Kami Masih Berjumpa Macam Biasa - Maya Karin
by Abdul Hamid Lembah Bujang
DESAS-DESUS mengenai perkahwinan aktres Maya Karin yang dikhabarkan kini sedang berantakan dengan suaminya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Steven mula tersebar luas kebelakangan ini. Lebih memburukkan keadaan, timbul pula dakwaan yang mengatakan Maya kini sudah bercerai dan cuba menyembunyikan kenyataan itu.
mStar Online lantas menghubungi Maya bagi mendapatkan penjelasannya. Ujarnya, cerita mengenai penceraian itu adalah tidak berasas sama sekali. Malah, ketika diminta menjelaskan situasi sebenar, Maya mendiamkan diri seketika sebelum menyambung bicara.
Katanya, apa yang pasti mereka kini sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan mereka. Justeru, Maya lebih selesa untuk tidak membesar-besarkan cerita yang tidak sahih itu. Tegasnya, apa pun cerita yang tersebar, hubungan mereka masih baik dan tiada sebarang perkara buruk yang berlaku.
"Apa yang boleh saya katakan, kami sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan kami suami isteri.
"Perkahwinan ini masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Tapi, tiada apa yang buruk berlaku," katanya.
Menjawab desas-desus yang mengatakan suami Maya, Steven tidak lagi tinggal sebumbung dan telah berpindah keluar ekoran kerenggangan dalam perkahwinan mereka, Maya berkata, orang luar yang tidak tahu perkara sebenar boleh berkata apa sahaja. Hakikatnya, mereka masih lagi suami isteri dan tidak bercerai seperti mana yang didakwa.
"Orang luar boleh bercakap apa sahaja kerana mereka tidak mengetahui perkara sebenar.
"Ingin saya tegaskan di sini, tiada apa yang berlaku dalam perkahwinan saya. Kami masih suami isteri dan kehidupan masih berjalan seperti biasa.
"Cerita yang mendakwa perkahwinan saya sedang berhadapan dengan masalah adalah tidak berasas. Tiada apa yang berlaku dalam perkahwinan kami," ujarnya lagi.
Maya lantas ditebak dengan pertanyaan adakah dia cuba menyembunyikan cerita sebenar ekoran dakwaan yang mengatakan keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada sikap Maya yang bermain kayu tiga dengan seseorang dan mengakui hubungan itu kepada suaminya.
Bintang Pisau Cukur itu berkata, cerita peribadinya termasuklah cerita rumah tangga adalah hak privasinya. Dia berharap agar tiada pihak yang cuba memaksanya mengulas cerita-cerita peribadi.
"Sebolehnya saya tidak mahu mengulas lanjut perkara sebegini. Saya lebih selesa untuk tidak bercakap mengenai cerita peribadi.
"Cerita peribadi seperti perkahwinan adalah hak privasi saya dan saya harap semua pihak dapat menghormati hak saya.
"Perkara sensitif sebegini jika diberikan sebarang komen atau ulasan, takut akan melarat dan menjadi bertambah buruk.
"Saya bimbang jika sebarang kenyataan yang dikeluarkan nanti akan hanya memburukkan keadaan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Maya ditanya adakah situasi dalam rumah tangganya kini ibarat retak menanti belah dan mereka terpaksa tinggal berasingan sebelum memutuskan sebarang keputusan. Namun, Maya enggan mengulas lanjut.
"Maaf saya tidak dapat beri sebarang komen. Apa yang boleh saya katakan, kami masih baik dan masih berjumpa seperti biasa," ulas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 itu.
0 comments:
Post a Comment