Kami Tak Perlu Bantuan Bintang Realiti: Noh

KEBANJIRAN penyanyi dan band indie seperti Yuna, Hujan, Bunkface, Grey Sky Morning, Couple dan Bunkface sedikit sebanyak mengubah senario industri hiburan tanah air. Bakat dan kebolehan mereka berkarya ternyata mendapat tempat di hati peminat hiburan mainstream.

Bagaimanapun, ada suara-suara sumbang mengatakan populariti mereka telah dibantu oleh bintang-bintang realiti TV yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Lagu-lagu dari band Hujan seperti Aku Scandal dan Dan Sebenarnya daripada Yuna sering dinyanyikan oleh bintang-bintang dari program realiti TV.

Hal tersebut disangkal sekerasnya oleh Noh, vokalis kumpulan Hujan dan menganggap bintang realiti tidak membantu dalam perjuangan muzik mereka.

"Saya sangat terasa bila ada bintang realiti yang kata kami (indie) popular kerana bintang-bintang realiti TV membawakan lagu-lagu kami ketika pertandingan.

"Band indie ada pengikut sendiri, pengikut kami setia berbanding dengan pengikut-pengikut bintang realiti yang silih berganti setiap musim.

"Kami tak kisah jika mereka tak bawa lagu-lagu kami dan kami tidak perlukan mereka untuk popular. Bagi saya bintang realiti ini hanya 50 peratus sahaja yang membantu melahirkan artis yang berkualiti, selebihnya hanya jadi lambakan sahaja.

"Kami bermula dari bawah untuk memperjuangkan muzik, bukan semudah macam mereka, saya rasa Yuna tetap popular kalau pun lagu Dan Sebenarnya tidak dibawa oleh bintang realiti TV," ujar Noh dengan nada kesal.

Namun begitu, menurut Noh, dia tidak menafikan bakat beberapa artis kelahiran program realiti yang boleh dibanggakan.

"Bukan semua bintang realiti tidak bagus, ada beberapa yang boleh dibanggakan. Aizat contohnya, walaupun tidak menang tapi bakatnya memang sangat mengagumkan," ujar Noh yang kini dalam proses pembikinan album terbaru Hujan.

Berduet dengan Mizz Nina

Sementara itu, Noh yang sedang hangat bercinta dengan penyanyi jelita Mizz Nina iaitu anggota kumpulan Teh Tarik Crew, kini sedang sibuk menyiapkan lagu kolaborasinya yang bakal dimuatkan dalam album terbaru Mizz Nina.

"Buat pertama kali saya akan menyanyi secara berduet, lagu dah hampir siap tapi belum ada tajuk lagi. Dia juga nampaknya bersungguh-sungguh untuk album ini.

"Dia ambil kelas vokal dan belajar kelas tarian sebab album kali ini lain dari genre yang dia bawa dulu," ujarnya.

Ketika ditanya tentang hubungan cintanya, Noh mengakui sedang dalam proses mengenali hati budi gadis jelita bernama Shazrina Azman itu.

"Saya senang berkawan dengan Mizz Nina, mulanya saya ingat dia susah nak berkawan tapi dia seorang yang sempoi dan boleh berkawan dengan kawan-kawan saya juga," katanya yang sentiasa memberi sokongan kepada kekasihnya itu.

Dalam pada itu, Hujan juga dalam persiapan untuk mengadakan persembahan undangan di konsert Search Live In UK & Ireland di Dublin, London dan Liverpool pada 12 hingga 22 Februari depan.

1 comments:

joegrimjow { February 1, 2010 at 2:34 AM }
klu dah ada bakat
semua akan menjadi

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes