Bisanya Salakan 'Hanjing' Dan 'Anjing Liar'!
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BANYAK-BANYAK drama yang pernah ditonton di kaca TV, tidak dapat tandingi 'drama' lakonan pengamal media dan artis yang menggunakan subjek anjing.
DJ 'mulut lepas' Din Beramboi ditegur baru-baru ini bila dia terlepas mengeluarkan perkataan 'hanjing' pada salah seorang peserta Raja Lawak. Dek kerana terlalu ralit memberi komen dari hati, Din terbawa-bawa emosinya, langsung terpacul terus perkataan itu di kaca TV dan disaksikan ribuan penonton di rumah.
Walaupun hanya satu perkataan iaitu'hanjing' (istilah atau terma baru bagi gantinama anjing oleh golongan tertentu) dan satu tambahan abjad 'h' di hadapan anjing, impak yang ditinggalkan cukup menghiris hati dan membuat ramai penonton tidak puas hati dengan Din.
Mujurlah Din cepat tersedar dan meminta maaf. Diharap selepas ini, juri lain tidak akan terikut-ikut dengan kelancangan mulut Din yang bak bertih jadi itu.
Kakak Tua sedar mungkin Din tidak berniat sedemikian bak kata pepatah Inggeris, 'A slip of the tongue is no fault of the mind' (kesilapan tutur kata mungkin tidak disengajakan) tapi kalau sudah terlajak kata, kenalah tanggung akibatnya sendiri.
Kata orang tua, biar silap kain jangan silap cakap. Keterlanjuran kata boleh menyebabkan hati menyimpan dendam dan sukar memberi maaf. Tambahan pula program itu live dan ia melibatkan maruah dan air muka peserta.
Tak lama selepas insiden 'hanjing' yang diwujudkan oleh Din Beramboi, haiwan anjing sekali lagi menjadi topik hangat di sebuah akhbar tabloid bila selebriti Azwan Ali diibaratkan seperti 'anjing gila' oleh seorang penulis.
Semuanya gara-gara keghairahan team Terjah membuat liputan acara Azwan yang Dinamakan 'majlis penuh rahsia' di Kluang.
Kononnya tidak semua berita yang membawa maksud 'anjing gigit manusia' atau 'manusia gigit anjing' harus diberi perhatian. Tambahan pula kata penulis, bila melibatkan 'anjing gila', tidak perlu dilayan.
Tidak seharusnya wartawan menggunakan istilah biadap begitu. Kalau dapat dibayangkan rupa dan perangai anjing gila, tentu kita tidak tergamak hendak menyamakan seorang insan apatah lagi seorang selebriti yang sudah berpuluh tahun bergelumang dalam industri hiburan sebegitu rupa.
Apa agaknya yang meracau di dalam fikiran sehingga sampai hati merumuskan artis peramah dan berpendidikan tinggi sebegitu rupa.
Walaupun bukan semua sikap selebriti itu dapat diterima ramai dan kuasa pena berada di tangan wartawan, tidak sepatutnya kita menyalah guna kuasa yang kita ada.
Sepatutnya teguran dibuat dengan lebih berhemah dan tidak sampai ke tahap menghina dan mencerca sesama insan.
Kakak Tua membuat teguran ini dengan berat hati kerana berada di bawah sedar yang Azwan juga pernah menggunakan perkataan 'hanjing' di dalam blognya silaserazwali.blog.com satu ketika dulu.
Tapi itu sejarah lama sebelum dia bertaubat dan berikrar tidak mahu lagi menghina wartawan, media atau sesiapa saja yang menyakiti hatinya.
Dan bila orang sudah bertaubat seperti Azwan dan merendah diri menghulurkan salam menamatkan permusuhan, jangan pula kita berasa angkuh hendak meneruskan sengketa kerana berasakan kita lebih mulia dan baik.
Mungkin Azwan buntu dengan perlakuan segelintir media yang masih menyimpan dendam dan amarah kepadanya. Sebenarnya di sebalik semua insiden yang berlaku, terselit berbagai hikmah.
Antaranya wajah jelek seseorang itu akan terpamer melalui tutur kata dan perbuatan. Pastinya 'hanjing' atau 'anjing gila' tidak mungkin terlafaz dari mulut orang yang selalu berzikir kepada Allah.
Diharap Azwan lebih tabah menghadapi kerenah dan hinaan insan-insan yang masih tidak dapat menghadirkan maaf dalam hati mereka.
0 comments:
Post a Comment