Kes Datuk Sarimah Saman Malu Tatler Disambung April Ini

PELAKON veteran, Datuk Sarimah Ahmad kelmarin memberitahu kes saman malunya terhadap majalah Tatler akan berlangsung pada 28 April ini pada pukul 9.00 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes yang menuntut ganti rugi RM1 juta daripada penerbit sebuah majalah tersebut yang menyiarkan artikel yang didakwa menyentuh moralnya menamakan penerbit Malaysian Tatler Magazine, Illustrated Magazine Publishing Sdn Bhd dan pencetak Percetakan Osacar Sdn Bhd sebagai defendan-defendan, dalam writ saman yang difailkan Mei 2005 masih lagi dalam perbicaraan.

Sarimah, 64, seorang artis disegani sejak 1960 telah memfailkan saman menerusi peguam Vanaja Nambiar melalui Tetuan Isharidah, Ho, Chong & Menon.

Dalam kenyataan tuntutannya, Sarimah mendakwa tajuk berita (Fast Amongst Equals) dalam artikel yang diterbitkan dalam majalah keluaran Ogos 2001 itu, sebagai memfitnah.

Menurut primadona filem Melayu ini, dia terpaksa meneruskan saman malu terhadap majalah itu kerana "ini soal maruah.

"Soal maruah bukan boleh dibuat main. Saya menangung malu bertahun lamanya. Di usia begini, saya tidak mahu nama saya terpalit dengan perkara-perkara mungkar begini," jelas Sarimah.

Kata aktres veteran yang dianugerahkan kejelitaan semula jadi ini, dia harap dapat melalui proses mahkamah ini dengan tenang.

"Insya Allah, saya sudah bersedia. Seperti yang saya katakan tadi, ini bukan perkara kecil. Apa yang ditulis terlalu mengaibkan saya," katanya yang enggan mengulas terperinci kandungan artikel yang disifatkan sebagai memalukan dia dan seluruh keluarganya itu.

Sarimah turut mendakwa perkataan-perkataan menfitnah itu antara lain bermaksud bahawa beliau sebelum ini tidak menjalani kehidupan yang jujur dan mematuhi ajaran agama.

Sarimah mendakwa beliau diseret dalam skandal awam, rasa benci dan hina, yang menjejaskan peribadi dan reputasinya.

Selain itu juga, dia mendakwa defendan-defendan gagal memohon maaf kepadanya dan tindakan menerbitkan artikel memfitnah itu bertujuan mendapat manfaat material untuk menambah jualan majalah terbabit.

Sarimah turut menuntut RM500,000 ganti rugi am, RM250,000 ganti rugi teruk dan RM250,000 ganti rugi teladan.

Beliau juga memohon mendapatkan perintah menghalang defendan-defendan daripada terus menyiarkan perkataan-perkataan memfitnah itu.

Namun begitu dalam kenyataan pembelaan defenden telah mendakwa perkataan-perkataan itu merupakan ulasan yang adil membabitkan perkara kepentingan umum, iaitu kehidupan dan perlakuan seorang aktres yang mempunyai reputasi baik di kalangan masyarakat umum.

Mereka juga mendakwa kenyataan itu dibuat berdasarkan perlindungan bersyarat. Percetakan Osacar menafikan bahawa perkataan-perkataan itu diterbitkan dengan objektif untuk memusnahkan peribadi dan reputasi Sarimah.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes