Rabbani Kabulkan Hajat Ustaz Asri
by Abdul Hamid Lembah Bujang
SATU persatu hajat bekas vokalis Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang belum terkabul akan dipenuhi oleh anggota Rabbani yang lain.
Dalam banyak-banyak hajat insan yang amat disenangi dan disayangi kerana sifat luhur budi pekerti baik dari segi percakapan dan perlakuannya itu, Allahyarham pernah berkongsi hajatnya untuk mengadakan Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah secara terbuka dan percuma berbanding konsert yang sama sebelum ini.
Menurut salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz yang turut dikenali sebagai jurucakap kumpulan nasyid paling popular itu, mereka akan mengabulkan hajat Allahyarham itu dengan mengadakan konsert sempena sambutan Maulidur Rasul itu di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 19 Februari ini, pukul 8 malam.
Konsert yang berkonsepkan perjuangan itu turut melibatkan penyanyi Jamal Abdillah, Aishah, Datuk Sharifah Aini, Yasin, Joe Flizzow, Akbar dan penceramah tersohor Datuk Ustazah Siti Nur Bahyah.
“Konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd ini akan dipersembahkan kepada semua peminat secara percuma dan di kawasan terbuka dengan tajaan sepenuhnya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
“Kami memilih untuk mengadakan konsert yang ketiga ini di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu kerana mahukan kelainan berbanding tahun lepas sekaligus menunaikan hasrat Ustaz Asri yang mahu membuat secara terbuka tanpa tiket.
“Ustaz Asri memang teruja untuk lakukan program berbentuk kebajikan. Semasa kami melakukan mesyuarat dengan TM iaitu sehari sebelum arwah meninggal dunia, arwah ada beritahu niat untuk berkongsi konsert kali ini dengan semua peminat dan pertama kali tanpa tiket.
“Pada mulanya kami ingat nak jelajah satu Malaysia tapi bila fikir-fikir, bajet kami hanya mampu tampung satu konsert dalam setahun,” katanya yang turut menggalas tugas sebagai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat & Pembangunan Perniagaan dalam Rabbani Productions.
Kata Azadan, antara hajat Ustaz Asri yang lain yang telah tercapai adalah mengerjakan umrah bersama-sama isterinya, Haliza pada bulan Jun tahun lalu.
Selain itu, Azadan berkata Ustaz Asri pernah berpesan, ‘Semasa bulan Ramadan tahun 2007, dia pernah beritahu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, pentas ini (di Hotel Singgahsana) adalah gelanggang Rabbani walaupun tanpa dia.’
“Saya beritahu arwah yang kami malu untuk berada di pentas tanpanya kerana selama ini dialah tunjang Rabbani,” tutur Azadan lagi.
Azadan turut merungkaikan tentang satu kiriman pesanan ringkas (SMS) yang diberikan oleh Ustaz Asri kepada seorang promoter untuk konsert Malam Imbauan Rasul di Tawau, Sabah yang berlangsung pada 25 Oktober lalu.
SMS itu seolah-olah memberitahu niatnya untuk meminta Zulkiflee Azman atau Zul untuk mengganti tempatnya sebagai vokalis.
“Selepas arwah meninggal, promoter itu menghantar semula SMS yang dihantar oleh Ustaz Asri yang berbunyi ‘kalau ana tak ada, tak apa sebab Zul boleh nyanyi’,” beritahu Azadan sambil mengakui berasa seram bulu romanya apabila mengingat semula pesanan arwah itu.
Sejak 20 Ogos lalu, Zul secara rasminya telah menggantikan Ustaz Asri sebagai vokalis kumpulan yang terkenal dengan lagu Pergi Tak Kembali dan Intifada itu dengan melakukan persembahan sempena Perasmian Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Zul memang layak jadi penyanyi utama dan kami tidak merancang untuk mencari penyanyi lain kerana Zul boleh sandang tugas Ustaz Asri.
“Kami dah lama bersama, jadi agak sukar untuk mencari pengganti yang baru dan meneruskan dengan apa yang ada.
“Kami akui Zul agak pemalu untuk bercakap di atas pentas kerana dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peminat,” tambah Azadan.
Katanya lagi, walaupun Ustaz Asri telah pergi, semangat lelaki yang dianggap seperti bapa dan abang dalam kumpulan itu tetap akan diteruskan dalam perjuangan mereka.
“Jika Zul menggalas tugas sebagai penyanyi utama, Asri Ubaidillah pula ditugaskan untuk membaca doa. Jadi, kami tahu tugas masing-masing.
“Arwah juga pernah berpesan agar kami pandai-pandai mengemaskini jadual kerja tanpa bergantung dengannya..cuma kami yang tak perasan.
“Jadi, setiap kali rakaman lagu, kami akan mensedekahkan surah Al-Fatihah kepada arwah. Pernah sekali berlaku semasa kami hendak merakamkan lagu Kejora Sinar Zaman yang ditujukan khas kepada arwah, secara tiba-tiba kami teringatkan arwah sehingga tidak tahu hendak berbuat apa-apa.
“Kami terus membuat keputusan untuk pergi ke kubur arwah dan membacakan Surah Yasin,” beritahu Azadan dalam majlis yang turut melancarkan album terbaru mereka iaitu Mahabbah (kasih sayang).
Album yang ditaja sepenuhnya oleh PRM Global Vision Sdn Bhd itu sudah berada di pasaran sejak 18 Disember lalu dengan memuatkan lagu-lagu seperti Mahabbah, Kejora Sinar Zaman, Syahadah, Nurul Iman, Bicara Hijrah, Ya Man Satufariq (dalam bahasa Arab), Tanpa Agama termasuk Inikah Petanda (nyanyian Ustaz Asri dan Mawi).
Jelas Azadan, kelainan dalam album ini adalah vokal Zul yang lebih universal berbanding vokal Ustaz Asri yang lebih kepada irama lagu Timur Tengah.
“Semua lagu dinyanyikan oleh Zul kerana kami mula merakam lagu-lagu itu pada awal November kecuali lagu Inikah Petanda dirakamkan pada dua tahun lalu.
“Antara cabaran yang sukar untuk kami harungi apabila arwah tiada apabila hendak meletak gambar untuk kulit album dan poster,” jelasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment