Noryn Simpan Hasrat Buka Sekolah Nyanyian


Noryn punya impian untuk membuka sekolah nyanyiannya sendiri. - Foto oleh SAM THAM

PENYANYI bersuara mahal Norazmahwati Abdul Aziz atau nama glamornya Noryn Aziz yang telah 12 tahun berkecimpung di dalam industri seni tempatan menyimpan hasrat membuka sekolah nyanyian suatu hari nanti.

Melihat kepada perjalanan kariernya yang semakin gemilang, dia berjaya meletakkan namanya sebaris dengan artis-artis kelas A tanah air.

Namun impian bekas graduan Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) ini ialah untuk membuka sebuah sekolah nyanyian miliknya sendiri.

“Saya memang suka mengajar, ini juga merupakan pendapatan sampingan selain dari menyanyi. Setakat ini saya mempunyai 20 orang murid. Saya mengajar dari segi vokal dan teknik menyanyi.

“Kebanyakan yang datang berusia sekitar lima hingga 15 tahun dan saya juga ada menyediakan silibus sendiri untuk mengajar mereka.

“Impian saya memang untuk buka sekolah yang khusus dalam bidang nyanyian, ini mungkin juga bisnes selepas saya tidak aktif menyanyi lagi, suatu hari nanti,” ujar gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini.

Noryn yang sudah tujuh tahun aktif sebagai guru vokal mengakui pernah mendapat tawaran dari sebuah sekolah muzik swasta sebagai guru vokal.

Dia juga menganggap hobi yang pada asalnya secara suka-suka ini mampu meningkatkan mutu suaranya disamping mampu menjadikan wang tambahan bagi pembikinan albumnya.

"Selain itu juga, sedikit sebanyak saya dapat kumpul duit untuk pembikinan album sendiri yang sedang dalam proses ini," ujarnya yang tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

Perjalanan Karier Memberangsangkan

Menyingkap tirai tahun 2009 yang baru berlabuh, pemuja Ella Fitzgerald, Jill Scott dan Erykah Badu ini bersyukur kerana tahun lalu merupakan tahun yang cukup baik untuknya apabila dilimpahi dengan rezeki yang melimpah ruah.

Manakala tahun ini mungkin caraban lebih besar menanti buat penyanyi genit ini. Baru sahaja membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 12 Januari lalu, Noryn Aziz tidak mahu menoleh kebelakang.

Sedang album baru masih lagi dalam pembikinan, Noryn telahpun melancarkan duet bersama artis dari Negara jiran.

Lamaran label MUZIKON dari Filipina tidak disia-siakan penyanyi yang bersuara soprano ini, koloberasi dengan dua artis Filipina iaitu Christian Bautista melalui lagu Anugerah dan bersama Kyla melalui lagu Teman membuka laluan Noryn untuk dikenali di negara itu juga.

“Perancangan ini telah dibuat sejak tahun lalu, saya rasa ini adalah peluang dan pengalaman yang baik buat saya.

"Rakaman bahagian saya dibuat di Malaysia dan Chistian di Filipina namun melalui kecanggihan teknologi, ia disatukan menjadi sebuah lagu duet,” ujarnya yang baru sahaja berjumpa rakan duetnya kelmarin ketika mereka dalam rangka promosi di Kuala Lumpur.

Namun menurut Noryn, lagu-lagu ini tidak akan dimuatkan dalam album terbarunya yang dijangka bakal berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes