Hujan Sedih, Alyah Terkejut Dikaitkan Dengan ‘Freemason’... jom bace article panjang nie..
by Abdul Hamid Lembah Bujang
EKORAN dikait mengamalkan unsur ‘Freemason’ dan ‘Illuminati’ semasa membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini, dua finalis Alyah dan band Hujan memberikan pandangan mereka.
Salah seorang anggota Hujan, Hang Dimas berkata mereka sedih dengan dakwaan itu manakala Alyah akui terkejut.
“Kami sedih apabila perkara itu menjadi isu. Ada ke patut orang fikir macam ni dengan mencari hubungkait dan membuat andaian.
“Konsep hitam dan putih memang idea daripada Hujan. Sebelum membuat persembahan, kami kena present idea kepada team produksi TV3.
“Ia melibatkan bahagian teknikal. Jadi, takkan 14 artis plan untuk perkara ini. Kami juga tidak dieksploitasi oleh pihak produksi,” katanya yang mendapat tahu perkara itu menerusi sebuah blog.
Persembahan Hujan menerusi lagu Aku Skandal itu didakwa mempunyai unsur ‘Freemason’ apabila Hujan menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.
Dimas berkata, dia turut terkejut dengan pendedahan dalam blog itu dan menjadi isu besar.
Dia berpendapat, blogger itu boleh menulis dan berkata apa-apa sahaja. Walaupun kesal dituduh mengamalkan unsur ‘Freemason’, Hujan hanya tergelak saat diajukan persoalan itu.
Sementara itu, Alyah yang mempertaruhkan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang berkata konsep persembahannya pada malam itu dipengaruhi oleh klip video lagu itu.
“Saya menggunakan konsep ‘muzik elektrik’ dengan mengubah dari klip video kepada persembahan pentas.
“Ikutkan sofa dalam klip video itu berwarna merah dan baju saya berwarna hitam. Tetapi untuk persembahan itu saya ubah kepada sofa putih yang mendapat sponsor.
“Disebabkan saya nak nampak berlainan daripada penari, jadi sebab itu saya memilih baju berwarna merah,” beritahu Alyah ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Alyah, dia tidak pernah terfikir tentang ‘Lady In Red’ atau syaitan yang dikaitkan dengan unsur ‘Freemason’.
Dia hanya memilih pakaian berwarna merah rekaan Arma Abdul Rahman itu disebabkan menyukai warna itu.
“Saya pernah dengar yang ‘Lady In Red’ merupakan perantaraan syaitan dan manusia. Tetapi saya memilih pakaian itu tanpa mempunyai maksud terselindung seperti yang orang katakan pakaian itu melambangkan dajal.
“Saya pun baru tahu tentang perkara ini apabila penyanyi Imran Ajmain bertanya kepada saya semasa melakukan promo untuk Konsert Hot FM Big Jam tadi (semalam). Dia hanya menegur saya secara baik,” ujarnya lagi.
Walaupun begitu, Alyah berkata dia tidak akan serik untuk memakai baju berwarna merah lagi untuk melakukan persembahannya.
“Saya memilih pakaian warna merah dengan niat untuk membuat persembahan dan berfesyen. Bukan saya berniat menjadi perantaraan dengan syaitan,” tuturnya.
Tambah Alyah: “Kadangkala perkara ini mempunyai positif dan negatif. Dalam kes ini baru saya tahu yang ia hanya kebetulan dan yang penting saya tak pernah rancang. Sekurang-kurangnya, ia juga telah mengingatkan saya.
“Saya terima perkara ini secara positif dan setinggi mana pun muzik itu, saya perlu berbalik pada asal (agama).
“Saya bimbang juga jika hal ini dibangkitkan dan menimbulkan pergaduhan antara masyarakat Islam.
“Saya berterima kasih kepada pihak yang mendedahkan perkara ini namun diharapkan ia tidak diperbesarkan,” jelas Aliyah.
Dakwaan ini tercetus ekoran pendedahan yang dibuat dalam blog milik seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jordan, Mohammad Sufian Talib, 22, mengenai unsur-unsur negatif yang ditemui sepanjang majlis itu berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.
Blog jejakitinggalanrasul.blogspot.com itu menunjukkan bukti-bukti gambar gerakan Freemason dan Illuminati yang dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan set pentas program yang ditonton oleh 4.6 juta penonton itu.
Menurut sebuah akhbar, Freemason dan Illuminati adalah pertubuhan rahsia ke arah pembentukan New World Order dan mereka bergerak untuk mengawal dunia secara keseluruhan.
Antara yang mirip kepada lambang yang terdapat pada logo Freemason adalah set pentas ketika persembahan Datuk Siti Nurhaliza.
Namun begitu, cubaan mendapatkan komen Siti gagal apabila pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata dia dikhabarkan sedang berada di luar negara.
Sufian juga berkata: “Yang kedua, anda juga mungkin dapat lihat apa persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?
“Yang ketiga, Alyah yang merupakan finalis AJL 24 mengenakan gaun merah ala-ala ‘Lady In Red’ yang merupakan simbolik yang digunakan dalam menjayakan organisasi ini serta bagaimana mesej bawah sedar digunakan seperti yang dipertontonkan dalam filem Devil’s Advocate, The Matrix dan dokumentari The Arrivals bahagian 13.
“Anda mungkin tahu mengenai The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.”
Sufian yang mewakili kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT) mengulas persamaan yang ditonjolkan oleh ramai pemain gitar seperti band Hujan dan Bunkface yang menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet.
0 comments:
Post a Comment