An2 Hilang Fokus Dan Tidak Konsisten Sejak Minggu Ketiga - Din Beramboi


Pengundi sudah 'letih' dengan aksi serba tidak menjadi kumpulan AN2 sehingga membawa kepada penyingkiran mereka. - Foto THE STAR oleh DARRAN TAN

PENYINGKIRAN kumpulan An2 pada minggu keenam pertandingan Raja Lawak 4, malam Ahad lalu adalah satu keputusan yang memang sudah dijangkakan oleh salah seorang jurinya, Din Beramboi.

Menurut Din, prestasi merosot dan mutu persembahan yang mengecewakan daripada Tepet dan Ijal selepas enam minggu dilihat bertepatan pada waktunya memandangkan mereka mula hilang fokus dan komitmen terhadap pertandingan itu.

"Sebenarnya mereka sudah hilang fokus dan tidak konsisten sejak minggu ketiga lagi.

"Selama beberapa minggu ini, pengundi mungkin tertarik dengan mereka kerana faktor wajah dan bukan kerana kebolehan melawak mereka.

"Penyingkiran mereka membuktikan pengundi sudah 'letih' kerana sudah beberapa kali beri peluang untuk lihat perubahan dan peningkatan pada mutu persembahan mereka.

"Malangnya, ia masih ditakuk yang sama setiap minggu," ujar Din ringkas.

Sementara itu, kumpulan An2 mengakui kekurangan dalam keserasian dan gaya penyampaian adalah faktor utama penyingkiran mereka dalam Raja Lawak 4.

Mereka yang sudah menjangkakan bakal tersingkir pada bila-bila masa sahaja berkata, kekurangan pada aspek kandungan lawak dan gaya persembahan tidak sehebat peserta-peserta yang lain.

"Jujurnya, memang kami sudah jangkakan akan tersingkir. Kami mempunyai pengisian dan cerita tersendiri tapi kurang pada aspek penyampaian.

"Malah, kami juga susah hendak cari keserasian dalam menyampaikan cerita. Mungkin sebab itu persembahan kami kelihatan serba tidak kena dan tidak menjadi," kata Ijal.

Tambah Tepet, pengalaman menyertai program besar seperti Raja Lawak 4 membuka mata mereka bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk membuat penonton ketawa.

"Sekarang baru kami sedar bukan mudah untuk buat orang ketawa. Kadangkala, apa yang kita fikir lawak itu tidak sampai dan tidak difahami oleh penonton," ujar Tepet yang masih belum memikirkan perancangan kumpulan itu di masa mendatang.

Selepas undian ditutup, kumpulan AN2 hanya mengumpul 5.5 peratus dan berada dalam kedudukan tercorot di belakang Caca (9.2 peratus) dan Alex (16 peratus).

Sementara tiga tangga selesa didominasi oleh Idlan 28.4 peratus, kumpulan Mamu (24 peratus) dan kumpulan Kecik (17 peratus).

Bagaimanapun, kesemua peserta yang membuat persembahan di malam bertemakan 'Hantu Komedi' itu dilihat sekadar membuat persembahan yang sederhana.

Nama-nama yang sering menjadi pilihan baik juri mahupun pengundi seperti Idlan dan Alex juga kurang berbisa daripada minggu-minggu sebelumnya.

Persaingan Raja Lawak 4 hanya berbaki empat minggu lagi dengan menyaksikan Alex, Caca, Idlan, kumpulan Kecik dan kumpulan Mamu meneruskan kemaraan ke pentas ketujuh, Ahad ini.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes