Gambit ‘Siong’ Moden


Gambit melakonkan watak utama dalam Siong. - Foto oleh LOW LAY PHON

JIKA dulu kita pernah mendengar kisah Raja Bersiong yang menghisap darah wanita yang dibunuhnya, kini cerita lagenda itu kembali menjadi bualan ramai.

Kali ini dalam versi moden, slot Lagenda di TV3 menyiarkan Siong yang diterajui oleh Gambit Saifullah sebagai Tajul Zaman.

“Tajul perlu membunuh wanita dan menghisap darah mereka untuk terus hidup.

“Akhirnya, dia berhenti melakukan aktiviti bunuh-membunuh itu apabila berjumpa dengan wanita yang berjaya merubah hidupnya,” kata Gambit kepada mStar Online.

Kisahnya bermula dengan Raja Wakarima (Helmi Hussain) yang mahu kekal muda dengan menghisap darah manusia tetapi telah berjaya ditumpaskan oleh Arya Mitra (Abu Bakar Juah), seorang pembesar istana.

Tubuh Raja Wakarima telah dipasung oleh Arya Mitra dalam keranda untuk memastikan tiada kesan peninggalan Raja Wakarima kekal di kerajaan Pancadi.

Sebelum dipasung dan ditanam, Raja Wakarima telah bersumpah untuk kembali membalas dendam terhadap Arya Mitra dan keturunannya. Raja Wakarima cuma akan bangkit semula sekiranya kerandanya terkena suluhan cahaya matahari.

Selepas 400 tahun, Tajul Zaman (Gambit Saifullah), ialah seorang tokoh konglomerat muda yang suka berfoya-foya. Suatu hari, orang gajinya terhiris jari ketika memasak.

Selepas merasa makanan tersebut, bermulalah sisi gelap hidup Tajul Zaman yang ketagihan darah. Dia mula membunuh wanita-wanita muda yang didampinginya dengan menghisap darah mereka.

Sementara itu, Gambit berkata sepanjang empat tahun berada dalam industri seni, dia lebih terdedah dengan watak antagonis atau jahat.

Namun begitu, bukan bermakna pertama kali dia melakonkan watak utama dalam Siong. Sebelum ini, dia pernah memegang watak utama dalam filem Rasukan Ablasa. Selain itu, watak pembantu dalam filem Susuk dan pelakon jemputan menerusi filem Cinta.

Dia juga kerap kali muncul di telefilem dan filem berbanding drama. Jadi, apabila berpeluang berlakon drama Siong arahan Adam Hamid, terus dia menerimanya.

“Apabila berlakon drama, banyak yang saya belajar seperti cara kerja yang lebih cepat. Walaupun begitu, saya menganggap pembelajaran itu suatu perkara baru yang positif.

“Selain itu, saya suka berlakon Siong kerana saya perlu berlakon banyak drama. Saya juga menyukai jalan ceritanya yang lain dari yang lain serta mengganggap watak itu agak mencabar walaupun ia diadaptasi dari filem Raja Bersiong,” katanya yang turut menerbitkan banyak video korporat dan program berbentuk travelog iaitu The Hoppers danAhli Muzik.

Selepas empat tahun bergelar penerbit, Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli ini berkira-kira untuk menerbitkan filem pula.

Walaupun begitu, setakat ini dia mahu fokuskan kepada lakonan di telefilem dan drama setelah kembali aktif berlakon pada tahun lalu.

“Apabila saya berlakon drama dan telefilem, saya boleh memilih watak dan berlakon dengan baik.

“Ikutkan saya banyak mendapat tawaran untuk berlakon filem tetapi saya terpaksa tolak kerana saya ni jenis pemilih dan mahu fokuskan kepada drama dan telefilem,” katanya yang akan muncul menerusi sebuah lagi drama Kau Laksana Bulan di RTM pada bulan depan.

Sementara itu, pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur ini turut mempunyai bakat dalam bidang muzik. Namun setakat ini dia belum terfikir untuk serius dalam bidang itu dan sekadar suka-suka.

Penonton boleh menyaksikan Gambit menerusi slot Lagenda Siong bermula 15 Februari, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang.

Drama 24 episod itu diterbitkan oleh Talisman Pictures dan menampilkan Mahizan Husain sebagai penulis skrip. Turut serta dalam drama itu adalah Pierre Andre, Sheera Iskandar, Helmi Hussain, Abu Bakar Juah, Azizan Nin, Leez, Hanif, Zila Bakarin, dan Nadia Mustafa.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes