Ellie Tarik Diri, Erma Enggan Buka Aib
by Abdul Hamid Lembah Bujang
Semuanya tercetus gara-gara Ellie merasakan dirinya ibarat ‘kuda tunggangan’ produser Erma Fatima. Lantas, Ellie mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai pengarah teater itu kelmarin.
Jelas Ellie, dia bukannya tidak pernah membuat apa-apa persediaan termasuk dari segi teknikal apabila mengarah teater.
Tambah mengejutkan, dia tidak menyangka sikap Erma telah mengubah pendiriannya sehingga serik untuk terlibat dalam mana-mana karya penerbit dan pengarah teater itu.
“Saya terkejut dengan pengumuman Erma apabila dia memasuki pentas. Pada mulanya dia tidak pernah menyebut tentang pembahagian pengarah pentas dan pengarah latihan.
“Mana pernah orang teater buat pembahagian tugas pengarah. Saya tak boleh terima sebab pelakon kami keliru untuk mendengar arahan siapa.
“Akhirnya, hanya dua babak yang merupakan idea saya digunapakai. Selebihnya, telah diubah,” jelas Ellie yang terkenal dengan aktres yang bersikap selamba dan agresif itu.
Namun, apabila Ellie menyoal sebab dia berbuat begitu, Erma menidakkan perkara tersebut.
“Dia bertanya balik kepada saya, 'Ada yang saya ubah ke?. Saya mana ada ubah apa-apa? Apa maknanya dia tidak mengubah apa-apa sedangkan banyak perubahan yang dibuat.
“Saya bukan kuda tunggangan dia…,” tegasnya yang sudah berpengalaman mengarah teater seperti Lorong Neraka termasuk empat monodrama Mat Derih Kuala Perlis, Rebab Berbisik, Interview dan Monolog Sang Serigala.
Ekoran daripada itu, Ellie sudah serik untuk bekerja dengan penerbit tersohor itu lantas bersyukur dengan apa yang terjadi kepadanya.
Luahnya dalam nada sedih penuh makna: “Saya selalu gagal dengan permainan manusia.”
Sementara itu, Erma dalam temubual berasingan berkata Ellie masih lagi bergelar pengarah Antara….
Lalu, dia enggan memberikan komen mengenai pengunduran Ellie daripada teater berunsur ketuhanan ketiganya selepas Sirah Junjungan dan Sirah Junjungan Tahajud Cinta.
“Saya tak tahu. Lagipun, saya tak suka burukkan keadaan dan orang lain. Saya tak perlukan publisiti murahan untuk menaikkan teater ini.
“Jadi, saya tak mahu berikan apa-apa jawapan sebab tak nak aibkan orang. Saya tak suka hipokrit.
“Sila tanya dengan dia sendiri dan saya tak kisah tentang apa sahaja jawapan yang diberikan,” jawab Erma.
Baginya, dia menghormati Ellie seperti adiknya sendiri dan disebabkan itu dia melantik wanita itu sebagai pengarah. Sementara Erma pula menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.
Tambahnya dalam nada geram dan marah: “Penyakit hati tidak boleh diubati. Jadi, sebab itu saya tidak mahu perkara itu ada dalam produksi saya.
“Dia sudah menandatangani kontrak dan saya bertanggungjawab melantiknya. Apa pun berlaku, pementasan tetap akan berjalan walaupun pengarah tiada. Saya tak suka isu ini menjadi suatu konflik.”
Antara… akan dipentaskan pada 26 hingga 28 Februari ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan tiket berharga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.
1 comments:
http://runwitme.blogspot.com/2010/02/muzikal-antara-photo-tribute.html
Post a Comment