100 Angkasawan Dunia Bakal Hadiri Persidangan Angkasa Di Malaysia
by Abdul Hamid Lembah Bujang
PETALING JAYA: Seramai 100 angkasawan dunia bakal menghadiri Persidangan Association of Space Explorers yang akan dianjurkan oleh angkasawan negara, Datuk Dr. Muzaphar Shukor pada 4 hingga 10 Oktober depan.
Persidangan yang dianjurkan setiap tahun itu pertama kali diadakan di Malaysia dan merupakan negara Asia kedua selepas Jepun pada tahun 1990.
Menurut Dr. Sheikh Muzaphar, persidangan itu adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar Malaysia kerana berpeluang bertemu dengan angkasawan-angkasawan dari 35 buah negara.
"Persidangan ini akan dibuka kepada umum terutamanya kepada pelajar-pelajar tempatan. Saya jangkakan lebih 100,000 pelajar akan hadir pada persidangan ini.
"Apa yang bakal dibincangkan adalah berhubung kajian-kajian yang telah dibuat di ruang angkasa lepas.
"Selain itu, saya juga menjemput isteri-isteri mereka kerana persidangan ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang sains dan teknologi malah salah satu cara memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.” ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Dr. Sheikh Muzaphar salah satu dari acara persidangan adalah hari komuniti yang bakal mendekatkan lagi masyarakat luar bandar kepada angkasawan-angkasawan tersebut.
"Salah satu hari tersebut adalah hari komuniti di mana angkasawan akan dibawa ke sekolah-sekolah terpilih, ini juga termasuk sekolah-sekolah luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak.
"Bagi isteri pula acara-acara kebudayaan akan disediakan pada sebelah malam," ujarnya yang mendapat kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tambahnya, perbincangan masih lagi dilakukan bersama pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Perlancongan.
"Kami masih lagi di peringkat perbincangan bersama kementerian-kementerian supaya turut bekerjasama dalam penganjuran persidangan ini. Saya harap ia mendapat sokongan dari kerajaan,” kata Dr. Sheikh Muzaphar.
Selain itu juga salah satu acara yang bakal disenaraikan dalam persidangan tersebut adalah majlis perkahwinannya sendiri bersama pasangan Dr. Halina Mohd Yunos pada sebelah malam, 10 Oktober ini.
Bagaimana pun lokasi persidangan masih lagi belum ditentukan.
Harapan Angkasawan Negara ini supaya persidangan tersebut mampu memberi pengalaman baru kepada masyarakat di Malaysia dan menonjolkan nama Malaysia di mata dunia.
0 comments:
Post a Comment