untuk bergelar anak seni.

Pemilik nama Mohd Sukri Shahabuddin atau lebih dikenali Hattan ini mengakui selagi jasadnya dikandung badan, selagi itulah dia akan tetap dengan kariernya sebagai penyanyi.

"Saya ni penyanyi rock sejati, saya hanya akan berhenti menyanyi selepas mati," katanya dengan nada tegas ketika dihubungi mStar Online.

Cintanya terhadap bidang muzik tidak dapat disangkal lagi, tambahan pula dia kini bakal tampil dengan buah tangannya yang terbaru bertajuk Indrawala pada bulan ini.

Menariknya, albumnya yang terbaru ini merupakan albumnya yang ke-13.

Ditanya mengenai kehadiran pendatang-pendatang baru dalam industri muzik tanah air seperti cendawan selepas hujan ini, Hattan ternyata begitu kecewa kerana kebnayakannya hanya ingin meraih populariti tanpa sikap juang dan keikhlasan dalam bidang tersebut.

"Kita mesti perjuangkan muzik dan kena ikhlas, bukannya semata-mata nak dapat glamor," katanya.

Menurut penyanyi rock yang popular dengan lagu Memburu Rindu ini, tidak ramai penyanyi yang sebenarnya berbakat kerana kebanyakannya menang disebabkan mendapat undian daripada sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perkara sebegini cukup jelas dapat dilihat.

"Hanya 10 orang daripada 100 orang yang berbakat, itupun tidak kekal lama dalam industri," katanya.

Bagaimanapun, Hattan turut mengakui terdapat beberapa artis baru yang mempunyai bakat besar dalam industri seperti Jacklyn Victor, Stacy, Aizat dan beberapa orang lagi.

"Sedih sangat, industri kita kecil, penyanyi berbakat dan ikhlas masuk dalam industri ini sangat kecil," katanya dalam nada kecewa.

Bapa kepada Adam Eiman ini turut mengakui bakat dan rupa mesti diseiringkan jika ingin bergelar seorang penyanyi dan bukan bergantung kepada rupa atau hanya mengejar glamor, sebaliknya mereka mesti berusaha lebih untuk berjaya.

"Package kalau boleh kena juga ada, tapi yang pentingnya bakat dan kesungguhan serta ikhlas untuk menjadi penyanyi, itu yang penting," katanya.

Dalam pada itu, Hattan memberitahu seseorang yang bagus dalam nyanyian dapat dibuktikan jika penyanyi itu mampu bertahan lama dalam industri muzik.

"Tengok penyanyi-penyanyi lama seperi Jay Jay, Jamal Abdillah, Amy Search, mereka tetap digilai peminat sebab mereka bagus," ujarnya.

Hattan berpendapat penyanyi sekarang tidak dapat bertahan lama kerana kebanyakannya berkiblatkan muzik dari negara jiran, Indonesia.

"Golongan penyanyi seperti ini dianggapnya takut kepada bayang-bayang sendiri. Kitasepatutnya mesti ada identiti sendiri, jika kita tiada pengangan sendiri, memang patut tidak kekal lama," katanya.

Hattan mengakui terdapat beberapa kumpulan Indie yang bagus dalam industri seperti Meet Uncle Hussain dan Bunkface.

Dia menasihatkan segelintir individu yang mahu menjadi penyanyi supaya nekad untuk menjadi penyanyi yang bagus dan terbaik tidak mengira genre muzik yang dipilih.

"Menyanyi biar bagus, tak kisah la dangdut, balada, rock, irama Malaysia," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hattan turut memberitahu anak lelakinya Adam Eiman, 12, juga berbakat dalam bidang nyanyian dan bakal keluar dengan singlenya pada Mac depan.

1 comments:

joegrimjow { February 1, 2010 at 2:38 AM }
sore macho

adalah hattan

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes