Dr Rozmey Akan Terbitkan Filem Aksi Berprofil Tinggi 'Muay Thai'

Selepas filem 2 Alam Datuk Dr Che Rozmey Che Din akan menghasilkan filem terbaru Muay Thai.

BELUMPUN reda kontroversi filem sulungnya '2 Alam', penerbit bertaraf jutawan dan ikon rakyat, Datuk Dr Che Rozmey Che Din akan menghasilkan filem keduanya bertajuk,'Muay Thai'.

Filem aksi berprofil tinggi ini akan diterbitkan di bawah label dr Movie Production, dan bakal menyaksikan penglibatan pelakon dari Malaysia dan Thailand termasuk peserta Tomoi antarabangsa yang terlibat dalam Potender Asia 2.

"Filem ini bakal merentasi sempadan negara bukan sahaja di negara Gajah Putih, malah turut ke peringkat antarabangsa," jelas jutawan berhemah ini ketika berkunjung ke mStar Online semalam.

'Muay Thai' mengisahkan seorang banduan yang dipenjara serta diseksa oleh dua kumpulan banduan yang disokong oleh warden penjara.

Tambah hartawan ternama ini, kumpulan banduan terbabit mendapat lampu hijau daripada warden penjara untuk membelasah banduan itu sebagai membalas dendam yang sudah lama tersemat.

“Filem ini berkisar mengenai kisah pergaduhan, pembunuhan, dendam kesumat dan pengedaran dadah yang melibatkan sempadan kedua-dua negara jiran Malaysia dan Thailand,” kata bekas pakar sakit puan dan perbidanan ini.

Sebagai penerbit, Dr Rozmey akan menampilkan barisan pelakon popular dan baru untuk filem keduanya.

"Doktor akan membuka peluang kepada pelakon yang sudah mempunyai nama dan bakat-bakat terpendam dalam seni lakonan," jelas penerbit filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing ini.

Penggambaran 'Muay Thai' dijangka akan dibuat di penjara kedua-kedua negara di mana kira-kira 60 peratus pengambaran yang dibuat dalam tirai besi itu.

Ditanya mengenai filem '2 Alam' di mana majlis pelancarannya dijangka berlangsung pada bulan April 2010, Dr Rozmey berkata, ia bakal mencatat sejarah apabila ramai VVIP yang akan dijemput hadir bagi menyaksikan filem sulung terbitan produksinya.

Selain itu, personaliti yang semakin dikenali ramai ini, bercadang membuat ‘road tour’ ke seluruh Malaysia bagi mengajak masyarakat menonton filem ini.

Filem '2 Alam' ini turut dijadikan platform bagi mencapai satu juta fanatik menjelang 2013 nanti.

Apa yang direncanakan Dr Rozmey bukan sekadar cakap-cakap kosong kerana secara diam-diam, beliau telah menyusun strategi dengan teliti.

"Rakyat negara ini kurang menonton filem tempatan di panggung wayang jika dibandingkan dengan negara luar.

"Ini mungkin disebabkan kualiti filem Malaysia kurang dan kesibukan masa untuk menonton wayang di panggung dijadikan sebab kepada masalah ini," jelas Dr Rozmey yang semakin bersemangat mencapai sasaran RM12 juta kutipan untuk filem sulungnya itu.

“Filem '2 Alam' ini dihasilkan dengan visi yang jelas iaitu untuk mengangkat martabat filem negara. '2 Alam' boleh dikategorikan sebagai filem wajib tonton untuk rakyat Malaysia,” katanya yang memberikan kebebasan kepada warga produksi untuk berkarya dengan cara Dr Rozmey.

Dalam perkembangan yang sama, usahawan produk 'Just Mate 5', satu uji bakat bagi pemilihan filem 'Muay Thai' akan dibuat pada minggu ketiga Mac di ibu pejabat Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM), Jitra.

Uji bakat itu bakal dikendalikan oleh panel berkaliber dan berpengalaman dalam industri filem negara yang diketuai oleh Imran Ismail.

“Doktor ingin mencari pelakon yang sesuai dan berbakat dengan watak yang ditawarkan dalam filem tersebut.

"Kita buat pemilihan bukan sekadar mengambil pelakon tangkap muat sahaja. Peluang menjadi pelakon filem ini terbuka kepada semua pelakon, lelaki atau perempuan dan tidak kira dah popular atau belum," jelasnya.

Malah pengarah filem 'Muay Thai' juga sudah dikenal pasti.

Ditanya tentang kontroversi pengarah Hairee Othman yang membuat laporan polis kerana mendakwa tidak mendapat bayaran, Dr Rozmey berkata, semuanya sudah beres.

Sambil tersenyum, Dr Rozmey berkata, "Doktor tidak suka cerita-cerita negatif.

"Doktor akan cuba elakkan cerita-cerita negatif dan kalau boleh tidak mahu terpalit dengan berita-berita begini. Untuk diterima dalam industri perfileman ini, kita perlu ada personaliti yang bersih.

"Semakin tinggi profil kita, semakin tinggi risikonya sebab tu doktor kena hati-hati....," kata usahawan terkenal ini.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes