Flop Poppy: Tak Ada Makna Kalau Satu Single Saja


DIAM-DIAM ubi berisi begitulah pepatah yang paling sesuai buat kumpulan Flop Poppy. Empat tahun sepi tanpa perkhabaran terbaru bukan bermaksud mereka berkubur.

Menurut Andy selaku vokalis dan ketua kumpulan, tempoh masa tersebut digunakan untuk mengumpul idea dan material bagi menghasilkan kelainan untuk album mereka. Dalam masa yang sama juga mereka perlu menunggu sehingga kontrak bersama syarikat rakaman, NSR benar-benar tamat.

"Memandangkan kontrak kami bersama NSR tamat pada 2005, kalau boleh kami mahu satu tempoh masa yang agak panjang bagi betul-betul tiada pertikaian antara Flop Poppy dengan NSR. Kalau boleh kami tidak mahu timbul isu-isu berhutang dengan sesiapa," ujarnya.

Kumpulan yang popular dengan lagu Cinta ini kembali dan bebas mewarnakan karya-karya mereka mengikut kehendak sendiri memandangkan kini sudah berdikari tanpa perlu mengikut kehendak sesiapa.

Prinsip dan falsafah muzik yang kuat dalam memperjuangkan muzik dengan cara mereka sendiri mampu meletakkan mereka sebagai kumpulan muzik yang disegani.

Ketika ditanya tentang trend artis sekarang yang hanya mengeluarkan single sebelum album sepenuhnya, Andy berpendapat perkara tersebut tidak akan memberi kepuasan kepada seseorang artis.

"Apalah makna artis kalau hanya satu atau dua lagu sahaja yang popular. Bila mereka dah tiada nanti, apa yang akan tinggalkan. Kalau boleh kita mahu tinggalkan album untuk generasi-generasi akan datang dengar.

"Saya tidak percaya dengan single, satu saja lagu popular lepas itu orang sudah lupakan. Bagi ahli muzik macam kami setakat single tidak akan bagi kepuasan.,"ujarnya.

Berkonsepkan Santai dan relaks, album yang baru dilancarkan Rabu lalu merupakan album pertama di bawah lebal mereka sediri iaitu Floppy Records yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Album Rasa juga mempunyai banyak kelaianan dengan memberi suntikan elemen-elemen baru.

"Perubahan yang kami lakukan ini adalah semata-mata mahu memberikan satu kelainan dan variasi untuk industri. Kami yakin album kali ini akan mampu menepati cita rasa peminat setia kami dan juga pendengar serta pencinta muzik tempatan," jelas Andy.

Selain Andy, Flop Poppy turut dianggotai oleh Megat Asraf Nazree Mazlan atau Megat selaku pemain gitar kedua, Azhar Abd. Ghani (Cha'a-gitar utama), Aznizam Johari (Ejam-bass) dan Hasmi Nasaruddin (Mie Apache-drum).

Selain itu, Flop Poppy yang memperjuangkan pop sedar bahawa pengikut mereka kebanyakan di kalangan mahasiswa universiti. Oleh itu mereka bakal menjayakan aktiviti amal yang dianjurkan oleh pelajar universiti bagi tujuan promosi.

"Kami akan buat promosi di setiap universiti dengan tujuan amal menjual sambil menderma, bagi penuntut yang membeli album beberapa peratus daripada harga album akan disumbangkan dalam tabung amal. Kami akan bermula di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

"Kami tahu peminat dan genre pop yang kami bawa mempunyai pengikut dikalangan penuntut universiti. Jadi kami cuba untuk mendekati mereka selain tujuan membantu kutipan dana," ujar bapa kepada lima cahaya mata ini.

Album Rasa memuatkan 12 buah lagu iaitu Kasih Nafas Diri yang merupakan single pertama selain dari lagu-lagu seperti Dendang Remaja, Impian Di Ibu Kota, Semua Untukmu, Tawan, Lafaz Cinta dan Mungkinkah.

Album ini juga memuatkan sebuah lagu Inggeris berjudul Dedicated To You. Malah lagu Kasih Nafas Diri merupakan lirik nukilan terakhir Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) untuk kumpulan itu.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes