Zila Bakarin: Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul
by Abdul Hamid Lembah Bujang
GELARAN ‘hot mama’ lebih sesuai untuk aktres Zila Bakarin yang bertubuh seksi walaupun baru melahirkan bayi sulungnya, Kaseh Azri yang berusia 10 bulan.
Mempunyai anak tidak menghalangnya untuk mengekalkan tubuh montok dan seksi. Zila akui ramai yang bertanyakan tentang perubahannya selepas berkahwin namun dia selesa sekiranya perubahan itu berlaku tanpa dirancang.
“Semua orang mahukan perubahan tetapi saya rela sekiranya perubahan itu berlaku bukan kerana dirancang.
“Memang ada sesetengah benda yang saya sudah berubah tetapi orang lain tak nampak. Apa yang orang nampak, itulah diri saya yang sebenar.
“Takkan tiba-tiba saya nak pakai baju kurung dan bertudung. Kalau boleh biarlah dengan rela hati kerana banyak perkara yang saya kena ubah,” kata Zila kepada mStar Online baru-baru ini.
Zila akui setiap perkara yang dirancang olehnya sebelum ini selalu tidak menjadi.
“Saya merupakan seorang yang last minute. Saya rasa tiada perkara yang saya nak ubah setakat ini dan hanya berserah.
“Setiap minit dan saat yang saya lalui sebagai suatu pengalaman. Misalnya, apa kelemahan yang saya nampak hari ini. Tetapi saya tidak harapkan perubahan yang ketara.
“Setiap perkara yang saya lakukan mengikut kata hati. Kalau saya tak buat hari ini, saya akan buat esok. Lama-kelamaan ia mungkin akan menjadi lebih baik,” ujar pelakon drama bersiri Siong itu.
Sejujurnya, keinginan untuk berubah kepada yang lebih baik memang ada namun biarlah masa yang menentukan dan bukannya dirancang.
“Misalnya pakai tudung memang saya nak sangat tetapi biarlah saya ubah perkara yang lain dulu. Bagi saya bertudung ini bagus dan harap-harap Tuhan bukakan pintu hati ini.
“Saya tak nak pakai tudung di luar tetapi hati kita benci dengan orang lain. Saya nak berbaik dengan semua orang dulu. Biarlah orang tak suka saya pun, itu perkara nombor 10,” ulasnya lagi.
Ditanya mengenai perubahan yang dirasai oleh dirinya yang mungkin tidak disedari oleh orang lain, dia akui perubahan yang berlaku terkesan kepada kehidupan peribadi dalam rumah tangganya.
“Sekarang, saya sudah tiada masa untuk diri-sendiri. Tetapi saya tak kata tiada alasan untuk cantik.
“Perubahannya berlaku apabila dulu, sayalah yang paling lembap dan pentingkan diri-sendiri. Tetapi sekarang, saya boleh bangun awal dan siapkan anak terlebih dahulu. Kadangkala saya melayan suami dan anak sehingga terlupa untuk makan.
“Perkara lain yang orang tidak nampak adalah saya lebih mementingkan keselamatan anak berbanding diri-sendiri apabila keluar ke sesuatu tempat. Siapa yang tak sayangkan anak…,” kata pelakon teater itu.
Selepas bersalin, berat badannya naik sehingga mencecah 67 kg. Apabila masuk tiga hingga empat bulan, badannya kurus sedikit dan dia mula menjaga makan.
“Saya menyusukan bayi dalam sebulan sahaja. Selepas itu, saya makan jamu dan ubat kesihatan. Sekarang, berat badan saya sudah turun kepada 55 kg tetapi kalau boleh saya nak turun sehingga 53 kg,” beritahunya.
1 comments:
Post a Comment