Atilia Pertaruh Yuna dan Najwa Di Malam Nada Biru 2

Atilia yakin dengan muzik yang dibawa oleh Yuna dan Najwa.

SELEPAS bergandingan bersama Noryn Aziz pada Malam Nada Biru pertama, Atilia kini tampil sebagai penerbit bagi konsert bersiri itu yang bakal mempertaruhkan dua pendatang baru berbakat besar Yuna dan Najwa.

Atilia ketika ditemui mStar Online memberitahu, kali ini dia lebih memberi fokus kepada pendatang baru yang semakin meningkat naik selain dapat memperkenalkan muzik yang mereka bawa.

"Saya percaya dengan bakat yang mereka miliki serta lagu-lagu nyanyian mereka yang tidak kurang hebatnya," katanya selepas sidang media Malam Nada Biru Bersama Najwa & Yuna di Bsync Production, Kuala Lumpur.

Menurut Atilia, Konsert Malam Nada Biru 2 yang bakal diadakan di Actors Studio, Lot 10, Kuala Lumpur itu pada 27 hingga 28 Februari ini hanya boleh memuatkan seramai 243 orang peminat sahaja.

Menyedari tempat yang agak terhad itu, Atilia yang mempunyai alasannya yang tersendiri memberitahu, dia sengaja memilih tempat tersebut kerana ingin menampilkan konsep yang berbeza untuk konsert pada malam itu.

"Tempat yang dipilih ini rasanya sesuai, lagipun kita mahukan peminat dekat dengan penyanyi supaya mereka dapat menghayati lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut.

"Itu pun saya rasa sudah terlalu ramai, tapi apabila difikirkan kembali, rasanya tiada masalah," kata Atilia, 35.

Anak kepada penyanyi veteran Salamiah Hassan ini berkata, segala persiapan untuk konsert dua malam tersebut sedang berjalan dengan lancar dan hanya menunggu masa untuk dipersembahkan.

"Alhamdulliah, semua urusan mengenai konsert itu berjalan seperti yang kita mahukan, termasuk komitmen Yuna dan Najwa," katanya selaku Penerbit Eksekutif Mujik Productions.

Atilia yang berharap konsert tersebut mendapat sambutan ramai, bagaimanapun menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke pentas itu selepas membuka tirainya pada tahun lepas.

"Saya teringin membuat persembahan lagi di sana (Malam Nada Biru), tapi insya-Allah, kalau ada rezeki mungkin pada tahun-tahun hadapan bersama ibu saya," katanya sambil ketawa.

Walaupun tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak, Atilia yakin tiket konsert itu akan laris terjual.

"Saya sebenarnya bukan terlalu fikirkan bisnes semata-mata, apa yang penting adalah untuk memperkenalkan lagu-lagu yang bagus untuk diketengahkan daripada golongan pelapis baru sekarang," katanya.

Sementara itu, Atilia bakal keluar dengan album keduanya yang berjudul Indah pada penghujung Mac depan.

Albumnya itu akan memuatkan 10 buah lagu termasuk tiga buah lagu duet dengan beberapa artis berkumpulan.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes