Awal & Scha Ditangkap di The Rootz Club, Bukit Bintang
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SEHARI sebelum berlangsungnya malam kemuncak Sehati Berdansa musim ketiga Sabtu lalu, peminat hiburan tempatan dikejutkan dengan berita pengacara programnya, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya terperangkap dalam satu serbuan antidadah polis di Rootz Club, Bukit Bintang. |
Rentetan daripada itu, pelbagai spekulasi mula timbul yang sedikit sebanyak mencalarkan karier seni kedua-dua selebriti popular ini yang dikatakan menjalin cinta selepas putusnya hubungan Scha dengan seorang lagi pengacara Sehati Berdansa, Fahrin Ahmad.
Difahamkan, Awal gagal memberikan sampel air kencing ketika ujian dilakukan menyebabkan dia dituduh mengambil dadah.
Menjelaskan perkara itu pada satu sidang media yang berlangsung Sabtu lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas berakhirnya Sehati Berdansa, Awal menjelaskan keadaan sebenar dan menafikan sekeras-kerasnya dia mengambil dadah.
"Saya akui berada di situ atas jemputan Scha yang ingin meraikan hari jadi kawannya dari Melbourne di Restoran Teeq Brasserie, Lot 10, Bukit Bintang.
"Kebetulan saya sampai awal dan Scha beritahu dia sampai lambat kerana terbabit dengan penggambaran Awan Dania.
"Saya pula tidak kenal siapa kawan Scha dan ketika menunggunya, saya terserempak pula dengan kawan-kawan. "Mereka mengajak saya melepak di Rootz Club, iaitu bersebelahan dengan Teeq sementara menanti kedatangan Scha. Dari menunggu seorang diri, saya rasa lebih baik 'join' mereka. Lagipun, kami tidak buat apa-apa pun sekadar berborak saja.
"Kemudian saya mendapat panggilan dari Scha yang dia sudah sampai di Teeq, tetapi tempat itu sudah ditutup. Saya memberitahunya berada di Rootz bersama kawan-kawan dan selang beberapa lama selepas Scha bersama kami, secara tiba-tiba lampu dibuka dan muzik dihentikan.
"Seorang wanita memberitahu satu operasi tengah dijalankan kerana sebelum itu terdapat satu pergaduhan. Kemudian saya dan pengunjung lain diarahkan ke bilik air untuk membuat ujian air kencing. Tidak timbul mengenai isu saya enggan bekerjasama dengan polis ketika diminta melakukannya.
"Apa yang sebenarnya, saya sudah cuba, tetapi tak mampu keluar apa-apa. Mungkin, disebabkan keadaan ketika itu agak tertekan apabila media sudah mula mengetahui saya selebriti. Mereka menjerit nama saya dan keadaan itu membuatkan saya mengalami tekanan hingga gagal memberikan sampel air kencing.
"Saya juga dihimpit, diasak dan inilah pertama kali saya berhadapan situasi begini. Bagaimanapun, saya tetap cuba lagi lakukan ujian air kencing, tetapi masih tidak boleh. Melihat keadaan ini, mereka mengatakan terpaksa bawa saya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan saya bertanya pada mereka adakah keadaannya serupa seperti ini?
|
|
"Apabila mengetahui keadaannya tidak seperti itu, saya terus setuju, malah langsung tidak takut kerana tidak buat silap. Akhirnya, selepas minum tiga botol air mineral, saya berjaya melakukan ujian air kencing dan ia negatif.
"Malah, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superitendan Sharifah Hawariah Syed Idrus meminta maaf kepada saya kerana terpaksa membawa saya ke IPK Kuala Lumpur. Beliau juga membenarkan saya berehat di bilik pejabatnya kerana ramai media menunggu di luar hinggalah saya keluar dari situ jam 11.30 pagi.
"Keterangan ini secara jelas membuktikan saya tidak pernah terbabit dengan dadah. Saya juga tidak akan dan tidak pernah terfikir mengambil dadah seumur hidup saya," katanya.
Bagi pelakon utama Awan Dania, Scha, menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakannya mabuk ketika itu.
Katanya, sewaktu sampai, dia lihat Teeq sudah tutup dan diberitahu Awal berada di Rootz.
"Saya pun mencarinya dan agak terkejut apabila setengah jam kemudian berlakunya serbuan itu.
"Saya tidak membantah, malah mengikut arahan polis yang menyuruh saya menyerahkan sampel air kencing dan keputusannya negatif. Saya bukannya bersosial kerana datang situ pun atas sebab meraikan hari jadi kawan yang tiba dari Melbourne.
"Malah, saya juga tidak mabuk seperti digembar-gemburkan sebelum ini. Sebenarnya, ketika itu saya dalam keadaan tidak berapa sihat sangat kerana baru mengambil antibiotik sebab sakit 'virus fever.'
"Pelbagai masalah yang menjengah saya sejak kebelakangan ini membuatkan saya hilang semangat. Kata doktor, gabungan deman dan kurang motivasi menyebabkan saya lemah dan tidak bersemangat. Di sebabkan itu, saya perlu mengambil antibiotik.
"Apa yang mereka lihat keadaan saya ketika itu bukanlah kerana alkohol, tetapi sebab penangan antibiotik dan jujurnya saya tidak pernah minum dan mengambil minuman haram itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment