Dr Rozmey Sasar RM12 Juta Kutipan 'Dua Alam'

Usahawan yang kini bergelar produser filem, Dr Rozmey mensasarkan kutipan filem sulungnya, Dua Alam mampu mencecah RM12 juta. - Foto The Star oleh LOW LAY PHON

NAMA Dr Rozmey memang tidak asing lagi dalam dunia keusahawanan. Terbaru, bekas pakar sakit puan yang terkenal dengan produk kelangsingan Jus Mate 5 (JM5) ini mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan filem pula.

Lebih menarik, Dr Rozmey atau nama sebenarnya Datuk Dr. Hj. Che Rozmey Che Din, 42, meletakkan sasaran luar biasa terhadap filem sulungnya, Dua Alam untuk mencapai kutipan sebanyak RM12 juta.

Katanya, jika sesebuah filem itu berkualiti dan sistem pemasaran yang bijak, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai.

Sebagai penerbit, dia memang tidak menafikan risiko yang diambilnya untuk menerbitkan filem itu.

Walaupun terpaksa melaburkan lebih RM2 juta untuk sebuah produk yang belum tentu untung ruginya, dia lebih senang menyifatkan pelaburan itu sebagai calculated risk.

"Memang ia satu risiko besar untuk berlabur lebih RM2 juta dalam sebuah filem. Apatah lagi untuk filem pertama.

"Namun, sebagai usahawan saya yakin, filem yang baik dan kaedah pemasaran yang bijak pasti akan membawa keuntungan.

"Sasaran kutipan RM12 juta tidak mustahil untuk dicapai jika strategi pemasarannya bersesuaian.

"Saya berani letakkan sasaran ini berdasarkan pengalaman saya dan hasil kejayaan bisnes sebelum ini.

"Selama ini, semua sasaran saya dalam bisnes memang tidak lari jauh dan menepati sasaran.

"Saya yakin kerana filem itu bukan sahaja akan dipasarkan di Malaysia malah ke pasaran lebih luas dan menggunakan segala platform termasuklah secara online," katanya dengan penuh keyakinan.

Dr Rozmey lantas ditanya mengenai genre filem itu. Katanya, walaupun plot Dua Alam banyak memberi penekanan pada elemen moral dan keagamaan, namun ia bukanlah sebuah filem berteraskan agama.

Filem Dua Alam bukan sahaja kontroversi kosong semata-mata, malah ia memberi penekanan pada proses pengebumian orang Islam secara terperinci.

Sebaliknya, filem berbajet RM2.5 juta itu sarat dengan paparan visual yang menekankan bentuk pembalasan kepada manusia atas dosa yang mereka lakukan ketika hidup.

"Ringkasnya, filem Dua Alam berkisar kepada perjalanan kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

"Ia mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Adam yang bertukar jantina kepada perempuan, Amy sehingga terlibat dengan kancah kehidupan sosial. Akhirnya dia mati dalam kesesatan.

"Jika dilihat pada jalan cerita dan klasifikasinya, iaitu 18 SX, mungkin ia kedengaran kontroversi.

"Tetapi apa yang saya ingin terapkan menerusi filem ini adalah emosi dan pengajaran kepada penonton. Ia memaparkan balasan Tuhan atas dosa yang dilakukan manusia.

"Contohnya, ada babak yang menunjukkan bagaimana kuku watak Amy berubah warna ketika jenazahnya dimandikan.

"Ini antara bukti kekuasaan Tuhan atas dosa yang dilakukannya," terangnya ringkas.

Elemen seram yang akan ditunjukkan di dalam filem ini akan berkisar kepada pembalasan pada Amy. Penggambaran babak liang lahad turut dilakukan di Tanah Perkuburan Jitra, Kedah.

Menariknya, Dr Rozmey bukan sahaja bertindak sebagai penerbit, malah konsep dan idea asal filem itu juga diilhamkan olehnya.

Filem terbitan rumah produksinya, dR Rozmey Movie Production itu dibintangi oleh aktres dari Singapura, Suhaila Salam, Aaron Aziz, Yang Kassim, Rosnah Johari, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Dua Alam yang berlatarkan beberapa lokasi di sekitar Jitra dan Sik, Kedah itu hanya memakan masa selama 20 hari penggambaran.

Dr Rozmey cukup yakin Dua Alam yang bakal menemui penonton di pawagam 6 Mei ini, pasti akan menjadi satu ledakan ‘tsunami’ kerana jalan cerita ini lebih menjurus pada kisah masyarakat dan membawa keinsafan kepada penonton.

Tambahnya, Dua Alam mengandungi kisah tujuh dosa besar yang dilakonkan oleh pelakon yang hebat dan berpengalaman serta mampu membawa perubahan besar kepada industri perfileman tanah air.

Antara paparan yang terkandung dalam filem berkenaan ialah kisah penukaran jantina, seks bebas, anak derhaka dan pembalasan yang dahsyat daripada Allah SWT.

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam Dua Alam pasti menjanjikan kepuasan kepada penonton kerana banyak menyentuh kejadian yang banyak berlaku pada masa kini dan terkandung mesej yang tersirat.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes