Mas AF2 Akui Emosinya Lebih Stabil Kini
by Abdul Hamid Lembah Bujang
NADA suara penyanyi Mas AF2 begitu ceria ketika menyambut panggilan telefon jelas menunjukkan dia kini sedang bahagia berada di kampung halamannya, Tawau, Sabah.
Kini, setelah hampir setahun tidak mendengar khabar Mas, mStar Online cuba menghubungi alumni program realiti Akademi Fantasia (AF) Musim Kedua itu.
Sekitar Februari tahun lalu, Mas pernah ditahan di Wad Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur selama seminggu.
Setelah dibenarkan keluar dari hospital itu, Mas atau nama sebenarnya Asma Ghani, 29, terus dibawa pulang ke Tawau.
Sepanjang perbualan, Mas tenang menjawab setiap soalan yang diajukan sambil diselang-seli dengan ketawa kecil.
Kata Mas, mungkin ramai yang mengagak dirinya mempunyai penyakit mental namun dirinya tidak pernah mempedulikan apa yang diperkatakan melainkan mengumpul semangat yang diberikan oleh rakan-rakan sekampung termasuk anak-anak serta ibu dan bapanya dan berdoa kepada Tuhan agar dijauhi daripada kontroversi seperti sebelum ini.
Kadangkala, Mas sendiri bingung untuk menjawab apabila ramai yang menyoal kenapa dia dimasukkan ke Wad Psikiatri jika dia tidak ‘sakit’.
“Ada ke orang yang ‘sakit’ akan mengaku dia ‘sakit’? Lagipun, mana buktinya yang mengesahkan saya ‘sakit’ kerana doktor pun tidak memberitahu kepada bapa saya yang saya ‘sakit’. Saya memang tak ‘sakit’ pun.
“Doktor juga tidak memberikan saya apa-apa ubat kerana doktor kata saya tidak sakit apa-apa.
“Ketika berada dalam wad itu, saya banyak beristighfar dan mengingati ibu, bapa dan anak-anak saya kerana bimbang mereka risau dengan keadaan saya.
“Saya juga meminta Tuhan berikan petunjuk bagi membuktikan perkara yang tidak betul seperti yang disangkakan sebelum ini,” jelasnya.
Mas berkata, ada sebab mengapa dia dimasukkan ke wad yang menempatkan pesakit mental itu.
“Sebelum itu, banyak masalah yang menguji diri saya bermula daripada kereta saya dilanggar oleh kawan saya ketika hendak membuat pusingan ‘U’ semasa dalam perjalanan ke sebuah syarikat produksi filem untuk mendapatkan kerja.
“Bukan itu sahaja, saya juga berasa tertekan apabila pihak yang menguruskan album saya berbincang mengenai album itu tanpa persetujuan saya. Sepatutnya mereka perlu memberitahu saya untuk berbincang sekali.
“Semua perkara yang berlaku telah mencetuskan perbalahan antara saya dan kawan saya itu.
“Jadi, sebab itu saya ditempatkan di wad itu bagi mengelakkan saya berjumpa dengan kawan saya. Saya tidak mempunyai sesiapa untuk berlindung.
“Pihak hospital juga takut jadi apa-apa di luar kerana kita tidak tahu hati orang. Mereka pun memberi pendapat biarlah keluarga saya yang mengambil saya di situ kerana tidak boleh percayakan orang luar. Jadi, saya dibenarkan tinggal di situ untuk beberapa hari sehingga bapa saya sampai,” cerita Mas.
Berbekalkan semangat untuk menyara diri dan anak-anak, Mas berkata dia masih kuat untuk menempuhi hidup ini.
Walaupun menetap di kampung, Mas berkata dia masih lagi menyanyi apabila menerima undangan daripada Kerajaan Negeri Sabah selain membantu perniagaan keluarganya menjual sate di Hot Spring Jaya, Tawau.
“Saya bahagia sekarang. Syukur, alhamdulillah…setakat ini pendapatan yang saya dapat masih boleh dibelanjakan untuk saya dan anak-anak.
“Setakat ini saya hanya memenuhi jemputan nyanyian di Sabah. Memang saya mahu memenuhi undangan di Semenanjung, tetapi saya mempunyai masalah pengangkutan,” beritahunya.
Diusik tentang cinta, Mas yang hidup solo setelah bercerai dengan bekas suaminya hampir enam tahun lalu berkata dia belum terfikir untuk mencari pengganti.
“Bagi saya, keluarga merupakan cinta dan teman istimewa saya. Dengan usia saya sekarang, ini bukannya masa untuk bercinta kerana hanya membuang masa saya.
“Saya dan anak-anak hidup bahagia tanpa suami,” luahnya yang tidak mahu memberikan komen mengenai perkembangan albumnya sebaliknya meminta penulis bertanya kepada pihak yang terlibat.
Sementara itu, Mas turut memberitahu terdapat wakil daripada kerabat diRaja Kedah menghulurkan bantuan untuk menaja penerbitan albumnya ketika datang ke Tawau pada awal tahun lalu.
“Saya belum beri apa-apa keputusan. Jika mereka betul-betul berminat, mereka perlu datang berjumpa dengan saya,” kata ibu kepada Nurfadilah, 11, dan Mohd. Fadzil, 9.
0 comments:
Post a Comment