Yusri Lebih Selektif Mencari Wanita Serasi .. siapa yang seksi jom interview..
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PENGARAH, pelakon dan penyanyi Yusry Abdul Halim atau Yusry mengakui kesibukan kerja membuatkannya lupa akan kesunyian di hati. Setelah bahtera rumah tangga yang dibina bersama aktres Erra Fazira selama hampir dua tahun runtuh pada 26 April 2005, Yusry terus hanyut bersama jurnal cintanya.
Bukan tiada wanita yang dikaitkan dengan anggota kumpulan KRU ini. Malah, Yusry juga pernah 'diusik' oleh teman-teman media mengenai keintimannya dengan beberapa rakan artis seperti Fasha Sandha dan Julia Ziegler.
Namun, semuanya sekadar mengisi masa yang berlalu. Hakikatnya, sehingga kini Yusry terus sendiri dan setia bersama kerjayanya.
"Memang kadang-kala ada juga terdetik rasa sunyi. Cuma kesibukan melakukan pelbagai kerja setiap hari membuatkan saya lupa pada kesunyian.
"Tapi bohonglah kalau perasaan sunyi itu tidak hadir langsung. Terutamanya apabila saya berhenti seketika daripada melakukan sebarang kerja.
"Bagaimanapun, saya senang hidup bersendiri dan mendambakan diri untuk kerja," jelas Yusry yang kini sibuk dengan kerja pasca-produksi karya epiknya, Hikayat Merong Mahawangsa.
Mendengarkan kecederungannya terhadap kerja, pengarah berusia 37 tahun ini ditanya mengenai pasangan hidup.
Dengan riak wajah selamba, Yusry berkata, walaupun sentiasa sibuk dengan komitmen kerja, dia tetap berusaha mencari teman istimewa yang bukan sahaja untuk mengisi kekosongan di hati tapi juga sebagai teman hidup.
"Saya akui ada juga 'keluar' dengan beberapa wanita sejak solo ini. Bukanlah saya tidak berkawan dengan mana-mana wanita langsung.
"Ada yang sekadar kawan biasa tapi ada juga yang boleh dianggap berpotensi untuk dijadikan teman istimewa.
"Namun, malangnya hingga sekarang saya masih belum jumpa wanita terbaik untuk mengisi kekosongan ini.
"Dalam hal ini, saya perlu lebih selektif untuk mencari wanita yang bukan sahaja serasi malah yang paling penting memahami kerja saya.
"Bukan saya cerewet atau terlalu memilih, cuma untuk mencari calon isteri saya perlu mengenali seseorang itu dengan mendalam.
"Pengalaman lalu banyak mengajar saya erti perkahwinan dan hidup bersama," kata Yusry yang mengakui bergelar solo tidak mengganggu rutin hidup dan kerjayanya.
Menyentuh mengenai 'kegilaannya' terhadap kerja, pengarah filem Cicakman ini menjelaskan, biar sesibuk mana pun, dia masih punya masa untuk berehat.
Namun, disebabkan oleh ketaksuban pada kerja-kerja belakang tabir yang dilakukan, Yusry tidak pernah sekali pun merungut kerana kurang waktu berehat.
"Saya cinta pada kerja saya. Itu sebabnya saya tidak pernah merungut jika terpaksa bekerja untuk tempoh yang panjang atau sehingga tidak cukup waktu rehat.
"Saya memang seorang yang hamba kerja. Saya sanggup dambakan diri kerana kerja. Saya sentiasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan kerja yang baru.
"Walaupun segelintir orang melihat saya kuat bekerja dan tidak cukup rehat, namun pada saya, asalkan kerja itu memberikan kepuasan, saya tidak kisah tentang waktu rehat.
"Memanglah pada hari-hari tertentu, saya akan bekerja berbelas-belas jam sehari. Kadang-kala sampai mencecah satu hari satu malam. Namun, saya masih ada waktu berehat.
"Cara saya mudah, apabila saya sedang asyik bekerja saya sanggup berjaga dan tidak bergerak dari meja berjam-jam lamanya.
"Tapi jika ada hari yang saya rasa hendak berehat, saya akan berehat sepuas-puasnya. Semuanya bergantung kepada keadaan dan kepentingan sesuatu kerja itu," ujar pengarah yang bakal menghasilkan sebuah filem seram sedikit masa lagi.
0 comments:
Post a Comment