Saksi Kes Norman-Memey Mengaku Ada Masalah Ingatan
by Abdul Hamid Lembah Bujang
KUALA LUMPUR: Seorang saksi kes khalwat pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim kerap memberi keterangan bercanggah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Lebih daripada itu Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nafarul Azian Che Nan, 34, mengaku bahawa dirinya mempunyai masalah ingatan ekoran memberi keterangan yang berbeza-beza.
Beliau menjelaskan masalah yang dihadapinya itu kepada mahkamah selepas peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili pasangan itu, tidak berpuas hati dengan keterangan saksi itu pada sesi soal balas semalam.
"Berdasarkan keterangan yang kamu berikan sebelum ini adalah berbeza iaitu kamu telah menyatakan ada mengetuk pintu tingkat atas, di mana tertuduh lelaki berada, sebanyak lima kali dan pada hari ini kamu menyatakan tidak ingat pulak.
"Keterangan kamu menyebabkan mahkamah keliru dan keterangan yang mana satu mahkamah boleh terima pakai," soal Fakhrul Azman.
Nafarul kemudian menjelaskan sambil tersenyum: "Saya minta maaf Hakim, saya memang ada masalah cepat lupa dan saya tidak ingat dengan keterangan saya sebelum ini".
Semasa peguam Fakhrul Azman Abu Hassan menyoal: “Berdasarkan fakta yang diberikan, pertuduhan ini adalah salah.” Nafarul menjawab: “Ya.”
Fakhrul: Keenam-enam saksi tak nampak langsung Norman dan Memey berada berduaan.
Nafarul: Ya.
Fakhrul: Apabila dibaca semula dalam pertuduhan, tidak berlaku kejadian seperti yang dituduh.
Nafarul: Ya, betul.
Fakhrul: Semasa siasatan, tiada orang langsung bersama mereka?
Nafarul: Ya, tiada.
Dia juga bersetuju dengan dakwaan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili tertuduh bahawa ‘syak’ tidak mematuhi Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Fakhrul: Tangkapan berlandaskan ‘syak’ sahaja?
Nafarul: Ya.
Fakhrul: Premis Memey dan Norman adalah berbeza?
Nafarul: Ya.
Ketika kejadian, saksi-saksi mengatakan mereka bertemu dengan Norman dan Memey di tingkat yang berlainan.
Kes khalwat mereka dikatakan berlaku di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam antara 1.45 pagi hingga 3 pagi, pada 30 Oktober 2008.
Nafarul berkata semasa kejadian, dia ditugaskan mengawal keadaan dan membuat pemeriksaan menyeluruh termasuk menunggu arahan daripada ketuanya, Penguat Kuasa JAIS, Abdul Rahman Lai Abdullah.
Hakim Syarie Salehudin Yatim menangguhkan kes ini pada 12 Mac depan.
0 comments:
Post a Comment