Saya Jadi Selebriti Bukan Nak Cari VIP - Annahita
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PELAKON dan pengacara Annahita Bakavoli menegaskan kemunculannya dalam industri seni sama ada sebagai pelakon, pengacara atau model bukan bertujuan untuk mencari lelaki kaya atau bertaraf VIP.
Berbekalkan pendidikan, bakat dan rupa paras yang jelita, gadis berusia 27 tahun ini memberitahu bahawa dia mampu untuk hidup dengan hasil titik peluhnya sendiri walaupun secara sederhana.
"Im not like that, saya jadi selebriti bukan sebab nak cari orang-orang kaya sebagai bakal suami. Bila di luar saya seorang yang sederhana dan bukan jenis yang suka melawa, cuma dihadapan kamera tentulah ingin tampil cantik. Tapi dari kerekter saya kamu boleh nampak yang saya seorang yang sederhana.
"Tak perlu cari orang kaya, jujurnya kalau saya nak cari VIP dah lama saya boleh dapat. Tapi saya masuk ke bidang seni kerana cita-cita dan matlamat serta minat yang mendalam," ujar Annahita yang kini mengacarakan program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3.
Menurut Annahita, dia juga masih belum mempunyai perancangan untuk berkahwin disebabkan berita negatif tentang keruntuhan rumahtangga yang sering belaku akhir-akhir ini.
"Usia saya masih muda, buat masa ini saya tiada perancangan untuk berkahwin. Saya akan berkahwin pada umur 30 tahun kerana saya yakin pada umur itu saya sudah matang dan bersedia untuk berkongsi hidup dengan seseorang.
"Kes-kes penceraian akhir-akhir ini juga kebanyakan disebabkan mereka yang kahwin diusia yang masih muda dan belum matang. Bagi saya yang penting kesediaan dari segi mental, fizikal, emosi dan kewangan perlu sebelum kita berkahwin. Buat masa sekarang saya ingin tumpukan kepada kerja dulu.
"Namun jodoh ditentukan Allah, kita hanya merancang, kalau saya ditakdirkan untuk kahwin dalam masa terdekat ini, saya terima," katanya.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa pilihan hidupnya nanti bukan dari golongan industri seni.
"Saya kalau boleh tidak mahu yang sealiran, saya lebih suka pasangan saya itu dari bidang yang lain. Bukan apa, saya tak mahu cerita benda yang sama di tempat kerja dan dirumah.
"Kalau boleh saya boleh belajar perkara yang baru dari pasangan saya nanti, tak kiralah walau apa pun bidangnya," kata Annahita yang mengakui lebih menitik beratkan lelaki yang berlatarbelakangkan pendidikan berbanding pangkat dan harta.
Sementara itu, Annahita yang baru menyertai program MHI bermula 1 Januari lalu mengakui bahawa bidang pengacaraan adalah yang paling sesuai baginya berbanding bidang-bidang seni yang lain.
"Sekarang saya sudah nampak masa depan di bidang ini, kalau diawal kemunculan dahulu saya akui masih tercari-cari, saya jadi pelakon, model dan DJ. Tapi sekarang saya rasa pengacaraan adalah bidang yang paling sesuai.
"Saya sukakan cabaran, kalau lakonan cabaran dia lain, cabarannya hanya untuk menghayati watak. Tapi bidang ini saya perlu sentiasa belajar dan mengikuti perkembangan semasa.
"Walaupun saya belajar bidang perundangan tetapi saya rasa tak banyak bezanya dengan bidang kewartawanan, saya cuba gabungkan kedua-dua bidang ini," ujarnya yang turut turun padang menjadi wartawan lokasi.
Annahita turut memberitahu bahawa dia masih belajar mendalami bidang kewartawanan penyiaran kerana bidang tersebut merupakan perkara baru baginya yang sebelum ini hanya mengacarakan sesebuah program sahaja.
"Sebelum ini saya hanya mengacarakan program sahaja tapi kali ini saya sendiri turun padang buat liputan. Buat masa ini saya seronok dengan kerja saya kerana lebih mencabar dan banyak yang perlu dipelajari," ujarnya yang mengikat kontrak sepenuh masa bersama TV3.
0 comments:
Post a Comment